Selebriti tiga negara antara 2j jemaah kini di bawah lindungan Kaabah
Selebriti tiga negara antara 2j jemaah kini di bawah lindungan Kaabah
Selebriti tiga negara antara 2j jemaah kini di bawah lindungan Kaabah
BEBERAPA selebriti Singapura, Malaysia dan Indonesia merupakan antara dua juta jemaah yang kini sudah berada di Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Pelakon dan pengacara Marina Yusoff telah berada di Makkah sejak seminggu lalu, menunaikan haji bersama-sama suaminya, Adel Dzulkarnaen Ahmad dan abangnya, Ustaz Yusri Yubi Yusoff.
Menurut ibu mentuanya, jurutari tarian Melayu tradisional Som Said, kedua-dua Marina dan Adel mendapat undangan dan visa mengerjakan haji tahun ini kurang sebulan sebelum berangkat.
"Sejak pulang mengerjakan umrah sekeluarga tahun lalu, hati Marina dan Adel sudah lekat di sana, berkobar-kobar nak kerjakan haji. Alhamdulillah dapat undangan tahun ini," kata Cik Som ketika ditemui wartawan selepas menonton sebuah pelancaran album baru-baru ini.
Marina, ibu empat anak, ketika dihubungi menerusi WhatsApp berkata, sejauh ini beliau sudah selesai mengerjakan umrah wajib dan telah bertahlul - kini hanya menunggu hari tarwiyah untuk berangkat ke Arafah, dijangka pada 8 Zulhijah. Beliau dan Adel berada dalam keadaan sihat, katanya.
Beliau berkongsi rasa syukur yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana diundang mengerjakan haji tahun ini.
"Alhamdulillah saya terima puluhan mesej yang meminta sampaikan doa serta hajat... sedih dan pilu saya membacanya. Ramai yang melalui pelbagai kesedihan, keperitan, kesakitan dan penderitaan mental dan fizikal namun terus kuat dan tabah menempuhi cabaran hidup sebagai hamba Allah dimuka bumi ini. Subhanallah.
"Insya-Allah saya akan cuba sedaya upaya menyampaikan keseluruhan doa-doanya di tempat-tempat yang mustajab di Makkah dan Madinah," kata Marina sambil mengucapkan terima kasih atas segala doa rakan-rakan dan kenalan.
Di Malaysia, antara yang diketahui mengerjakan haji ialah pelakon Fouziah Gous.
Fouziah, 35 tahun, menerusi akaun Instagram miliknya berkata, beliau dan suami, Zhafran Yusof, 35 tahun, berangkat ke tanah suci Makkah awal minggu ini.
"Syukur Alhamdulillah, saya Fouziah Gous dan Zhafran Yusof dengan penuh takzim ingin memaklumkan bahawa kami berdua akan menunaikan fardu haji 1439H dan akan berlepas ke Tanah Suci.
"Di kesempatan ini, kami menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan dan kekhilafan secara sengaja atau tidak," tulisnya.
Pelakon yang popular dengan drama Senafas Cinta itu turut meminta agar peminat mendoakan keselamatan mereka sepanjang berada di sana.
Pelakon asal Johor Bahru, Betty Banafe juga berkongsi khabar gembira menjadi tetamu Allah tahu ini menerusi Instagram.
Menerusi perkongsiannya, Betty, atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 39 tahun, juga mohon dimaafkan segala kesalahan baik berupa tulisan, kata dan perbuatan melukai atau menyinggung perasaan.
"Demikian juga jika saya ada hutang atau janji yang belum saya penuhi, mohon untuk maklumkan segera kepada saya agar selama mengerjakan haji saya benar-benar dalam kondisi bersih dan merdeka," tulisnya.
Menerusi perkongsian di InstaStory, pelakon Datin Seri Umie Aida berkata, rakan baiknya yang juga pelakon, Zahida Rafik, turut berangkat sama mengerjakan ibadah haji.
Di Indonesia, pelakon jelita Nia Ramadhani dari siri popular Bawang Putih Bawang Merah, dilaporkan mengerjakan haji bersama suaminya, Ardi Bakrie. Mereka berangkat ke Jeddah dari Jakarta pada Rabu lalu.

