Selongkar khazanah muzik Nusantara
Mereka datang daripada latar muzik berbeza tetapi berkongsi misi yang sama dalam menyelongkar khazanah muzik Nusantara dan mengarkib sejarahnya. BERITA HARIAN melaporkan kisah dua anak seni Singapura yang baru-baru ini bekerjasama dalam program dalam talian Pesta Raya 2021, 'gambus electronica'.
Pejuang gambus impi arkib muzik Melayu
SAMBIL memburu ilmu gambus atau bersidang mengenai muzik dunia di rantauan, pemuzik tradisional Azrin Abdullah mencedok sikap positif yang tersemat dalam jiwa rakan seni dari negara asing.
Sebagaimana yang dikongsinya dalam sidang Zoom baru-baru ini:
"Saya lihat dalam kembara ilmu saya, pemuzik luar negara ini tidak berlengah-lengah mempertingkatkan diri, fokus pada apa yang mereka inginkan, rajin mengkaji dan tak malu bertanya dengan yang lebih arif dalam sesuatu bidang pengajian.
"Pendek kata, saya sangat kagum akan budaya pembelajaran mereka ini. Aspek inilah yang dilihat masih kekurangan dalam diri kita sebagai penggiat muzik Singapura."
Azrin, 45 tahun, mula memetik gitar akustik pada usia enam tahun dan membuat persembahan muzik sulung pada umur sembilan tahun.
Sejak itu, beliau tidak pernah berhenti daripada melibatkan dirinya dalam bidang muzik.
Beliau adalah anggota aktif kumpulan tradisional Melayu, Sri Mahligai dan telah menggubah dan menyusun beberapa karya buat mengiringi persembahan tarian Melayu.
Sejak 2003, Azrin menggalas tugas sebagai pengarah muzik bagi pelbagai penerbitan teater dan persembahan tarian.
Pada 2014, beliau mempelajari seni memetik gambus dengan menghadiri kursus instrumental di Konservatori Kebangsaan Seni di Kuala Lumpur.
Di bawah bimbingan Raja Zulkarnain Raja Mohd Yusof, beliau mempelajari gaya permainan Raja Gambus dari merata dunia, Necati Çelik (Turkey), Munir Bashir (Iraq), Riyadh Sunbaty (Mesir), Nasseer Shamma (Iraq) dan juga muzik tradisional Arab dan Turkey.
Baru-baru ini, Azrin digabungkan dengan pereka bunyi dan penggiat muzik elektronik, Safuan Johari, bagi persembahan digital gambus electronica sempena Pesta Raya 2021 di Esplanade.
Persembahan yang disajikan di laman Offstage kendalian Esplanade boleh ditonton hingga 11.59 malam, 27 Jun ini.
Dalam persembahan tersebut, Azrin tidak memainkan lagu-lagu tradisional tetapi menggunakan alat muzik tradisional bagi menyajikan bunyian baru sejajar dengan cita rasa masa kini.
"Dari dahulu pun, memang kita payah nak tarik generasi muda mencintai dan terlibat memainkan lagu-lagu Melayu tradisional.
"Justeru, dengan kita gunakan alat muzik tradisional untuk mainkan lagu-lagu kontemporari atau yang disejajarkan dengan irama muzik elektronik, mungkin kita dapat menarik generasi muda agar ingin lebih tahu tentang alat muzik tradisional, sejarah dan nilai-nilainya," kongsi Azrin.
Azrin pernah menyaksikan persembahan unik pemuzik Mesir, Balqis, yang menggabungkan muzik elektronik dengan muzik tradisional Timur Tengah, lengkap dengan petikan gambus.
"Apabila saya menonton persembahan Duo Oud dari Mesir yang pernah datang ke Singapura pula, persembahan mereka memang cukup menakjubkan!
"Gabungan dua genre berbeza mampu menghasilkan sesuatu di luar jangkaan. Tak sangka ada bunyian fusion seperti itu," jelasnya lagi.
Dalam misi dan kecenderungan Azrin menyelongkar sejarah muzik Melayu, beliau akur payah mencari bahan lama yang diarkib.
"Tiada sistem mengarkib khazanah muzik Melayu yang dianggap gerbang satu perhentian. Orang dahulu tak banyak menyimpan sejarah penghasilan lagu mereka, tidak seperti pemuzik klasik Barat.
"Dari pengalaman saya sendiri, saya dapati setiap kali nak belajar sesuatu lagu asli atau tradisional yang agak lama, kita akan tertanya-tanya siapa penggubahnya? Kebanyakan masanya, kita tiada jawapan siapa penciptanya.
"Berbeza pula dengan lagu klasik Barat di mana kita tahu ini lagu ciptaan Beethoven, Mozart atau Bach. Banyak sumber dalam talian yang boleh digali sebab ada sistem mengarkib khazanah muzik klasik.
"Saya berasakan perlu ada usaha menyimpan dan mengumpul fakta sejarah seperti mengapa lagu ini dicipta, apa sejarahnya dan kesulitan menghasilkannya," jelas Azrin.
Namun, beliau gembira ada usaha seperti membentuk masyarakat pencinta dan peminat gambus dalam talian, Singapore Oudists.
"Ramai yang sangka ia sebuah kumpulan pemain gambus. Sebenarnya, ia adalah masyarakat pencinta gambus dalam talian yang dibentuk dan dianggotai warganet berbilang kaum termasuk dari luar Singapura.
"Walaupun kumpulan ini kecil, kurang 100 orang sahaja, masih mampu menggalakkan perbincangan dan perkongsian maklumat mengenai gambus.
"Misalnya, saya tahu tentang gambus Melayu. Kemudian ada yang tahu tentang gambus Iran atau Turkey.
"Ada pula yang tahu cara nak dapatkan pemborong gambus. Pendek kata, wadah ini adalah pusat satu perhentian tentang apa sahaja perkara tentang gambus," ujarnya.
''Tiada sistem mengarkib khazanah muzik Melayu yang dianggap gerbang satu perhentian. Orang dahulu tak banyak menyimpan sejarah penghasilan lagu mereka, tidak seperti pemuzik klasik Barat. Saya berasakan perlu ada usaha menyimpan dan mengumpul fakta sejarah seperti mengapa lagu ini dicipta, apa sejarahnya dan kesulitan menghasilkannya.'' - Pemuzik tradisional Azrin Abdullah.
Teknologi penyelamat buat pereka bunyi terbit muzik
KALAU tidak kerana kecanggihan perisian teknologi maklumat mahupun aplikasi telefon bimbit yang membanjiri pasaran bagai cendawan tumbuh selepas hujan, pereka bunyi Safuan Johari tidak fikir impiannya bergelar pemuzik elektronik menjadi kenyataan.
Safuan, 40 tahun, yang juga penerbit muzik dengan nama pentas 'Max Lane', adalah sebahagian daripada kumpulan seni NADA yang menetapkan misi meneroka sejarah budaya popular Melayu melalui muzik dan seni visual.
Baru-baru ini, beliau dipasangkan dengan pemuzik tradisional, Azrin Abdullah, bagi satu persembahan gambus electronica sempena Pesta Raya 2021 anjuran Esplanade.
Gabungan tenaga mereka menyajikan lagu ciptaan sendiri boleh ditonton di laman Offstage kendalian Esplanade hingga 11.59 malam, 27 Jun ini.
Persembahan itu menampakkan dua dunia berbeza. Safuan dengan kerja seni eksperimentalnya manakala Azrin pula dengan sentuhan tradisional berupa petikan gambus yang disegani.
Dalam dunia berbeza, mereka berkongsi minat meneroka seni bunyian dan muzik yang baru lagi segar.
Bagi persembahan itu, dengan menggunakan teknik peningkatan dan paparan karya baharu, mereka bawa pendengar merentasi perjalanan sonik (bunyi-bunyian) yang menggabungkan irama tradisional bersama nada dan tekstur muzik elektronik.
Ketika dihubungi menerusi sidang Zoom baru-baru ini, Safuan berkata bahawa sejak mengenali Azrin sekitar empat tahun lalu, beliau teringin bekerjasama dengan pengarah muzik bagi beberapa persembahan teater dan tarian itu.
"Kami mula bekerjasama dalam persembahan pendidikan di Esplanade, Nuri Terbang Malam, beberapa tahun lalu.
"Ia adalah pengalaman yang membuka mata dan menyeronokkan kami menyelongkar sejarah rakaman muzik Melayu paling awal sekitar 1903. Itulah lagu Nuri Terbang Malam oleh penyanyi bernama Qasim," jelas Safuan.
Beliau akur bahawa sejarah penting bagi sesiapa sahaja fikirkan masa depan mereka.
"Kalau muzik dahulu tak ada, tak adalah muzik sekarang. Saya berminat mengetahui dari mana datangnya unsur-unsur muzik tradisional, muzik 1950-an atau muzik 1960-an seperti pop-yeh-yeh.
"Pada suatu masa, Singapura merupakan hab seni Asia Tenggara. Bermanfaat bagi pemuzik masa kini tahu perkara yang sebenarnya terjadi demi kita memikirkan arah tuju muzik kita selanjutnya," katanya.
Walaupun beliau akur susah baginya mencari bahan rujukan atau arkib mengenai sejarah muzik Melayu dari zaman ke zaman, kerapkali imaginasi digunakan untuk mencorak sejarah perjalanan irama Melayu.
Walau bagaimanapun, Safuan merindukan pentas persembahan fizikal yang menarik interaksi penonton dengan respons yang dapat memberikan semangat buat karyawan muzik sepertinya.
"Walaupun banyak program digital dihasilkan, ia berbeza daripada berasakan sendiri bahang persembahan 'live' dengan penonton.
"Bagi saya, persembahan digital memerlukan pendekatan dan persembahan lebih kreatif bagi memastikan penonton akan terpaut menyaksikannya dari telefon bimbit, tablet atau komputer mereka," jelasnya.
Diimbas balik penglibatan dan minatnya dalam muzik elektronik, beliau berkata kemahirannya bermain alat muzik sebenar cuma setakat peringkat asas sahaja dan tidak setara dengan kemahiran pemuzik profesional lain.
"Sejujurnya, saya tak pandai main alat muzik dan tak anggap diri saya pemuzik.
"Teknologi menyelamatkan saya kerana melalui pelbagai perisian dan aplikasi, saya boleh hasilkan bunyian rentak dram, petikan gitar dan permainan piano dalam muzik elektronik yang dihasilkan.
"Malah, saya berterima kasih kepada Azrin kerana mengenalkan saya kepada aplikasi Taqsim yang membolehkan saya menerapkan alat muzik dunia dan tradisional dari merata dunia dalam bunyian ciptaan saya.
"Kita boleh cari alat muzik dari Iran, Turkey, Bosnia dan India lantas menghasilkan skala dan melodi lebih menarik," ujar Safuan.
Beliau bahkan menganggap Azrin ibarat pintu dan jendela buatnya menyelami dunia muzik tradisional Melayu dan Timur Tengah dengan lebih dekat lagi.
"Saya kagum mendengar ceritanya yang merantau jauh ke Turkey untuk menghadiri persidangan gambus," kongsinya.
Tahun ini, Safuan menerima beberapa peluang dari Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Wisma Geylang Serai (WGS) dan Pesta Seni Antarabangsa Singapura (Sifa).
Kerja seni bagi Sifa diusahakan kolektif Zeugma bagi pementasan teater _T0701_.
"Kebanyakan masa, orang salah anggap muzik elektronik sebagai muzik untuk putaran di kelab malam sahaja.
"Sebenarnya, ada banyak cabang muzik elektronik bahkan asal usul muzik sebegini terhasil di konservatori muzik terbilang di Eropah. Jerman, misalnya, cukup menyanjung muzik elektronik.
"Dahulu mungkin, ramai anak muda teruja nak belajar gitar elektrik sebab terpengaruh dengan penangan alat muzik itu. Harga gitar turun, mereka beli dan tubuhkan band.
"Namun sekarang ini, pintu untuk tembusi pasaran muzik adalah menerusi genre muzik elektronik.
"Dalam zaman canggih apa lagi terkurung di rumah kerana wabak Covid-19, muzik mengalami fasa demokrasi. Tak perlu habiskan masa berjam-jam atau banyak pakai duit 'jamming' di studio.
"Duduk di bilik tidur, buat muzik dengan aplikasi dan muatnaikkan ke media sosial. Macam-macam eksperimen dan inovasi boleh dihasilkan," tambah Safuan.
"Dalam zaman canggih apa lagi terkurung di rumah kerana wabak Covid-19, muzik mengalami fasa demokrasi. Tak perlu habiskan masa berjam-jam atau banyak pakai duit 'jamming' di studio. Duduk di bilik tidur, buat muzik dengan aplikasi dan muatnaikkan ke media sosial. Macam-macam eksperimen dan inovasi boleh dihasilkan." - Pereka bunyi Safuan Johari.

