Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sektor pelancongan Thai bangkit, sambut lebih 35j pelawat pada 2024

Jan 7, 2025 | 11:33 AM
Seorang jurupandu membawa sekumpulan pelancong asing mengunjungi kuil Wat Arun di Bangkok, Thailand pada 6 Januari 2025.
Seorang jurupandu membawa sekumpulan pelancong asing mengunjungi kuil Wat Arun di Bangkok, Thailand pada 6 Januari 2025. - Foto EPA

BANGKOK: Thailand menyambut lebih 35 juta pelancong antarabangsa pada 2024, melepasi sasaran kerajaan sedang negara itu berusaha menghidupkan semula ekonominya yang lembap, kata pegawai pada 6 Januari.

Sektor pelancongan yang penting bagi negara itu merangkumi hampir 20 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tetapi berdepan dengan kesukaran apabila pandemik Covid-19 tercetus dan tabiat pelancong berubah.

Lebih 35 juta pengunjung melawat negara itu pada 2024, kurang sekitar empat juta daripada jumlah tertinggi yang dicatat pada 2019 sebelum pandemik, menurut Kementerian Sukan dan Pelancongan.

China telah merampas semula kedudukannya sebagai sumber paling utama pelancong di Thailand – setelah menyaksikan kemerosotan selepas pandemik – dengan lebih enam juta pengunjung tahun lalu, diikuti Malaysia dan India.

Negara itu – dikenali dengan pantainya yang tidak tercemar dan kuil ikonik – menjana lebih 1.6 trilion baht ($62.8 bilion) daripada perbelanjaan pelancong pada 2024, menurut menteri pelancongan Sorawong Thienthong.

Kerajaan Thailand, di bawah bekas Perdana Menteri Srettha Thavisin, telah memperkenalkan sejumlah langkah untuk menarik pengunjung asing, termasuk program bebas visa untuk pelancong China dan India.

Setelah melepasi sasarannya iaitu 35 juta pelancong pada 2024, kerajaan telah menetapkan sasaran 39 juta pengunjung pada 2025.

Bank Dunia menganggarkan bahawa negara itu akan melepasi tahap prapandemiknya pada 2025, namun pelancong didapati berbelanja kurang daripada yang dilakukan mereka sebelum ini. – AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg