Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Search cari lagu Raya pertama, temui ‘Sujud Aidilfitri’

Apr 2, 2024 | 3:09 PM
Search yang dianggotai (dari kiri) Hillary Ang, Man Kidal, Datuk Amy dan Nasir Daud akhirnya memiliki lagu Hari Raya sendiri, ‘Sujud Aidilfitri’, yang penuh dengan pesanan untuk bermuhasabah dan mengenang kekhilafan diri.
Search yang dianggotai (dari kiri) Hillary Ang, Man Kidal, Datuk Amy dan Nasir Daud akhirnya memiliki lagu Hari Raya sendiri, ‘Sujud Aidilfitri’, yang penuh dengan pesanan untuk bermuhasabah dan mengenang kekhilafan diri. - Foto UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

Kumpulan rok ikonik Search melakar sejarah peribadi apabila buat julung-julung kalinya merakamkan lagu Raya selepas hampir empat dekad berada dalam industri seni.

Karya ciptaan Jun dan Search berjudul, Sujud Aidilfitri, itu kental dengan genre rok balada serta mempunyai ciri khas vokalisnya, Datuk Amy.

Mengulas pembikinan lagu itu, Amy berkata tiada yang terlalu gah mengenai Sujud Aidilfitri, namun ia lebih menekankan pesanan murni menerusi bait lirik yang dihasilkan.

Sujud Aidilfitri memiliki lirik lebih menyentuh dan beremosi sesuai dengan suasana Aidilfitri.

“Liriknya lebih bersifat kepada muhasabah diri, merenung kekhilafan yang dilakukan, seterusnya dengan rendah hati memohon kemaafan.

“Aidilfitri, hari kemenangan dan 1 Syawal secara tradisi dimulakan dengan bermaafan sebelum umat Islam menyambutnya dengan penuh bahagia.

“Inilah yang ingin disampaikan dalam lagu, Sujud Aidilfitri. Sebuah sengketa dapat terhapus dengan satu kemaafan yang sejati,” ujarnya.

Menurut kumpulan yang turut dianggotai Nasir Daud, Man Kidal dan Hillary Ang itu, keputusan merakamkan lagu Sujud Aidilfitri adalah usaha menghidupkan budaya memiliki lagu Raya yang semakin jarang dirakamkan kerana kecenderungan pendengar memilih mendengar lagu Raya lama yang bersifat malar segar.

“Tidak dinafikan akan ada lagu Raya baru dirakamkan, tetapi dengan genre atau suasana lagu lebih cenderung meriah atau bersifat merayakan sesuatu secara besar-besaran.

“Jadi, Search memilih nuansa lebih kental daripada melodi dan liriknya sesuai dengan kematangan kami,” ujar Nasir, yang juga pemain bes kumpulan itu.

Dipasarkan oleh Universal Music, lagu Sujud Aidilfitri yang kini sudah mula boleh didengari di corong radio turut seiringan penerbitan muzik video yang berlatarbelakangkan keindahan panorama negeri Terengganu.

“Search amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Jabatan Pelancongan negeri Terengganu kerana kolaborasi yang terjadi untuk melancarkan klip video, Sujud Aidilfitri.

“Kami memilih Terengganu kerana mahu memiliki suasana desa, damai dan bersesuaian dengan keseluruhan konsep lagu Sujud Aidilfitri,” tambah Amy mengenai video muzik arahan Datuk M Razlan Ismail itu.

Pastinya semua artis mengidamkan lagu Hari Raya sendiri dalam senarai diskografi mereka. Seberapa banyak pun lagu hit yang dimiliki, kalau ada lagu musiman, gerenti seronok!

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg