SUMBANGAN beberapa seniman Singapura yang telah menyinari persada seni Melayu setempat diiktiraf melalui pengagihan dana $97,000 yang telah dikumpulkan melalui kempen Sinar Kasih.

Kempen yang diadakan buat julung kalinya Ramadan ini merupakan kerjasama dua badan Melayu - Prihatin (Penggiat Seni Melayu Singapura) dan Perkumpulan Seni bersama Mediacorp untuk menyuntik keceriaan dalam kehidupan artis-artis ini.

Hasil daripada pengumpulan dana itu telah disalurkan kepada sembilan bintang seni melalui beberapa sesi pengagihan dalam bentuk wang tunai.

Antara penerima termasuk:

  1. Mantan penyiar dan pembaca berita, Riz Sunawan yang menghidap penyakit saraf motor neuron (MND);
  2. Artis veteran, Mohamed Shor, atau lebih dikenali sebagai Mahadi Shor yang disahkan menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung;
  3. Pelakon veteran, Zainon Ismail yang lebih dikenali sebagai Mak Otek yang kini mengalami kesan penyakit kencing manis dan juga angin ahmar;
  4. Penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 67 tahun, yang mengalami angin ahmar;
  5. Pelakon, Zamberi Abdul Patah, 56 tahun, yang mengalami penyakit elefantiasis;
  6. Pemuzik setempat, Zubir Abdullah yang menghidap pneumonia, meningitis dan sakit jantung;
  7. Pemain gitar Sweet Charity, Rosli Mohalim, 67 tahun, yang mengalami komplikasi akibat serangan angin ahmar;
  8. Vokalis kumpulan trio 1990-an, Koosmangat, Ahmad Indra, yang kudung kededua kakinya akibat komplikasi ekoran penyakit kencing manis; dan
  9. Vokalis, Last Minute Band, Manisah Amat, 53 tahun, yang disahkan menghidap barah buah dada.

Habuan yang diberikan tersebut diharap dapat memberi mereka kesedaran bahawa masih ada yang ingat dan prihatin terhadap keadaan mereka sekarang.

Ketua Perkumpulan Seni, Encik Muhammad Irsadi Munaris, berkata:

"Walaupun habuan yang diterima mungkin tidak dapat mengembalikan kesihatan mereka, namun kami harap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang mereka tanggung sejauh ini dengan harapan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dan agar mereka tahu bahawa pelibatan mereka dalam arena seni sebelum ini amat dihargai."

Semasa dihubungi Berita Harian, beliau turut merakamkan penghargaannya kepada anggota masyarakat yang telah memberikan sokongan padu terhadap usaha itu.

Usaha kebajikan tersebut juga diadakan sempena ulang tahun Perkumpulan Seni yang ke-65 tahun, menurut Encik Irsadi.

Turut melahirkan penghargaannya atas sumbangan masyarakat ialah Presiden Prihatin dan juga pelakon veteran, Jasmi Md Nor atau lebih dikenali sebagai Joe Jasmi.

"Kami harap usaha ini bukan hanya dapat memajukan rakan-rakan seni malah membawa ruang dan peluang untuk meringankan keperitan mereka," katanya.

Usaha pengumpulan dana itu telah dimulakan sejak 15 Mac lalu dan orang ramai telah membuat sumbangan derma menerusi PayNow atau dengan mengimbas kod QR yang diberikan.

Satu sesi pengagihan telah diadakan pada 17 April namun disebabkan respons di luar jangkaan terhadap usaha pengumpulan dana itu, penganjur merancang untuk memperluas bantuan mereka untuk memberi penghargaan buat lebih ramai artis.

Pengagihan lain akan dijalankan dalam tempoh setahun ini.