Bintang Bollywood, Salman Khan, memohon agar peminatnya bertenang apabila mereka terlalu ghairah meraikan kembalinya beliau ke layar filem dengan membakar mercun di dalam pawagam sewaktu tayangan filem terbarunya, Tiger 3.
Polis kini sedang menyiasat kejadian itu yang berlaku di Mohan Cinema sekitar kota Malegeon, lapor Press Trust of India.
Mengikut pihak berkuasa, kejadian itu turut tular di media sosial apabila penonton yang merakam kejadian itu memuatnaikkannya di TikTok dan Instagram.
Dapat dilihat penonton bergegas keluar dari pawagam menerusi laluan kecemasan untuk mengelakkan daripada terkena percikan mercun.
Salman, 57 tahun, menulis di Twitter:
“Saya nampak video tadi dan nampak ada yang membakar mercun dalam pawagam sebelum menyaksikan Tiger 3.
“Ini berbahaya. Ayuh nikmati filem ini tetapi jangan sampai anda membahayakan nyawa orang ramai di sekeliling dan diri anda sendiri. Kekal selamat di mana-mana.”
Beliau juga meminta pengendali pawagam agar tidak membenarkan penonton membawa masuk mercun dan bunga api ke dalam pawagam.
Tiger 3 merupakan filem aksi yang dinanti-nanti peminat Salman.
Ia mengisahkan tentang ejen risikan Tiger dan isterinya Zoya yang sama-sama mempunyai misi tersendiri dan adakalanya sangsi terhadap satu sama lain.