Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas 50 tahun primadona Indonesia Christine Hakim 'bersinar' semula

Apr 10, 2023 | 5:30 AM
PUPUK KESEDARAN ISU SOSIAL: Christine Hakim tidak menyesali perjalanan seni selama 50 tahun kerana berpeluang memupuk kesedaran ramai mengenai isu sosial. - Foto-foto INSTAGRAM CHRISTINE HAKIM
PUPUK KESEDARAN ISU SOSIAL: Christine Hakim tidak menyesali perjalanan seni selama 50 tahun kerana berpeluang memupuk kesedaran ramai mengenai isu sosial. - Foto-foto INSTAGRAM CHRISTINE HAKIM -

TAHUN 2023 adalah yang menandakan 50 tahun primadona seni lakon Indonesia, Christine Hakim, berkecimpung dalam industri filem.

Pada usianya yang mencecah 66 tahun, Christine atau nama sebenarnya Christine Natalia Hakim, sudah membintangi lebih 36 filem.

Menerusi penglibatannya dalam siri televisyen terkini HBO, The Last of Us, nama Christine kian disebut-sebut semula, kali ini oleh penonton antarabangsa di luar Indonesia.

TOMBOI YANG TAK MINAT BERLAKON

Dalam wawancara dengan, The Jakarta Post di rumahnya di kejiranan Cibubur, Christine menceritakan tentang perjalanan seninya itu yang bermula dengan filem Cinta Pertama pada 1973.

"Sewaktu saya berusia 14 tahun, saya seorang peluncur ais yang tomboi dan tidak paparkan ciri keperempuanan. Tetapi seorang jurugambar majalah fesyen minta saya jadi model fotonya. Dari situlah, saya ceburi industri hiburan.

"Saya bermula sebagai peragawati dan sibuk di pentas peragaan tetapi saya sebenarnya tidak suka tugas itu. Saya hanya melakukannya setakat suka-suka tetapi saya tahu saya takkan jadikan peragaan sebagai kerjaya saya," katanya.

Pengarah legenda Teguh Karya atau nama sebenarnya Steve Liem Tjoan Hok mengesan bakat Christine yang tiada pengalaman berlakon ketika itu.

"Pengarah filem pertama saya itu sedang mencari pelakon muda, ternampak gambar saya di majalah dan menghubungi saya. Begitulah kisahnya. Saya hanya bergantung pada gerak hati spontan untuk menerima lamarannya," tambahnya.

Di sebalik penglibatan dalam bidang peragaan dan lakonan, Christine sebenarnya bercita-cita menjadi arkitek atau pakar psikologi.

"Saya tahu saya ingin dewasa sebagai seorang yang baik dan memberi manfaat kepada semua orang dan keluarga saya. Saya bertanya kepada diri saya apakah impian saya. Datuk saya adalah pencetus inspirasi buat saya. Beliau bertugas di pejabat jurubina. Ibu yang mengetahui tentang sektor binaan daripada orang yang membina rumah kami juga sumber inspirasi," katanya lagi.

MENANG ANUGERAH TAPI BERBELAH BAHAGI

Walaupun filem pertama Christine mencipta kejayaan luar biasa dengan beliau meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada 1974, beliau tidak begitu berminat meneruskan kerjaya lakonan ketika itu.

"Entahlah... saya buat kerja lakonan untuk suka-suka. Saya tak rasa saya seorang pelakon buat tempoh yang lama. Tak fikir pun nak jadikan lakonan kerja cari makan untuk masa depan," jelasnya. Selepas dua tahun berlakon, Christine masih menyangsikan sama ada kerjaya lakonan itu untuknya.

BAWA WATAK 30 TAHUN WALAU BARU 18 TAHUN

Hanya selepas terlibat dalam filem Kawin Lari dan membawa watak Anna, barulah beliau jatuh cinta dan lebih yakin sebagai pelakon dan wanita pada usia 18 tahun.

"Umur saya 18 tahun dan saya perlu membawa watak wanita 30-an tahun yang kemudiannya berumah tangga. Ia watak yang kompleks.

"Saya tiada keyakinan bagaimana mengubah pemikiran dan fizikal saya bagi watak ini. Pada waktu itulah saya sedar filem itu adalah ilmu dan ia tidak mudah. Bidang perfileman buatkan saya cintakan lakonan," ujarnya.

Christine memburu bidang perfileman dan bukannya pengajian universiti.

TURUNKAN BERAT BADAN UNTUK BAWA WATAK ORANG SUSAH

Peranannya dalam filem 'Tjoet Nja' Dhien' tentang wira nasional Indonesia pula mengujinya sebagai seorang pelakon menerusi transformasi yang besar untuk memaparkan perwatakannya dan realiti kehidupan di kampung yang sarat penduduk miskin di Indonesia.

"Saya perlu turunkan berat badan saya sebanyak 10 kilogram dan tidur hanya tiga jam sehari. Kerana kita tidak mempunyai dandanan yang realistik ketika itu, saya yang kurang tidur sebab saya perlu mengubah diri saya sepenuhnya.

"Saya mahu penonton merasakan realiti filem itu dan ia bukan hanya satu kepura-puraan dengan dandanan yang diberi pada saya.

"Menerusi peranan ini, saya banyak belajar sebagai seorang pelakon dan juga sebagai seorang insan," tambahnya.

KRISIS GLOBAL 1997 BAWA KESAN PERIT

Ditanya mengenai tempoh paling sukar dalam hidupnya, Christine merasakan krisis global 1997 adalah yang paling sulit kerana industri filem mula merosot.

"Tiada orang yang boleh menonton filem di pawagam kerana mereka tidak mampu sewaktu krisis global ini. Industri filem Indonesia merosot dengan cepat. Kebanyakan filem yang ditayang filem komersial''.

Di sebalik krisis global yang menyukarkan industri filem Indonesia, Christine menemui peluang menjadi anggota juri di beberapa pesta filem di luar Indonesia.

"Apabila industri filem merosot, saya tidak menangis. Tetapi apabila sebuah tabloid ditutup kerana wawancara bersama saya memberi gambaran kritikan pada pemerintah Indonesia, saya menangis habis-habisan.

"Saya hanya meluah perasaan dan misi saya dengan orang ramai tetapi mengapa tabloid itu diarah tutup? Saya merasakan saya sudah kehilangan suara untuk meluahkan segala keluh kesah saya.Saya rasa bagai dibuang dari negara sendiri seperti saya tidak boleh kembali dan meluahkan perasaan saya," kongsinya.

TEROKA DUNIA PENERBITAN FILEM SOSIAL

Filem pertama yang diterbitkannya merupakan 'Daun Di Atas Bantal' yang meraih inspirasi daripada dokumentari tentang kanak-kanak gelandangan yang beliau tonton.

Christine mulakan kerjaya penerbitan filem pada lewat 1990-an apabila Indonesia sudah berkembang secara ekonomi dan gaya hidup penduduk di situ berubah. Kemodenan mula menyerap masuk ke dalam desa.

Beliau gembira filem itu berjaya menyebar kesedaran mengenai isu sosial dengan menteri ehwal sosial bertekad membina rumah perlindungan buat kanak-kanak jalanan ini.

Walaupun terdapat usulan membuat filem susulan, Christine enggan berbuat demikian kerana akur kos tinggi yang diperlukan. Beliau lebih rela wang itu diserahkan kepada anak-anak miskin ini.

Christine tidak dapat memilih filem paling digemarinya sebab setiap watak membawa pengertian berbeza buatnya.

"Saya selalu mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana mengurniakan saya dengan perjalanan 50 tahun dalam industri filem. Bukan sahaja sebagai pelakon tetapi insan yang rasa bersyukur dipandu Tuhan dalam perjalanannya.

NASIHAT CUCU DORONG CHRISTINE TERIMA PROJEK HBO

Ditanya mengenai peranannya sebagai Ratna Pertiwi dalam 'The Last of Us', Christine berkata kesukarannya adalah apabila perlu terbang bagi penggambaran di Canada dan meninggalkan suami dan ibunya.

"Semasa itu pandemik. Kita sudah banyak dengar tentang wabak yang tersebar dalam pesawat. Bagaimanapun, apa yang membuatkan saya menerima watak ini adalah cucu adik-adik saya.

"Mereka dan ipar duai saya adalah penggemar permainan video 'The Last of Us'. Mereka kata saya tidak harus lepaskan peluang keemasan ini. Sebab permainan itu 'cool'," tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg