Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Sarung' rai 40 tahun sutradara Garin

Warna-warni Nusantara mencetus ilham buat beberapa penggiat seni ini berkarya menerusi wadah digital sempena Pesta Raya.Apakah yang ingin disampaikan mengenai warisan budaya? Apakah yang ingin disimpan sebagai nostalgia? BERITA HARIAN melaporkan.
Jun 08, 2021 | 05:30 AM



JIKA diminta menjelaskan secara ringkas pengalaman 40 tahun bergelar sutradara dan penerbit filem dan teater di Indonesia, Garin Nugroho menyifatkannya ibarat menggalas amanah sebagai peladang berpindah yang makan nasi campur.



Seawal usia 23 tahun, beliau sudah kelilingi Indonesia termasuk kepulauan Papua New Guinea bagi menjalankan kajian dan menghasilkan dokumentari untuk tatapan umum.



Setiap kali diketahui ada khazanah seni, budaya dan sejarah yang perlu diselongkar di sesuatu daerah, kakinya akan dilangkahkan ke sana untuk berkarya.



Diadunnya segala ramuan bak makan nasi campur untuk disajikan sebagai santapan yang lazat secara visual dan kandungan buat sang pencinta filem Nusantara di merata dunia.



Dengan usianya mencecah 60 tahun pada 6 Jun lalu, Garin yang disifatkan sebagai 'Bapa Filem Moden Indonesia' dan dikenali kerana beberapa filem sosial seperti Daun Di Atas Bantal, Dongeng Kancil Untuk Kemerdekaan dan Cinta Dalam Sepotong Roti, meraikan ulang tahun ke-40 berseni dengan menjalin kerjasama.



Setelah menghasilkan dokumentari di Sulawesi dan menjana muzikal di Jogjakarta, dengan Singapura, beliau dikomisyen Esplanade mengarah filem ringkas Sarung tentang kepentingan kain sarung buat kegunaan seharian yang kadangkala dilupakan.



Filem dengan sokongan Kedutaan Indonesia di Singapura itu disajikan secara digital sempena Pesta Raya 2021 anjuran Esplanade, mulai 8 malam Khamis ini.



Sarung yang dijayakan maestro tari Indonesia yang berusia 70 tahun, Rusini; serta anak seni lain, Minke Hapsari, Otniel dan Abdi Karya, akan berada dalam talian Offstage, Esplanade hingga 11.59 malam, 27 Jun ini.



Ia membawa anda meninjau penggunaan sarung sebagai pakaian seharian, pemberi keselesaan buat menidurkan si kecil mahupun bagi membungkus makanan.



Kisah kehidupan seorang penari dijejaki dan bagaimana dia menggunakan sarung bagi mereka cipta koreografi baru.



Dalam proses itu, dia mula teringatkan ibunya yang sudah lama tidak ditemui, menggerakkan kakinya langsung pulang ke desa bagi menemui sang ibu.



Ada unsur-unsur menyentuh jiwa dan sayu yang disisipkan dalam filem ini bagi mewujudkan tema perhubungan keluarga dan kepulangan ke desa tercinta.



Ketika dihubungi menerusi sidang Zoom, Garin yang sudah menerima pelbagai anugerah seni terbilang seperti Order of Arts and Letters dari Perancis serta Stella D'Italia Cavaliere dari Italy, berkata:



"Saya berbesar hati dapat menyambut ulang tahun ke-40 saya dalam dunia perfileman dengan menjalin kerjasama kecil tetapi bermakna dengan beberapa pihak termasuk Esplanade di Singapura.



"Sarung menggambarkan kehidupan seharian kita di Nusantara ini. Ia menjadi sebahagian kostum tradisional, keagamaan mahupun fesyen.



"Ada banyak kegunaan sarung dalam tarian juga. Kalau ditebarkan secara meluas, sarung juga digunakan ketika bersolat, mengikat kaki pencuri apabila ingin menangkapnya, digunakan bagi memanjat pepohon kelapa untuk mengambil buah kelapa mahupun bagi membikin boneka dengan menggunakan fabrik ini.



"Sewaktu dilahirkan, bayi digendung dan dibedung dengan sarung. Dia juga diayun dalam buaian sarung. Apabila seseorang meninggal, sarung juga digunakan.



"Dalam seni pemasangan, sarung juga dijadikan bahan utama. Justeru, terlalu banyak kegunaannya dan betapa dekatnya sarung itu dengan kita tetapi ia kadangkala tidak begitu dipentingkan."



Di atas kesedaran itulah, Garin mengambilnya sebagai tema utama dan perlambangan untuk diselongkar dalam filem ringkas ini.



Menyentuh cabaran menghasilkan Sarung, beliau berkata bagi memenuhi penceritaan filem ini, beliau berdepan dengan cabaran menemukan pemain bagi filem ringkas ini.



"Saya mahu pelakon yang dapat membawa penonton menemukan erti sarung ini, perasaan dan memori yang terikat padanya.



"Dalam filem tari ini, saya ingin sampaikan betapa hormatnya penari terhadap sarung yang digunakan. Maklum, kadangkala dalam berseni, kita lupa memberi rasa hormat pada objek yang banyak berjasa ini



"Saya ketemu penari berstatus maestro, Rusini bagi membawakan watak utama. Ibu ayahnya merupakan penari 'diva' zaman Presiden Sukarno dahulu.



"Saya selalu juga menonton tarian ayahnya Rustam ketika kecil dahulu. Gayanya ibarat 'Superman' yang mampu menari tarian klasik Kraton dengan gerak tangan yang ketara.



"Seiringan dengan muzik yang sesuai, saya ingin menyampaikan nilai-nilai antara dua generasi penari. Yang muda penuh gelisah tetapi bekerja keras.



"Setiap gerak tari yang menggunakan sarung ini membawanya mengingati ibunya dan betapa inginnya dia kembali menemui ibu yang dirindui," jelas Garin lagi.



Dalam setiap projek seninya, pengarah prolifik dan disegani ramai ini enggan kebosanan singgah ke hati. Lantas itu, beliau selalu mengusahakan sesuatu yang baru dan mampu mewujudkan saspens buat dirinya sendiri, kerapkali bermula dengan kedudukan 'sifar' untuk diisi dengan ilmu dan pengalaman baru.



"Saya selalu cari tema yang boleh diangkat dan tidak pernah diperjuangkan sebelum ini.



"Malah, alhamdulillah, saya bersyukur setiap fasa filem yang saya hasilkan menyentuh sejarah Indonesia dari konteks 1900-an, perbincangan ligat isu kejantinaan maskulin dan feminin kepada tempoh kini dengan krisis gejala tsunami mahupun wabak Covid-19 ini," tambahnya.



Memandang ke depan, Garin berkata kerja seninya berjalan terus walaupun dunia seni Indonesia juga terkena tamparan hebat pandemik.



"Seseorang anak seni akan rasa resah kalau tiada perkara yang dapat dilakukan meskipun hanya selewat dalam talian.



"Sebagai sutradara senior, saya dijadikan sumber rujukan dan membantu menyelia projek filem Indonesia yang pertama buat Netflix, A Perfect Fit.



"Ia diarah murid saya, Hadrah Daeng Ratu dengan saya menulis naskhahnya.



"Malah, kerana sudah banyak menjadi peladang berpindah dan makan nasi campur sewaktu muda, saya mampu hasilkan projek filem ringkas secepatnya sebab sudah ada ilmu latar belakang tentang sesuatu daerah atau konteks budaya dan sejarah sarung misalnya dan muzik yang bersesuaian," tambahnya.



Garin juga menanti-nanti peluang mengarah filem seram, Puisi Cinta Yang Membunuh, yang diinspirasikan daripada buku puisi terkininya, Adam, Hawa, dan Durian.



"Saya sisipkan muzik rok dan fesyen dalam filem seram ini. Ia mengisahkan tentang penyair penggoda atau penyair 'playboy' yang satu-persatu menjadi mangsa pembunuhan," jelasnya yang akan menjalani penggambaran sekitar bulan depan.




"Saya berbesar hati dapat menyambut ulang tahun ke-40 saya dalam dunia perfileman dengan menjalin kerjasama kecil tetapi bermakna dengan beberapa pihak termasuk Esplanade di Singapura. Sarung menggambarkan kehidupan seharian kita di Nusantara ini. Ia menjadi sebahagian kostum tradisional, keagamaan mahupun fesyen."
- Garin Nugroho, pengarah Indonesia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >