Topic followed successfully
Go to BHkuSanisah Huri penuhi harapan peminat, buka cerita 'Si Baju Hijau'
Sanisah Huri penuhi harapan peminat, buka cerita 'Si Baju Hijau'
Sanisah Huri penuhi harapan peminat, buka cerita 'Si Baju Hijau'
SEJURUS mendengar khabar beberapa peminat yang hadir di Konsert Sanisah Huri - Pelayaran Seni Lima Darsawarsa di Esplanade pada Julai lalu kecewa kerana tidak dapat bergambar dengannya, biduanita legenda Sanisah Huri dan pihak pengurusannya langsung merancang satu pertemuan khusus buat mereka.
Sambil menjamu selera beriani dam dan pencuci mulut seperti bubur pulut hitam, hampir 250 orang berkumpul di dewan Anggun On Stevens di Stevens Road, Sabtu lalu, untuk menikmati sajian hiburan bersama Sanisah yang masih kelihatan anggun pada usia 70 tahun.
Pertemuan santai tempohari ibarat satu perhimpunan semula bintang 1960-an, 1970-an dan 1980-an seperti A. Romzi, J. Mizan, Maria Bachok, A. Razak, Junainah M. Amin, Jun Abdullah, Hamidah Wahab, Mahani Mohd, Rahimah Rahim dan Rozie Rahim.
Turut terbang ke Singapura dari Kuala Lumpur adalah penggubah lagu S. Atan yang mengiringi persembahan Sanisah dalam beberapa lagu nostalgik.
Menurut S. Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, beliau tidak pernah berkesempatan mencipta sebarang lagu untuk Sanisah yang lebih sering menyanyikan lagu ciptaan Allahyarham Kassim Masdor dan hasil nukilan lirik Yusnor Ef.
Pengacara dan deejay Warna 942, Noreha Bajuri, merupakan pengacara yang menyingkap jalan kenangan Sanisah dan berkongsi beberapa trivia menarik yang tidak diketahui sebelum ini.
Ini termasuk lamaran pihak Astro menerusi ketua juri Gegar Vaganza (GV), Datuk Ramli MS, bagi Sanisah menyertai musim kesembilan program itu, sesuatu yang beliau tolak kerana faktor usia.
Sepanjang acara lebih dua jam setengah itu, lagu-lagu seperti Kasih, Sejak Ku Bertemu Padamu, Alam Seni dan Si Baju Hijau disajikan sebagai santapan halwa telinga.
Kelembutan budi bicara Sanisah adalah antara perkara yang disenangi ramai yang menyifatkannya seperti 'Datuk Seri Siti Nurhaliza' era silam. Ini dikongsi pengurus dan pembantu peribadinya, Rusedah Tawahid.
Sesekali Sanisah meminta penonton teruskan makan hidangan menyelerakan di depan mata dan tidak setakat tertumpu pada persembahannya.
"Saya bimbang kalau dah sibuk tengok saya menyanyi, tak tersentuh pula makanan tu," jelasnya.
Awal sebelum Sanisah tampil dengan baju biru-merahnya, penyanyi Bintang Malam Ini, A. Razak, telah terlebih dahulu menghiburkan peminat sambil berkunjung dari meja ke meja untuk bergambar dengan mereka.
Antara perkara menarik yang selama ini tidak diketahui tetapi dikongsi A. Romzi di acara tempohari adalah sejarah lagu Si Baju Hijau. A. Romzi adalah penulis lirik lagu itu ketika menjadi vokalis The Hooks yang mengiringi persembahan Sanisah.
Lagu ikonik dan patriotik tentang semangat juang tentera itu adalah hasil ciptaan Asnadi Markop.
Kata A. Romzi:
"Ada cerita di sebalik lagu Si Baju Hijau ni yang ramai tak tahu termasuk Sanisah.
"Mulanya saya nak beri lagu ini kepada Anita Sarawak tetapi selepas beliau menyanyikannya tak 'pass'. Kemudian beri pula kepada Rafeah Buang tetapi memandangkan Rafeah lembut dendangannya, tak jadi pula sebab kami perlukan penyanyi yang boleh menyanyikannya dengan tegas.
"Ini lagu askar. Akhirnya, ia kena dengan vokal Sanisah."
Beberapa penonton wanita pula begitu 'sporting' menemani Sanisah bagi menyanyikan lagu Si Baju Hijau manakala ramai hadirin pula tampil berbusana hijau sejajar dengan lagu popular Sanisah yang sudah distrim sebanyak 88,067 kali di Spotify.
Walaupun acara hari itu bukanlah 'show' beliau, J. Mizan yang mempunyai sentuhan emas mendapat tepukan gemuruh ketika menyanyi lagu Hujan Sore Sore yang diberi sentuhan rok.
Cik Asmah S. Hamid yang hadir kerana minatkan Sanisah dan A. Razak berkongsi:
"Dalam masa lebih dua jam itu, saya bukan sahaja dapat dengar lagu-lagu Sanisah yang mengingatkan saya tentang zaman nostalgia dan bergambar dengannya tetapi turut buat kawan baru.
"Antaranya seorang wanita Inggeris dari Britain yang datang ke Singapura sementara suaminya menonton perlumbaan Formula Satu (F1). Beliau gembira menyanyi dan menari meskipun tidak memahami bahasa Melayu. Katanya, anaknya seorang penyanyi dan guru muzik."
"Ada cerita di sebalik lagu 'Si Baju Hijau' ni yang ramai tak tahu termasuk Sanisah. Mulanya saya nak beri lagu ini kepada Anita Sarawak tetapi selepas beliau menyanyikannya tak 'pass'. Kemudian beri pula kepada Rafeah Buang tetapi memandangkan Rafeah lembut dendangannya, tak jadi pula sebab kami perlukan penyanyi yang boleh menyanyikannya dengan tegas.Ini lagu askar. Akhirnya, ia kena dengan vokal Sanisah." - Penyanyi A. Romzi.

