Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Salam Akhir Syed Azmir’ tutup tirai nyanyian hampir dua dekad

Naib Juara ‘Anugerah 2005’ ingin tumpu pada kerjaya jurulatih bola, keluarga
Nov 7, 2024 | 5:30 AM
Syed Azmir Ingin memberikan tumpuan penuh pada bola sepak dan keluarga lantas mengabadikan kenangan terindah dalam persembahan terakhirnya, ‘Salam Terakhir Syed Azmir’ di Teater Luar DBS Foundation, Esplanade pada 9 November.
Syed Azmir Ingin memberikan tumpuan penuh pada bola sepak dan keluarga lantas mengabadikan kenangan terindah dalam persembahan terakhirnya, ‘Salam Terakhir Syed Azmir’ di Teater Luar DBS Foundation, Esplanade pada 9 November. - Foto ESPLANADE

Setiap permulaan pasti ada penghujungnya.

Setelah genap 19 tahun mewarnai bidang muzik dan hiburan Singapura, naib juara Anugerah 2005, Syed Azmir Syed Azman, 40 tahun, kini bertekad bulat melabuhkan tirai kerjayanya sebagai penyanyi.

Sebelum berehat sepenuhnya untuk menumpukan perhatian pada kerjaya sebagai jurulatih bola sepak, beliau akan membuat persembahan terakhir berjudul, Salam Akhir Syed Azmir, pada 9 November di Teater Luar DBS Foundation, Esplanade.

Persembahan itu merupakan sebahagian program sepanjang November di Esplanade, Soundtracks, di mana lagu ikonik atau runut bunyi pementasan, filem dan drama disajikan penyanyi atau kumpulan yang terlibat.

Apabila ditanya Berita Harian (BH) menerusi wawancara Zoom pada 6 November mengenai kenangan terindah selama menjadi penyanyi hampir dua dekad, Syed Azmir berkata:

“Saya rasa kenangan yang tidak dapat saya lupakan sepanjang 19 tahun berkecimpung dalam bidang muzik ini adalah ketika saya berada di pentas Anugerah 2005.

“Ketika itu, saya, dan tiga finalis lain, Hyrul Anuar, Fauzie Laily dan Khairil Yusof, mendapat sambutan hangat daripada warga tempatan.

“Terdapat banyak peluang untuk melakukan ‘roadshow’ atau jerayawara. Kehidupan kami setelah Anugerah 2005 berubah. Ia mungkin seronok pada awalnya, namun lama-lama saya rindukan kehidupan biasa.”

Antara lain, Syed Azmir juga berpeluang menyanyikan beberapa lagu yang tersenarai sebagai calon Lagu Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2006.

Kenangan berkongsi pentas dengan nama besar yang disegani seperti Jaclyn Victor, Anuar Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza memang tidak luput daripada ingatannya.

Pengalaman itu, sekali gus, membuatnya rasa kecil di hadapan penyanyi yang berbakat besar dan berpengalaman dalam industri muzik Nusantara.

“Mesti mereka terfikir, siapalah saya yang datang dari Singapura ni?” tambahnya.

Banyak yang berlaku dalam kerjaya hiburan Syed Azmir dahulu dengan fenomena yang dicipta finalis Anugerah 2005.

Mereka berpeluang mengadakan konsert laris di ruang besar Max Pavilion, yang menarik kehadiran 4,000 penonton.

Bakat lakonan mereka juga dicungkil dalam drama Teman Anugerahku.

“Anugerah 2005 menjadi fenomena dan trend yang besar pada masanya sehingga terbitlah drama itu.

“Sewaktu drama itu dijalankan, saya berusia 22 tahun. Kami tidak pernah pun berlakon malah jauh daripada pandai berlakon. Kebanyakan waktu, kami tidak pasti apa yang kami lakukan pada saat itu.

“Kami hanya bermain-main dan menikmati proses itu bersama. Kami juga mendapat bimbingan daripada pengarah dan pelakon, Khairudin Samsudin, mengenai selok-belok lakonan. Ia suatu pengalaman yang menyeronokkan,” jelas Syed Azmir.

Tidak ada kekata pahit berseni sebab semuanya manis-manis belaka buatnya.

Meskipun perlu mengharungi pelbagai cabaran untuk menempa nama di persada muzik Singapura dan juga Malaysia, beliau akur bahawa pengalaman yang diraih tidak sia-sia malah mematangkannya sebagai pemuzik.

“Jika hendak dikenang kembali masa itu, ia masih lagi segar dalam ingatan saya sehingga menaikkan bulu roma. Selepas APM 2006, saya ditawarkan peluang berada di bawah naungan syarikat pengurusan Beyond DDB, yang juga dijaga oleh pemuzik, penggubah dan penerbit lagu terkenal di Malaysia iaitu Ajai.

“Saya hidup sebatang kara di Kuala Lumpur dengan Ajai mengajak saya tinggal bersamanya. Saya bersyukur dapat mempelajari banyak perkara daripadanya termasuk cara menggubah dan menyusun lagu. Selain itu, saya juga dapat rasakan pengalaman merakam lagu di Kuala Lumpur sekali gus memahami industri muzik di sana,” kongsinya.

Sepanjang berada dalam pengurusan Beyond DDB, Syed Azmir mengeluarkan album sulungnya yang berjudul Prosa X. 

Walau bagaimanapun, tidak semua impian berakhir dengan kemanisan. 

Setiap seniman pasti akan menghadapi proses yang mengubah seseorang menjadi lebih matang.

Syed Azmir berkongsi bahawa perjalanan seninya di negara seberang tidak semudah yang dibayangkan.

Beliau perlu bekerja keras untuk menambat hati pencinta muzik di Malaysia.

Bak pepatah Inggeris yang mengatakan, ‘If it is meant to be, it will be’, begitulah yang terjadi.

Kalau memang suratan takdir yang tertulis untuknya, itulah yang pasti berlaku.

Syed Azmir bahkan pernah menyertai sesi uji bakat untuk dua filem di Malaysia.

Beliau juga sempat menjadi pengacara program permainan di Astro untuk episod ‘pilot’.

Namun, setelah pemergian pengurusnya, Allahyarham Amir Hussen, yang berperanan besar dalam perkembangan beliau sebagai penyanyi dan pelakon, dunianya bagai diselimuti awan hitam.

“Sewaktu saya mendapat tawaran berlakon dalam beberapa drama di Malaysia, beliau orang pertama yang menyuruh saya untuk fikir masak-masak sama ada saya ingin dikenali ramai sebagai penyanyi atau pelakon, terutamanya dalam industri hiburan Malaysia tatkala itu.

“Saya juga masih merangkak-rangkak sebagai penyanyi. Jadi saya memutuskan untuk menumpukan sepenuh perhatian pada karya muzik.

“Namun setelah beliau meninggal dunia akibat barah, saya bagai kehilangan arah tuju. Di situlah titiknya di mana saya terus memutuskan untuk ambil masa berehat dari 2010 hingga 2018,” ujar Syed Azmir.

Selama beliau menghilang dari dunia hiburan, Syed Azmir kembali kepada cinta pertamanya iaitu sukan bola sepak.

Sehingga kini, beliau bertugas sebagai jurulatih bola sepak dan bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Nasional (NDC).

Dengan berjalannya waktu, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Cik Najirah Fazali, 27 tahun, pada Ogos 2023.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia setahun.

Menyentuh pengalamannya sebagai bapa baru, Syed Azmir mengatakan:

“Saya ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga kecil saya. Setiap kali saya pulang ke rumah, saya rasa gembira melihat anak saya di depan mata.

“Dengan kehadirannya, saya jadi lebih tenang sekali gus mempunyai matlamat hidup yang lebih jelas.”

Sebelum mengucapkan “Selamat Tinggal” pada dunia hiburan, Syed Azmir akan membawakan lagu runut bunyi hit dalam filem terkenal di Nusantara.

Selain menyanyikan lagunya sendiri iaitu Kuasa Cintamu dan Ternyata, beliau akan juga menghiburkan ramai dengan lagu runut bunyi filem Tarzan (versi Melayu), Kau Di Hatiku, yang dinyanyikan Datuk Zainal Abidin.

Nantikan persembahan Salam Akhir Syed Azmir pada tiga set persembahan – 6.30 petang, 7.45 malam dan 9 malam di Teater Luar DBS Foundation.

Tiada bayaran dikenakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg