SPH Logo mobile
Langgan|

Sebelum 'Panglima Badul' kisah 'Si Comat', Mak Enon puteri bangsawan

Sebelum 'Panglima Badul' kisah 'Si Comat', Mak Enon puteri bangsawan

Pernah jayakan bangsawan Inggeris 'Prince Hamlet'
Jun 25, 2020 | 5:30 AM

Sebelum 'Panglima Badul' kisah 'Si Comat', Mak Enon puteri bangsawan

DISAYANGI DAN DISENANGI: Mak Enon yang sering diberi watak pembantu becok, garang, lucu atau bersahaja sering mengikuti rombongan pelakon Malaysia ke festival filem di dalam dan luar negara sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. - Foto ARKIB FILEM MELAYU
DISAYANGI DAN DISENANGI: Mak Enon yang sering diberi watak pembantu becok, garang, lucu atau bersahaja sering mengikuti rombongan pelakon Malaysia ke festival filem di dalam dan luar negara sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. - Foto ARKIB FILEM MELAYU -

WATAK makcik pembantu rumah yang kurus bersiput dan beriya-iya meminta dirakam gambarnya bagi tatapan si boyfriend dalam filem terbitan 1970, Tuah Badan, mencuit hati penonton.

Gelagat makcik selamba yang lebih mesra dengan panggilan Mak Enon dalam beberapa filem 1970-an seperti Keluarga Si Comat, Panglima Badul dan Tuan Besar, memang terpahat di minda ramai pencinta filem.

Sebagaimana kata Cik Linda Amarudin, 52 tahun, seorang pentadbir klinik yang membesar dengan filem-filem AR Badul:

"Saya selalu perhatikan Mak Enon yang berwajah comel pada usia senjanya.

"Beliau selalu tersenyum dan lucu kerana melontarkan dialog selamba dengan wajah bersahaja.

"Saya ingat kalau ada teman wanita yang kelakar dan berbadan kurus sahaja di sekolah, kami akan gelar dia Mak Enon!"

Dramatis Malaysia, Amyza Adnan, 43 tahun, yang kurus tinggi dan becok mengaku anak-anak jiran di Alor Gajah, Melaka, sering memanggilnya dengan gelaran Mak Enon sewaktu di sekolah kerana memiliki ciri-ciri persis pelakon veteran itu.

Sungguhpun begitu, tidak ramai yang menyedari Mak Enon, yang nama sebenarnya Amon@Ainon Chik, merupakan Ratu Bangsawan sebelum bergelar pelawak filem dan drama di Singapura dan Malaysia.

BERLAKON DALAM DRAMA INGGERIS 'PRINCE HAMLET'

Beliau yang dilahirkan di Geylang Serai pada 1911 malah pernah menjayakan watak utama sebagai Putera Hamlet dalam pementasan drama Inggeris, Prince Hamlet, arahan tokoh bangsawan Singapura, Shariff Medan.

Pementasan itu disajikan atas permintaan kerajaan Inggeris yang menjajah Singapura sekitar 1945 selepas pendudukan Jepun.

Sayangnya, tiada butiran lanjut ditulis mengenai pementasan ini. Tiada juga gambar beliau ketika menjayakan watak tersebut.

Semua maklumat ini digali daripada keratan rencana lama dalam majalah filem dan akhbar Berita Harian.

Jika sebilangan wanita dambakan peranan menjayakan filem klasik P. Ramlee yang mendapat sambutan baik, Mak Enon dikatakan menolak lamaran P. Ramlee bagi menjayakan tiga filemnya kerana ingin terus kekal 100 peratus sebagai anak bangsawan.

Di laman Facebook Repair Gambar Lama yang memetik beberapa sumber termasuk majalah URTV 1983 dan Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik, dikatakan Mak Enon pernah diberi peranan sebagai perempuan joget.

Namun, beliau memberitahu Ramlee bahawa anak bangsawan tidak tahu berlakon filem lantas menolak tawaran itu.

Sekali lagi Mak Enon yang pandai bersilat diberikan pula watak sebagai pesilat oleh Ramlee. Itu pun beliau tolak buat kali kedua.

Berdarah kacukan Bugis dan Cina, Mak Enon adalah anak bongsu dalam empat beradik.

Berbanding kebanyakan pelakon bangsawan yang dilahirkan di Indonesia, beliau adalah anak watan Singapura. Beliau bagaimanapun mempunyai saudara-mara dari Kuching, Sarawak.

Kerana begitu meminati bangsawan sejak kecil, Mak Enon pernah curi-curi masuk dalam panggung.

Dari situ, pada usia 16 tahun, beliau mula berjinak-jinak menjadi penyanyi yang secara bidan terjun, menjayakan bangsawan Wak Naning dengan menyanyikan lagu Aladdin dan Cik Mamat.

Penyanyi asal dua lagu ini adalah penyanyi lama, Miss Tijah.

DAPAT GELARAN 'SERI PANGGUNG'

Dalam pada itu, persembahan tidak dirancang Mak Enon itu mendapat sambutan daripada pemilik kumpulan bangsawan tersebut.

Gaji 40 ringgit sebulan ditawarkan kepadanya dengan beliau berpeluang menjelajah Indonesia menerusi beberapa bangsawan bergerak.

Mak Enon disukai ramai dan menganggotai kumpulan bangsawan City Opera, Genani Star Opera dan panggung New World Hall.

Kerana kebolehan dan kemahirannya itu, beliau bergelar Seri Panggung atau primadona empat tahun kemudian ketika bersama Kumpulan Royal Opera.

Mak Enon dibawa menjelajah ke Palembang, Sumatera dan Jawa bagi pelbagai persembahan bangsawan.

Dalam jelajahnya itu, Mak Enon yang ketika itu berusia 21 tahun, bertemu jodoh dengan pemuzik yang hanya dikenali dengan panggilan Kassim pada 1932.

Jodoh mereka bagaimanapun tidak panjang dan mereka berpisah tidak lama selepas itu.

Sepanjang hayatnya, Mak Enon pernah berumah tangga dengan pelakon yang `selalu membawa watak ceti dalam filem P. Ramlee, Shariff Babu, penyanyi lagu asli Hamzah Dolmat dan pelakon Tiga Abdul, Haji Mahadi.

Mak Enon dikatakan mempunyai 16 anak kesemuanya. Namun, lapan daripadanya meninggal dunia.

Kembara Mak Enon ke pelbagai negeri di Indonesia membawanya kembali ke Singapura sekitar 1950.

BOLEH MENYANYI PELBAGAI BAHASA

Beliau menjadi penari di pusat hiburan New World dengan pengusaha pusat tersebut juga mengesan bakatnya menyanyi dalam bahasa Jepun, Tamil, Jawa, Hindustan dan Minangkabau.

Apabila dunia perfileman di Singapura mula merudum, Mak Enon berhijrah ke Kuala Lumpur pada usia 49 tahun.

Di sana, sambil-sambil berlakon, beliau memulakan kehidupan baru dengan menjual nasi lemak.

Hatinya mula terbuka berlakon filem dan menjayakan antara beberapa filem terakhir arahan P. Ramlee, Laksamana Do Re Mi, pada 1972.

Beberapa filem lain yang dijayakannya termasuk Keluarga Si Comat arahan Aziz Sattar (1975), disusuli dengan Sayang Anakku Sayang arahan Jamil Sulong (1976), Panglima Badul arahan Hussein Abu Hassan (1978), Dayang Suhana arahan Aziz Abad (1978), Tuan Besar arahan Malek Selamat (1980) dan Mekanik arahan Othman Hafsham (1983).

Kerana beliau masih sihat pada usia senja, Mak Enon juga sering dibawa mengikuti rombongan artis dalam beberapa pesta filem di dalam dan luar negara seperti Festival Filem Asia-Pasifik.

Beliau menghembuskan nafas akhirnya di rumah anak lelakinya di Hulu Klang pada usia 81 tahun kerana penyakit lemah jantung, jelas laporan Bernama bertarikh 5 April 1992.

Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Islam di Klang Gate. Beliau dijaga menantunya, Puraini Peramut, juga bekas pelakon filem P. Ramlee.

Penangan Mak Enon ternyata tidak pernah hilang malah diabadikan dalam beberapa lagu popular seperti Joget Mak Enon (dendangan Carefree) dan Lenggang Mak Enon (Tan Sri S.M. Salim).

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg