Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Belasungkawa

Selamat jalan Ratu Rok Tina Turner, pemerkasa jiwa lara wanita

May 25, 2023 | 12:36 PM



SUARA serak-serak basah Tina Turner menyanyikan lagu What’s Love Got To Do With It masih terpahat di ingatan ramai.


Penulis sendiri mengingati imej lasak, rambut yang dibiar kusut sesuai dengan penampilan bintang rok yang ditampilkan Turner ketika itu.

Lagu itu membawa tuah buatnya sehingga di Anugerah Grammy bahkan menjadikan Turner penyanyi wanita paling berusia ketika itu untuk dapatkan takhta single Nombor 1 di Amerika Syarikat pada usia 44 tahun.

Pemergiannya pada usia 83 tahun pada Rabu, justeru itu meninggalkan kesan bagi pencinta muzik yang dewasa dengan lagu-lagunya seperti The Best, We Don’t Need Another Hero dan Proud Mary.


Kalau ditanya peminat Turner, ramai yang menyatakan lagu-lagu cintanya memperkasa buat wanita yang selama ini berasakan dirinya belum cukup bagus untuk mengecapi kejayaan atau hidup berdikari daripada hubungan bersama lelaki yang memperlekehkannya.

Turner meninggal dunia kerana pelbagai komplikasi penyakit seperti barah, strok dan kerosakan ginjal.

Namanya mula menjadi sebutan pada tahun 1960-an bersama dengan bekas suaminya, Ike Turner, melalui lagu River Deep, Mountain High.


Pasangan ini bercerai pada 1978 dan menemui kejayaan sebagai artis solo pada tahun 1980-an. Antara punca perceraian adalah sikap Ike yang suka mendera dan tidak putus-putus cemburukan kejayaan isterinya itu.

Keperitan hidup Turner bermula sejak kecil lagi di kawasan perkampungan Tennessee, Amerika.

Beliau dilahirkan pada 26 November 1939 di desa terpencil di Nutbush, Tennessee, di mana bapanya, Floyd, merupakan seorang pekebun. Nama sebenar Turner adalah Anna Mae Bullock.

Sentiasa tampak bertenaga dan lincah bertemankan suara yang lantang, Turner memenangi hati ramai dan dipanggil ‘Ratu Rok’ atau ‘Nenek Rok’.

Kerana ibu bapanya perlu bekerja di kilang senjata tentera, Turner dan kakaknya, Aillene, terpisah daripada mereka. Beliau dan kakaknya terpaksa tinggal dengan datuk dan nenek mereka yang tegas dengan agama Kristian.

Ibunya meninggalkan keluarga mereka kemudian, ketika Turner berusia 11 tahun. Bapanya berkahwin lagi dua tahun selepas itu. Namun, Turner mula didedahkan pada nyanyian di gereja.

Beliau adalah gadis sorak di sekolah setempat, pemain bola keranjang dan menikmati kehidupan sosial yang memenatkan tetapi berbaloi buatnya. Awalnya, Turner ingin menjadi jururawat di hospital sekitar St Louis, Missouri.

Bagaimanapun, di sebuah kelab malam, dirinya bertemu dengan Ike yang membuat persembahan dengan bandnya, The Kings of Rhythm.

Turner membuat Ike kagum selepas diberi mikrofon untuk menghiburkan pengunjung kelab malam secara spontan.

Peluang untuk menjadi penyanyi utama timbul ketika seorang penyanyi, Art Lassiter, tidak hadir sewaktu sesi rakaman dan Turner perlu menggantikannya. Fool In Love mendapat sambutan amat menggalakkan dan berada di tangga ke-27 dalam Carta Billboard.


Nama Tina Turner diberi Ike untuk lebih menambah unsur komersial dan faktor bintang pada wanita yang menawan hatinya itu.

Ike, yang sebelum ini mempunyai lima perkahwinan, menambat hati Turner dan mereka berkahwin pada 1962. Bagaimanapun, ramai yang akui betapa kuat kawalan Ike yang cepat cemburu pada kejayaan isterinya itu.

Malahan, penerbit Phil Spector terpaksa membayar Ike sejumlah wang agar tidak mendekati studio di mana Turner merakamkan lagu River Deep Mountain High.


Kejayaan demi kejayaan yang diraih Turner membuatkan suaminya kian rasa resah sebab namanya pula mula mendak.

Mahligai mereka mula retak menanti belah. Ike ketagih arak dan kokain. Beliau juga mendera Turner dengan secara kasar dan memukul isterinya dengan penyidai baju ketika si isteri hamil. Ike juga menyimbah kopi ke arah isterinya.

Turner terpaksa mencari tempat persembunyian dan tinggal bersama teman-teman sebelum mengemukakan permohonan untuk bercerai.

Inspirasi Turner berjaya adalah semangatnya untuk mencipta semula kerjaya seninya pascaperceraian dengan Ike.

Dengan dibantu seorang eksekutif rakaman, beliau memulakan siri konsert jelajah sebagai artis solo meskipun sukar pada mulanya.

Katanya dalam wawancara bersama majalah Vogue:


“Ramai sangka Tina Turner hanyalah sejarah. Mereka hanya kenal Ike dan Tina Turner malahan tidak faham apa yang terjadi. Justeru, saya harus menguji kemampuan saya.”

Selepas dua album gagal memasuki carta lagu, Turner pastikan suaranya lebih bertenaga dan penampilannya menarik sehingga beliau mula mengadakan persembahan bersama Rod Stewart dan kumpulan legenda, Rolling Stones.

Album ‘Private Dancer’ menghasilkan tujuh lagu hit. Turner mula muncul sebagai pelakon dalam filem Mad Max Beyond Thunderdome dan menyumbang pada runut bunyi filem ini termasuk lagu temanya, We Don’t Need Another Hero.


Ini disusuli dengan dirinya dipilih sebagai penyanyi runut bunyi filem James Bond, GoldenEye.


Pada usia 61 tahun, beliau mengumumkan tidak akan seaktif dahulu. Namun, namanya dijulang sebagai ikon memperkasa wanita dalam pelbagai acara.

Turner kemudian berumah tangga dengan eksekutif rakaman, Edwin Bach, selepas menjalin hubungan selama 27 tahun. Beliau kemudian menukar kewarganegaraannya untuk menetap di Switzerland bersama suaminya.

“Saya tidak pernah rasa saya terlalu tua untuk melakukan sesuatu. Selagi masih ada hayat, saya akan cuba memperbaiki hidup saya kerana saya yakin semangat yang berapi itu ada dalam diri saya,” kata Turner dalam wawancara bersama Vogue.


Sebelum pemergiannya buat selama-lamanya, nama Turner diabadikan dalam sebuah muzikal di London yang mengupas perjalanan seninya.

Pelakon Angela Bassett yang membawakan watak Turner dalam filem riwayat hidup, What’s Love Got To Do With It, menulis di Instagram:


“Tina Turner menunjukkan kepada orang lain yang hidup dalam ketakutan betapa indahnya masa depan jika ia terisi dengan cinta, rasa ihsan dan kebebasan untuk memperjuangkan hak anda. Kata-kata terakhirnya buat saya, ‘Awak tidak meniru saya. Sebaliknya, awak selami dasar hati anda, temui jiwa Tina Turner dan menunjukkannya kepada dunia’.”

Turner meninggalkan suaminya dan empat anak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >