Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Saloma Singapura' luah cinta melalui 'Putra Kalbuku'

Penyanyi irama 60-an Imma Pink abadikan kisah jejaka idaman dalam lagu baru
Dec 29, 2022 | 05:30 AM



TIADA yang lama, tiadalah yang baru. Begitulah prinsip yang dipegang teguh penyanyi Singapura, Imma Pink, yang condong dengan irama muzik nostalgia yang santai lagi menenangkan.



Imma atau nama sebenarnya Rahimah Mohamad, 35 tahun, baru-baru ini muncul dengan satu lagi lagu yang mengenangkan anda tentang era pop yeh yeh, Putra Kalbuku.



Lagu yang boleh didengar di platform digital kini meraih inspirasi daripada kisah cinta sebenar Imma dengan seorang jejaka 'Abang Sado' dari seberang Tambak yang dikenali sebagai Muhammad Harith atau Putra.



Dalam wawancara podcast #NoTapis bersamanya baru-baru ini, Imma yang juga seorang guru prasekolah dan jurudandan berkata:



"Putra Kalbuku ini mengisahkan tentang seseorang jejaka atau insan istimewa yang muncul dalam hidup saya tanpa diduga.



"Kami berjumpa di aplikasi TikTok. Walhal, kami berdua memang tidak sukakan aplikasi buat budak muda ini pada awalnya.



"Tapi dah disusun cantik oleh Allah, saya sedang menyanyi 'live' di TikTok. Alih-alih beliau pun muncul dan kami berkenalan.



"Sekarang ini, beliaulah 'putera idaman' yang hadir menceriakan hidup saya."



Persamaan yang menyatukan mereka berdua adalah kecenderungan pada gaya hidup sihat dengan bersenam di gim, menjelajah tempat-tempat makan yang menyelerakan serta pada cabang bisnes perancangan perkahwinan.



"Kebetulan ibu teman saya ini adalah mak andam. Teman saya pula pandai reka dan bina pelamin. Saya ada menanam cita-cita untuk buat bisnes khidmat perkahwinan suatu hari nanti. Mana tahu kami boleh bergabung tenaga suatu hari nanti," jelasnya.



Klip video Putra Kalbuku turut dijayakan 'putera idaman' Imma yang juga secara bersahaja menjadi sebahagian daripada karya seni temanitanya.



Menurut Imma, lagu ini menambah lagi koleksi lagu ala 1960-an yang beliau hasilkan sejauh ini termasuk Bayangan Asmara dan Jom Raya (duet Lebaran bersama Rudi Salim).



Mengenai keistimewaan lagu-lagu lama, beliau akui sekitaran di mana dirinya dibesarkan mempengaruhi cita rasanya.



"Abah saya pernah 'feeling' jadi macam P. Ramlee. Beliau suka menyanyi bahkan memberitahu saya, dirinya pikat mak saya dengan lagu-lagu sebegini. Mak pula namanya Azizah macam dalam judul lagu P. Ramlee!" kongsi Imma.



Selain menjiwai irama sayu mendayunya, lirik lagu Melayu yang puitis dan bahasanya yang halus dan penuh perlambangan menjadi faktor penarik buat Imma yang pernah dipanggil 'Saloma Singapura' oleh rakan-rakan seninya.



Imma bermula sebagai peserta Anugerah 2009 yang menjalani uji bakat dengan finalis peraduan itu, Wawan, yang merupakan antara sahabat karibnya.



Pada tahun itu, Sarah Aqilah, menjuarai pertandingan berkenaan.



'Pink' digunakan sebagai nama pentasnya kerana beliau menggemari warna merah jambu.



"Kalau tengok bilik saya warnanya merah jambu. Saya sukakan Hello Kitty dan antara yang bertunggu tangga untuk dapatkan mainan tersebut di restoran makanan segera McDonald's atau main mesin untuk dapatkan patung Hello Kitty," jelasnya.



Ditanya bagaimana membahagikan masanya antara menjadi jurudandan, guru prasekolah dan penyanyi, Imma tertawa seraya berkata:



"Saya jadi jurudandan sejak 13 tahun lalu. Pernah bawa beg dandan ke sekolah sebelum sambung bikin kerja dandanan untuk pelakon yang jalani penggambaran pada waktu malam.



"Saya juga pernah mengajar, lari bagi tugasan dandanan dan kemudian menyanyi pada waktu malam. Memang sibuk dan penat. Semasa muda dahulu, memanglah dapat buat macam-macam pekerjaan dan tak penat," tambahnya.



Di sebalik penampilannya yang persis watak Cikgu Norkiah dalam filem Masam Masam Manis, Imma juga mempunyai pengalaman mendendangkan lagu rok di 'gig' Inggeris dahulu.



"Penampilan saya dulu lain. Saya 'rock chick' dengan but dan baju 'berjaring-jaring'. Apabila sudah bertudung, saya perlu cari irama lebih sesuai. Jadilah macam 'wanita Melayu terakhir'," jelasnya.



Dalam sesi podcast #NoTapis, Imma turut mendendangkan lagu rok Sepi Sekuntum Mawar Merah (nyanyian asal Ella) dan Zombie (dendangan The Cranberries) dengan petikan gitar pemuzik setempat, Olly Maguire.



Imma, lulusan ijazah psikologi ini akur pelajaran akademik tetap penting. Apabila ditugaskan membimbing pelajar istimewa di kelas prasekolah yang perlu menyesuaikan diri dengan pelajar lain, Imma memanfaatkan ilmu psikologinya bagi memahami naluri dan reaksi mereka pada pelbagai situasi.



"Saya takkan dapat lupa beberapa peristiwa melibatkan pelajar istimewa. Kadangkala ada yang mengalami pengalaman meragut tangkai hati, didera oleh anggota keluarga atau orang yang dikenali. Pilu saya bayangkan.



"Walau sesetengah pelajar istimewa ini kadangkala meragam, mereka tetap menghargai orang yang sayangi dan prihatin tentang diri mereka," sambungnya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >