Mereka yang ingin berkunjung ke Padang, Phu Quoc atau Shantou tidak lama lagi akan mempunyai pilihan penerbangan langsung setelah syarikat penerbangan bajet, Scoot, mengumumkan pada 11 November tentang rangkaian penerbangannya yang diperluas.
Penerbangan ke Phu Quoc di Vietnam akan bermula pada 20 Disember sementara penerbangan ke Padang di Indonesia adalah pada 6 Januari 2025.
Penerbangan sulung ke Shantou di China pula dilancarkan pada 16 Januari 2025.
Phu Quoc terkenal dengan pantainya yang tidak tercemar dan kehidupan liarnya yang jarang ditemui, selain menempatkan Taman Nasional Phu Quoc yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera Unesco atau Unesco Biosphere Reserve.
Kini, Phu Quoc adalah satu-satunya destinasi di Vietnam yang mempunyai dasar bebas visa selama 30 hari.
Mulai 20 Disember, Scoot akan mengendalikan tiga penerbangan ke sana setiap minggu, sebelum menaikkan bilangannya kepada lima dalam seminggu mulai 25 Januari 2025.
Bagi Padang, ibu kota Sumatera Barat dan tempat kelahiran juadah Nasi Padang, penerbangan akan dijalankan sebanyak empat kali dalam seminggu.
Shantou pula merupakan bandar tepi pantai di wilayah Guangdong di China, dan menawarkan juadah Chaoshan termasuk makanan laut mentah yang diperap.
Penerbangan Scoot ke destinasi tersebut akan beroperasi tiga kali dalam seminggu.
Selain destinasi baru, Scoot akan membuat penyesuaian kepada rangkaiannya untuk memenuhi permintaan dengan lebih baik dan mengoptimumkan penggunaan pesawat.
Scoot akan menambah dua lagi penerbangan ke Jakarta setiap minggu, membawa kepada jumlah penerbangan secara keseluruhan kepada 19 kali seminggu mulai 20 Disember.
Perkhidmatan ke Koh Samui di Thailand akan dinaikkan daripada 14 kepada 21 kali seminggu mulai 20 Disember, sementara penerbangan ke Davao di Filipina akan dinaikkan daripada sembilan kepada 11 kali seminggu mulai 17 Disember.
Penerbangan ke Vientiane di Laos akan naik daripada empat kepada lima kali seminggu mulai 9 Februari 2025.
Namun, operasi ke Nanchang di China akan digantung selepas penerbangan terakhir pada 14 Februari 2025.
Penerbangan ke Phu Quoc, Padang dan Shantou boleh ditempah menerusi laman web dan aplikasi telefon bimbit Scoot, dengan harga bermula dari $135, $119 dan $169 masing-masing bagi tiket kelas ekonomi sehala.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg