Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Sarjan Misai’ terima pengiktirafan pertama di Festival Filem M’sia

Dec 11, 2024 | 5:30 AM
A. Galak dikenali dengan gelaran ‘Sarjan Misai’ kerana penampilannya yang unik dengan misai melentik dalam drama polis ‘Gerak Khas’.
A. Galak dikenali dengan gelaran ‘Sarjan Misai’ kerana penampilannya yang unik dengan misai melentik dalam drama polis ‘Gerak Khas’. - Foto INSTAGRAM FINAS MALAYSIA

Suatu ketika dahulu, pelakon veteran asal Singapura, A. Galak, pernah memberitahu media seberang bahawa beliau ingin mencuba pelbagai peranan lain kerana enggan distereotaip hanya mampu membawa watak seorang pegawai polis.

Meskipun sewaktu di Singapura, A. Galak, 84 tahun, atau nama sebenarnya, Zakaria Ahmad, kerap diberi peranan antagonis atau penjahat dan dalang dalam filem klasik Melayu, beliau lebih dikenali sebagai ‘Sarjan Misai’ dalam drama polis terbitan dan arahan Datuk Yusof Haslam, Gerak Khas.

Tanpa beliau sendiri menduga segala peranan pembantu yang digalasnya termasuk dari zaman melibatkan diri dalam industri filem Jalan Ampas di Singapura menarik perhatian ramai sehingga disampaikan dengan Anugerah Khas Sepanjang Zaman di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 pada 7 Disember.

Dengan nada sebak, A. Galak yang dilahirkan pada 29 November 1941, menjelaskan bahawa piala FFM yang diterimanya itu adalah yang pertama diraih setelah 60 tahun terlibat dalam bidang seni.

“Saya bermula dalam bidang lakonan sejak usia 19 tahun di Malay Film Productions yang berpangkalan di Jalan Ampas, Singapura.

“Sepanjang 60 tahun dalam bidang lakonan, inilah anugerah pertama saya.

“Ramai yang hairan mengapa ‘Tok Misai’ atau ‘Sarjan Misai’ kenal artis-artis di Shaw Brothers?

“Dari usia remaja hingga studio ditutup pada 1967, saya sudah bekerja dan kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur dan berlakon bersama syarikat penerbitan Datuk Yusof, Skop Production, selama 40 tahun,” jelasnya ketika menerima anugerah itu di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur.

A. Galak yang berlakon dalam lebih 1,000 drama televisyen berbesar hati dapat menerima anugerah tersebut daripada Yusof yang merupakan sahabat karib yang sering memberi galakan buatnya untuk terus berkarya.

Kalau ditinjau latar belakangnya, beliau mewarisi bakat lakonannya daripada arwah ibunya, Rokiah Jaafar, yang merupakan wirawati filem Antara Senyum dan Tangis serta Putus Harapan seangkatan dengan Kasma Booty.

Pada awalnya, beliau merupakan pekerja di bahagian solekan pelakon lelaki di Studio Jalan Ampas.

A. Galak yang dilahirkan di Johor tetapi dewasa di Singapura ditugaskan menjaga busana dan solekan pelakon bahkan pernah menyolek dua bintang filem tersohor ketika itu, Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarham Ahmad Mahmud.

Beliau kemudian diberi peluang menjadi pelakon tambahan filem Nujum Pak Belalang, Ali Baba Bujang Lapok, Gerak Kilat, Aksi Kuching dan A-Go-Go ‘67 di samping menjadi penari bagi beberapa babak.

Tiada niat untuk A. Galak menceburi bidang lakonan secara serius. Beliau hanya melakukannya untuk suka-suka sahaja.

Penutupan Studio Jalan Ampas pada 1967 mendesaknya mencari pelbagai pekerjaan lain untuk menyara kehidupannya.

A. Galak pernah menganggotai Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Persatuan Ali Fiji (digerakkan pelakon Ali Fiji) di Singapura.

Tugasnya ialah sebagai penari yang membuat persembahan di serata Kota Singa.

Bahkan, beliau juga pernah mengikuti kursus tarian selama sebulan di Kuala Kubu Bharu di Ulu Selangor.

A. Galak mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1984 kerana nyala rasanya pada seni begitu menyala untuk terus berkarya.

Beliau bahkan dilamar menjayakan filem ‘pecah panggung’ Sabah Film Productions, Azura, arahan Deddy M. Borhan.

Filem Darah Satria turut dijayakannya dan beliau menggalas peranan sebagai Sarjan Razak.

Bersama Yusof, antara drama yang dijayakan adalah Debu-Debu KotarayaRemang-Remang Kota Raya dan Roda-Roda Kotaraya.

Walaupun serangan angin ahmar ringan membuatnya memperlahankan kegiatan seni, A. Galak sempat terlibat dalam beberapa babak filem Don Dukun dan Jiwa 8 Belas yang ditayangkan pada 2024.

“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya dan memberi saya peluang berkarya pada usia sebegini,” kata A. Galak.

Laporan berkaitan
Elizabeth TanJul 24, 2024 | 1:05 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg