Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Selepas 5 tahun ‘Cantik Detektif’ Huda Ali berseri sambung misi di rantauan

Personaliti Wanita Paling Popular dekati peminat menerusi kerja seni, usaha niaga dan projek masyarakat
Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Lima tahun lamanya, kembara si Cantik Detektif atau Huda Ali terhenti kerana hamil dan melahirkan anak keduanya serta sekatan kembara dek pandemik Covid-19.


Apabila sempadan negara dibuka dan sektor kreatif kembali aktif, inilah masa buat personaliti televisyen tidak asing lagi, Huda, 37 tahun, beraksi semula selaku peneraju program terbitan The Moving Visuals itu.

Cantik Detektif masuk tahun ke-10 diperkenalkan kepada penonton Suria dan disifatkan sebagai ‘baby’ kebanggaan Huda, juara Anugerah Skrin 2006.


Rancangan unik yang menjejak amalan kecantikan dan kesihatan pelbagai kaum di serata dunia meliputi kaedah tradisional dan moden itu lebih memperkukuh kedudukan pengacara jelita ini hingga baru-baru ini dinobatkan sebagai Personaliti Wanita Paling Popular, Pesta Perdana 2023.


Ketika keputusan diumumkan pada majlis gilang-gemilang di Teater Mediacorp baru-baru ini, Huda berada di rantauan dan menonton secara ‘live’ bersama kru Cantik Detektif di sebuah lobi hotel sekitar Laos.


Beliau lebih terkejut apabila suaminya, penggiat seni Den Sabari, naik pentas menerima anugerah berkenaan selepas memberitahunya beliau tidak dapat datang.

Sewaktu dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi panggilan Zoom, Huda yang dalam perjalanan untuk makan malam di Chiang Mai pula, berkata:


“Lambat sebenarnya saya nak hadam bahawa suami saya yang naik pentas sebab sebelum ini, beliau kata beliau tak dapat datang. Saya adalah wakilkan penerbit The Moving Visuals untuk mewakili saya seandainya saya menang dan maklumkan ramai bahawa saya sedang bekerja di rantauan ketika itu dan tidak dapat hadir di Pesta Perdana.

“Kejutan saya jadi 2-dalam-1 sebab Den memang tidak cakap apa-apa. Agaknya beliau nak beri saya kejutan sampaikan saya terperanjat kerana Anugerah Personaliti Wanita Paling Popular itu menjadi rezeki saya di samping suami sendiri yang mewakili saya untuk ambil anugerah itu.

“Setelah 17 tahun terlibat dalam bidang seni, anugerah ini memang bermakna. Saya anggap inilah hadiah buat penyokong yang tidak jemu menyokong saya dan sabar menanti setiap Pesta Perdana untuk melihat saya naik pentas.

“Mereka kirim pesanan dan bertanya mengapa saya tidak menang sebelum ini kerana beberapa kali sudah dicalonkan. Bagi saya, sebelum ini, belum rezeki dan tahun ini, rezeki memang berpihak pada saya. Alhamdulillah.”

Menurutnya, ada peminat yang sanggup menyokongnya walaupun kadangkala beliau lama tidak dilihat di kaca televisyen.

“Sesetengahnya sudah mula memberi kata-kata motivasi sejak hari pertama saya dinobatkan sebagai juara, Anugerah Skrin pada 2006 sehinggalah sekarang. Dedikasi mereka menyokong kerja seni saya amat saya hargai,” tambah Huda.


Diminta berkongsi pengalamannya menjayakan Cantik Detektif (Musim 5) kali ini, Huda tertawa seraya berkata:


“Setelah lima tahun Cantik Detektif terhenti, keadaan sudah tentunya banyak beza. Anda lihat Huda Ali yang lebih tua! Justeru, tumpuan Cantik Detektif kali ini lebih pada terapi dan rawatan antipenuaan.


“Sesiapa yang seumur dan seangkatan dengan saya boleh faham situasinya. Anda nampak banyak garisan dan kedutan pada leher dan kedutan pada bahagian mata. Rawatan dan terapi yang diketengahkan dalam rancangan ini bertujuan memperbaiki bahagian yang terjejas itu.

“Tapi kesukaran kunjungan kali ini amat dirasakan. Penulis skrip Cantik Detektif (Musim Kelima) memang tak kasi ‘chance’ langsung. Penatnya apabila saya diminta turun naik gunung dan juga ketika berjalan di kawasan air terjun.


“Tengok gambar saya gunakan krim Nami. Ia satu rawatan kebaskan kulit muka dengan anda boleh bayangkan betapa sakitnya saya rasa.”

Huda yang baru anda lihat terlibat dalam telefilem Hari Ibu, Stigma Lea, juga berasakan kerjasama sepasukan yang sama-sama berjauhan daripada keluarga di rantauan amat diperlukan.


Menurutnya, semua kru harus sekepala agar mudah berurusan dengan satu sama lain di rantauan. Beliau juga berterima kasih dengan pengarah baru Cantik Detektif, Mahfuz Mazlan, kerana sama-sama ‘gila-gila’ dan amat memahami tanpa mendesak dirinya melakukan sesuatu yang tidak selesa baginya.


Mengenai reaksi anak-anak pula apabila berjauhan dengan ibu mereka, Huda berkata:

“Anak kedua saya, Luke Qalish, memang tidak pernah berjauhan daripada saya. Kerana itu, suami saya tidak izinkan saya menghubunginya dengan panggilan video... takut dia akan terus bertanya dan mencari saya.

“Tapi saya yang akan senyap-senyap hubungi Luke apabila suami tiada di rumah. Apabila suara Luke dengar macam lain (merengek), cepat-cepatlah saya tamatkan perbualan dan letak telefon.”

Kerana ingin menghabiskan masa bermutu dengan anak perempuannya, Leia Qaseh, Huda meminta izin suaminya Den untuk bawa Leia bersama ketika menjalani penggambaran di Jepun.

“Jepun memang negara idaman Leia. Dia suka beli-belah dan berjalan-jalan di kota kosmopolitan ini. Bagusnya apabila saya bawa Leia, dia bukan sahaja dapat bercuti dan menghabiskan masa bersama saya tetapi dapat meninjau jerih payah ibunya ini mencari rezeki.

“Leia terkejut dan tidak sangka kerja yang saya lakukan ini ada tempoh-tempoh mencabar juga. Moga dia lebih memahami tuntutan tugas saya dan cabaran kerja penggambaran program seperti Cantik Detektif ini,” kata Huda.


Setelah sibuk merantau ke Jepun, Laos dan Chiang Mai (Thailand), Huda kembali ke Singapura untuk mengendalikan acara yang ditugaskan buat LalooLalang iaitu projek jelajah pembelajaran Raikan Ilmu@Heartlands anjuran Yayasan Mendaki.


Kalau ditanya pengikutnya, kehadiran Huda sebagai usahawan dan juga pengendali acara kemasyarakatan berunsur pendidikan juga menjadi pengukuh buatnya menjadi selebriti setempat yang popular.

“Sedikit sebanyak, apabila LalooLalang terlibat dalam projek Raikan Ilmu meliputi PlayFest, ia mengotakan cita-cita saya untuk terlibat dalam sektor pendidikan. Dulu memang cita-cita saya nak jadi guru prasekolah sebab saya suka dengan budak-budak.


“Dalam kesibukan menjalani penggambaran Cantik Detektif, saya sempat kembali ke Singapura untuk dua minggu demi melaksanakan amanah LalooLalang pada acara PlayFest.


“Kami ke kawasan kejiranan setiap hujung minggu dari One Punggol ke Wisma Geylang Serai, IMM Jurong dan Kampung Admiralty sepanjang Julai.

“Acara ini percuma. Ada banyak kegiatan yang boleh disertai. Kali ini buat si kecil, mereka boleh teroka kerjaya ahli biologi muda, jurutera, angkasawan dan cef. Nak bikin robot, piza dan belajar tentang sistem penghadaman manusia... semuanya boleh dilakukan dengan santai dan menerusi aktiviti menyeronokkan,” tambah Huda.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >