Selebriti tempatan, Marina Yusoff, akhirnya meraih ijazah sarjana muda dalam pengajian Islam pada usia 48 tahun.
Beliau, yang nama penuhnya Marina Yuhbi Md Yusoff, berjaya meraih Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Usuluddin dan Perbandingan Agama), daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur.
Menurut Marina, perjalanannya untuk menggenggam segulung ijazah impian yang mengambil masa hampir 10 tahun, tidak mudah dan sangat berliku.
Beliau menguatkan semangat dan beriltizam dengan sokongan padu daripada seluruh ahli keluarganya, dan memenuhi hasrat arwah ayahnya yang menginginkan anak-anaknya berjaya.
Bercakap dengan Berita Harian (BH) sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur, Marina yang juga pengarah kreatif Sri Warisan Som Said Performing Arts, berkongsi:
“Saya ingin sambung balik apa yang saya tinggalkan di madrasah dahulu selepas Syahadah (setara peringkat peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ untuk aliran madrasah).
“Yang mendorong saya untuk sambung belajar ialah abang saya, Ustaz Dr Yusri Yubhi Md Yusoff, yang memberitahu saya tentang program Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan laluan hingga ke peringkat sarjana.
“Ayah saya sudah jatuh sakit ketika itu sekitar 2014, dan pada awalnya, saya teragak-agak kerana sudah terlalu lama tinggalkan alam persekolahan. Beliau meninggal pada 2016 dan tak dapat lihat saya genggam ijazah.”
Marina telah melalui program Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI) dari 2015, dan kemudian sambung mengikuti Diploma Pengajian Islam (DPI) yang memakan masa hampir tiga tahun keseluruhannya.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah Sarjana Muda yang mengambil masa empat tahun.
Kursus yang diambilnya adalah kerjasama antara Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) dan UIAM.
Seluruh ahli keluarga turut hadir ke majlis konvokesyen pada 19 November di Kuala Lumpur untuk meraikan kejayaan Marina, termasuk ibu, abang, suami, empat anaknya yang berusia antara 10 dengan 20 tahun serta mentuanya.
Mengingati perjalanannya, Marina berkongsi beliau telah menghadapi dugaan hebat semasa mula belajar, terutama apabila beliau melalui keguguran beberapa bulan selepas melahirkan Alya (anak keempat):
“Doktor menasihati saya supaya lakukan operasi untuk bersihkan (kandungan akibat) keguguran tapi saya minta ditangguh sebab ada peperiksaan, jadi beliau beri saya ubat...
“Malam yang sama, saya pergi juga untuk menduduki peperiksaan, dan di tengah-tengah peperiksaan, saya terpaksa berlari ke tandas, dan di situ saya lihat seketul daging keluar.
“Walaupun begitu, saya terpaksa menahan sakit, dan sambung masuk ke dewan peperiksaan,” terang Marina yang ketika itu sedang mengambil ujian penggal pertama dalam program SLPI (2015).
Ujian besar buatnya datang sekali lagi apabila suami tercinta, Adel Dzulkarnaen, 48 tahun, yang juga anak jurutari veteran, Som Said, terlantar di hospital selama empat hari akibat angin ahmar hingga tidak sedarkan diri pada 2022.
Pada masa yang sama, Marina sedang menyiapkan tugasan kursusnya ketika itu. Kini, suaminya sudah pulih.
“Pada ketitka itu, memang rasa nak berhenti sebab banyak lagi yang belum habiskan dan tertangguh puluhan tugasan, dan bertindih-tindih sebab tak boleh fokus, tetapi saya minta Allah bantu.
“Saya terpaksa minta kebenaran profesor untuk beri saya lebih sedikit masa dan alhamdulillah permintaan saya diluluskan,” kongsi Marina.
Menurutnya, bukan mudah mengimbangi pelajaran dan menggalas tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan pejuang seni.
“Hujung minggu saya dipenuhi dengan kelas pada waktu malam. Memang penat untuk menghadiri kelas secara fizikal tetapi bersemangat apabila melihat profesor kami datang dari Malaysia semata-mata untuk menurunkan ilmu dan pengalaman mereka.
“Mujur suami, dan anak-anak sangat memahami dan beri saya semangat untuk terus berjuang. Saya juga dapat mengulas hafazan bersama anak-anak saya dan setiap kali pulang rumah, mereka akan bertanya apa yang saya belajar dan saya akan kongsikan.
“Kawan-kawan sekelas juga banyak memberi semangat. Kami bermula dengan 25 penuntut, tetapi akhirnya, hanya 11 yang tamat pengajian kerana pekerjaan, keluarga dan macam-macam halangan. Tetapi kami sentiasa saling memberi semangat agar terus sampai ke akhir garisan,” ujarnya.
Pada masa mudanya, beliau sibuk dengan kerja-kerja seni dan sebagai artis Singapura dengan kebolehan menari, berlakon, menyanyi dan mengacara.
Namun begitu, beliau tidak kesal dengan perjalanannya yang berbeza.
“Kelebihan belajar pada usia sebegini ialah saya lebih matang, dan dapat membuat penilaian dari sudut yang jauh lebih berbeza.
“Ini jelas kelihatan dalam menjawab soalan, kerana pengalaman hidup mengajar kita berfikir lebih mendalam, membantu dalam membuat analisis terutama dalam perbincangan agama,” ujarnya.
Marina menggesa mereka yang ingin melanjutkan pelajaran sepertinya agar meneruskan niat baik itu dan mulakan sesuatu serta jangan terlalu banyak berfikir tentang duit atau masa.
“Memang takkan rasa cukup, tetapi Allah bantu mudahkan perjalanan saya. Yang penting, mesti yakin dan terus berbakti kepada ibu bapa, dan minta juga restu suami,” terang Marina yang juga memohon keberkatan daripada kededua mentuanya.
Buat masa ini, Marina bercita-cita melanjutkan pelajarannya ke peringkat sarjana.
“
Hujung minggu saya dipenuhi dengan kelas pada waktu malam. Memang penat untuk menghadiri kelas secara fizikal tetapi bersemangat apabila melihat profesor kami datang dari Malaysia semata-mata untuk menurunkan ilmu dan pengalaman mereka. Mujur suami, dan anak-anak sangat memahami dan beri saya semangat untuk terus berjuang. Saya juga dapat mengulas hafazan bersama anak-anak saya dan setiap kali pulang rumah, mereka akan bertanya apa yang saya belajar dan saya akan kongsikan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg