Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selebriti seberang buru damai, raih kesyukuran tunai haji

Amy Mastura, Amy Search, Ella, Johan Raja Lawak antara selebriti yang menjadi ‘tetamu Allah’
Jul 8, 2024 | 5:30 AM
Amy Mastura (dua dari kiri) merahsiakan kunjungannya ke Makkah bagi ibadah haji tetapi baru menceritakan nikmat menjalankan rukun Islam kelima itu bersama suami, Alvin Tham Suffian (kanan), dan dua cahaya mata, Adriana (dua dari kanan) dan Adalia.
Amy Mastura (dua dari kiri) merahsiakan kunjungannya ke Makkah bagi ibadah haji tetapi baru menceritakan nikmat menjalankan rukun Islam kelima itu bersama suami, Alvin Tham Suffian (kanan), dan dua cahaya mata, Adriana (dua dari kanan) dan Adalia. - Foto INSTAGRAM AMY MASTURA

Ketenangan yang selama ini dicari-cari menyelinap dalam jiwa beberapa artis seberang yang baru pulang dari menunaikan ibadah haji di Makkah.

Penyanyi yang kelihatan awet muda, Amy Mastura, 51 tahun, membuat perkongsian dirinya kini bergelar hajah melalui hantaran Instagram (IG) pada 5 Julai.

Dalam hantaran itu, Amy memohon maaf kepada peminat kerana tidak memuat sebarang perkongsian sejak mula mengerjakan rukun Islam kelima itu.

“Assalamualaikum, salam Jumaat semua. Alhamdulillah saya dan keluarga sudah selesai mengerjakan rukun Islam yang kelima.

“Semoga Allah menerima ibadah ini. Saya minta maaf tidak kemas kini apa-apa semasa di Makkah.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada semua petugas dan ustaz yang sentiasa membimbing dan memastikan kami tidak tersasar tujuan,” katanya.

Amy mengakui banyak dugaan yang dilalui, namun, bersyukur Allah menemukan mereka sekeluarga dengan jemaah yang sangat baik.

Amy berkahwin dengan Alvin Tham Suffian pada Jun 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata Adriana, 23 tahun, dan Adalia, 20 tahun.

Sementara itu, dua penyanyi rok legenda, Datuk Amy Search dan Ella juga selamat menunaikan haji pada 2024.

Amy, 65 tahun, ditemani isterinya, Norhasniza Hassan, manakala Ella, 56 tahun, pula bersama suaminya, Azhar Ghazali.

Kedua-dua selebriti itu terharu dapat menyempurnakan ibadah haji mereka.

“Terbanglah ke sini mencari abadi, terbangkan ke mari mencari hakiki,” tulis Ella yang turut meninggalkan lirik lagu, Rama Rama, pada Instagram (IG) ketika berkongsi pengalamannya di Makkah.

Sementara itu, Amy pula menyifatkan pemergiannya ke tanah suci bersama isteri adalah hadiah terindah untuk isterinya yang menyambut ulang tahun kelahiran.

“Demi cintaku padamu, ke mana pun kan kau ku bawa, ke hujung dunia ke bintang kejora.

“Wukuf hari teristimewa buat bidadariku. Ini hadiah terindah daripada Allah swt buatmu Hajah Nor. Hari panggilan yang dinantikan dan lebih istimewa kerana hari wukuf jatuh di hari lahirmu,” tulis Amy yang mengharapkan mereka mendapat haji mabrur, dengan memetik sebahagian lirik lagu terkenal Search, Fantasia Bulan Madu.

Selain Amy Mastura, Amy Search dan Ella, antara selebriti Malaysia yang menunaikan haji pada 2024 ialah Johan Raja Lawak dan isteri, Ozlynn Waty; Datin Alyah dan Elfira Loy, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg