Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sedia terhibur dengan 'Mat Bond Malaya'

Filem komedi tentang ejen dan zombi, arahan sulung pengacara 'Gegar Vaganza', Nabil Ahmad, turut ketengahkan juara GV, Naqiu dan Ramli MS
Jul 23, 2021 | 05:30 AM



BAGAIKAN satu perhimpunan individu kreatif yang menjayakan rancangan realiti kesukaan ramai, Gegar Vaganza (GV).



Inilah yang penulis rasakan apabila membaca nama penerbit, pengarah dan pelakon filem Mat Bond Malaya yang kini disiarkan ke 'pawagam' di rumah penonton melalui khidmat penstriman Astro First, yang kian popular pada masa pandemik.



Pengacara selamba, mulut laser dan gila-gila, Nabil Ahmad, merupakan penerbit dan pengarah filem aksi komedi tentang Mat, pemuda biasa yang bercita-cita tinggi menjadi ejen perisik di M6.



Menerusi bantuan ibunya, Mat diterima bekerja di situ, tetapi hanya sebagai budak pejabat M6. Dia juga jatuh hati pada ejen wanita jelita, Bondi.



Apabila virus zombi tersebar dan mengena sasaran kepada ramai termasuk ejen di agensi risikan M6, Mat tampil sebagai wira bagi mencari penawar virus demi menyelamatkan dunia.



Selain Nabil, juara GV6, Naqiu, menerajui Mat Bond Malaya sebagai watak utama Mat.



Ketua juri GV dan mentor peserta, Datuk Ramli MS, juga tampil sebagai watak 'cameo' bersama Datuk Seri Aliff Syukri, Syafiq Kyle, Han Byul, Datuk Yusof Haslam, Didie Alias dan Ning Baizura.



Selebriti lain yang membawa watak utama dalam filem ini terdiri daripada penyanyi dan pelakon jelita, Elizabeth Tan, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar, Amyza Aznan dan Farid Halus.



Menyaksikan filem ini sebagai santapan hiburan Hari Raya Haji yang diraikan Selasa lalu, dapat dikatakan ini merupakan projek sulung Nabil yang membawa anda ke zon komedi yang dinanti-nanti.



Kalau kita sebut tentang Hari Raya, pasti kita akan menantikan penerbitan filem yang hebat-hebat belaka.



Saya masih ingat penangan filem seperti Ali Setan, Sembilu, Gerak Khas The Movie dan Senario yang suatu ketika dahulu menarik ramai ke pawagam pada musim Lebaran.



PENAWAR



Sebelum kita kerap dihujani filem seram Malaysia dan Indonesia yang menyelubungi pasaran, baik yang bermutu seperti Hantu Kak Limah dan Langsuir atau baki yang lain yang merapik, kehadiran Mat Bond Malaya bagaikan satu penawar.



Ia mengingatkan saya yang dewasa dengan filem-filem ejen risikan James Bond yang padat dengan aksi dan filem aksi komedi Mat Sentul, Mat Bond, yang tidak jemu ditonton berulang kali.



Jefri Zain - Gerak Kilat yang dibintangi Jins Shamsuddin juga mempunyai tema perisik dan penggunaan senjata yang dianggap canggih pada ketika itu.



Meletak Naqiu sebagai bintang utama filem Mat Bond Malaya ini cukup sesuai kerana beliau mempunyai tarikan dalam kalangan peminat band Boboy yang pernah dianggotainya dahulu serta peminat GV yang terkesima dengan suaranya.



Beliau mampu membawa watak komedi dengan baik, apa lagi ketika digandingkan dengan Tan yang mesra dengan panggilan Lizzy.



Lizzy pula memang ibarat 'Bond Girl' (dalam filem ini Minah Mat Bond) yang tepat dengan kejelitaan dan bicaranya yang manja, tetapi tetap lasak dengan babak aksi persis menghidupkan filem detektif Charlie's Angels.



Tiga dramatis veteran, Riezman, Azri dan Amyza pula memang 'orang lama' yang bersahaja dan mampu menyesuaikan diri dalam mana-mana plot filem.



Apa yang ditekankan dalam filem ini di sebalik babak komedi yang mencuit hati atau babak cemas yang mencetus debaran adalah semangat membina impian sehingga jadi kenyataan.



Mat hanya budak pejabat di M6, tetapi dia kemudian menjadi penyelamat apabila virus zombi mula menular hebat.



Filem ini mempunyai rencah elemen Barat yang membuat kita terpaku pada layar pawagam.



Orang suka filem ala James Bond. Orang juga suka filem dengan kewujudan zombi yang menghantui.



PERIHAL VIRUS



Dengan tempoh pandemik Covid-19, Mat Bond Malaya juga menangani perihal virus.



Nabil, 38 tahun, dalam satu wawancara bersama Harian Metro, berkata beliau berazam memberikan imbuhan besar buat pelakon serta kru penerbitan filem pertama arahannya itu jika kutipannya mencecah RM10 juta ($3.2 juta).



Niat itu sudah ditanam sejak awal lagi bagi menghargai semua yang terbabit.



Beliau berharap dapat tunaikan janji itu berikutan ramai penggiat seni terkesan sepanjang pandemik Covid-19 ini.



"Sebenarnya, saya sudah beritahu mereka bahawa saya mahu bayar dua kali ganda sekiranya filem itu mencecah RM20 juta. Ini kerana asalnya filem itu patut ditayangkan di panggung wayang.



"Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, tayangannya diputuskan dibuat menerusi saluran Astro First. Jadi, saya berharap ia akan mendapat sambutan dan mampu mencecah kutipan RM10 juta," jelasnya lagi.



Naqiu, yang pada awalnya berat menerima tawaran menggalas amanah besar dalam filem ini, pula memberitahu laman Kosmo! bahawa beliau menerima watak itu setelah diberitahu Datuk Ramli turut menjayakan projek ini.



"Ketika Nabil selaku penerbit dan pengarah mengajukan tawaran, saya berada dalam tandas sementara menunggu giliran pada malam kemuncak GV.



"Waktu itu saya terkejut apabila dihubungi Nabil yang bertanya sama ada saya mahu menjadi hero dalam filem pertama arahannya membawakan watak perisik.



"Perasaan ketika itu teruja, tetapi masih berbelah bahagi sebab ini kali pertama dipelawa sebagai karakter utama apatah lagi dalam penerbitan bergenre komedi.



"Tetapi apabila dia menyatakan 'tok guru' yang saya hormati, Datuk Ramli MS, yang ada di dewan sama sudah memberi persetujuan lebih awal, saya terus nekad mencabar diri," tambahnya, yang banyak belajar tentang mengeluarkan humor dalam dirinya daripada 'Raja Lawak', Nabil.




"Apa yang ditekankan dalam filem ini di sebalik babak komedi yang mencuit hati atau babak cemas yang mencetus debaran adalah semangat membina impian sehingga jadi kenyataan.

Mat hanya budak pejabat di M6, tetapi dia kemudian menjadi penyelamat apabila virus zombi mula menular hebat.

Filem ini mempunyai rencah elemen Barat yang membuat kita terpaku pada layar pawagam.

Orang suka filem ala James Bond. Orang juga suka filem dengan kewujudan zombi yang menghantui."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >