Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Semangat gotong-royong drama Melayu mudahkan kerja

Pelakon Channel 5 dan 8, Michelle Wong, seronok belajar bahasa Melayu, berlakon di Kampung Buangkok
Aug 03, 2021 | 05:30 AM



SEBAGAI pelakon yang sentiasa menantikan pendedahan menjayakan set penggambaran berbilang kaum, Michelle Wong teruja bergelar bakat dwibahasa yang dapat menghidupkan drama Inggeris di Channel 5 dan drama Cina di Channel 8.



Lantaran itu, apabila dilamar bagi drama Melayu Suria dan meWATCH, Krono, baru-baru ini, semangatnya lebih berkobar-kobar untuk mempelajari bahasa Melayu dan mendalami budaya kerja syarikat penerbitan Melayu.



Sebagaimana kongsinya dalam satu wawancara Zoom:



"Ini adalah kali kedua saya terlibat dalam drama Melayu. Kali pertama dalam drama Forensik.



"Bezanya, dalam Krono, dialog saya lebih dalam bahasa Melayu. Kesabaran kru penerbitan drama ini amat saya hargai, menanti masa saya menghadam dan melontarkan dialog saya dalam bahasa Melayu.



"Mujurlah, ibu bapa saya orang Malaysia. Bapa saya akan sama-sama menyemak dialog lakonan saya dan menjelaskan tentang maksud dialog tersebut. Sekurang-kurangnya saya tak janggal menghayati lakonan saya kerana tahu jalan cerita dan tuntutan dialog ini."



Wong, 30 tahun, merupakan finalis peraduan mencari bakat lakonan baru, The 5 Search, pada 2015, ketika masih lagi bekerja sebagai seorang eksekutif.



Lulusan Maktab Rendah Anglo Chinese (ACJC) yang mengambil Pengajian Teater di maktab rendah kemudian mengambil keputusan menceburi bidang lakonan sepenuh masa kerana menyedari itulah bidang yang diminatinya.



Sejak itu, beliau terlibat dalam drama Peace and Prosperity, A Million Dollar Dream, My One In A Million, Faculty dan Code of Law 4.



Di dalam Krono, Wong adalah gadis kedai kopi bernama Peixin yang mengirim pesanan roti dan kopi kepada penduduk kampung.



"Entahlah, dari dahulu lagi, saya selalu dikaitkan dengan drama lama. Kali ini, saya hidup dalam tahun 1970-an.



"Peixin adalah gadis tradisional yang sederhana, ikhlas dan tulus dalam setiap tindak-tanduknya.



"Cabaran yang saya hadapi adalah dalam memastikan saya pun tahu maksud dialog Melayu pelakon lain agar saya boleh beri reaksi yang sewajarnya. Saya tak nak nampak 'blur' dan janggal.



"Saya banyak buat tugasan rumah menyemak segala keperluan watak saya," tambahnya.



Wong paling seronok bekerjasama dengan pelakon dan kru belakang tabir berbilang bangsa kerana ia membawa semangat kekampungan yang dirinduinya iaitu gotong-royong.



"Kami ke satu-satunya kampung yang tinggal di Singapura ini, iaitu di Lorong Buangkok. Saya memang sukakan suasana tenang di kampung



"Paling seronok adalah rakan-rakan pelakon seperti Juliana Kassim Chan, Raimi Safari dan Erwin Shah Dawson yang memang ramah dan gila-gila. Kami jadi kawan yang bukan sahaja mesra dalam drama tetapi sebagai diri kami sendiri di luar set," tambahnya lagi.



Ditanya apakah yang boleh penonton bawa pulang daripada drama ini, Wong menjelaskan Krono, yang bertemakan jenayah kembara masa ini, akan membuatkan penonton mengimbas semula hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.



"Kadangkala kita payah memahami mengapa ibu atau bapa kita sebegitu, seperti yang kita lihat hari ini.



"Watak Azfar yang dilakonkan Erwin mempunyai hubungan yang tegang dengan ayahnya, Zainal. Apabila dia mengembara masa dan bertemu bapanya yang masih muda pada tahun 1970-an, barulah dia tahu mengapa bapanya sebegitu," ujar Wong yang sukakan set penggambaran drama Melayu kerana makanan lazat yang sering disajikan.



Setiap peluang berlakon dihargainya sepanjang lebih lima tahun bergelar pelakon profesional.



"Paling mustahak adalah kita jujur pada diri kita sendiri, ambil maklum balas pengarah, kawan, keluarga dan orang ramai tetapi jangan biarkan diri kita dihambat oleh kata-kata negatif.



"Kita tahu kita sudah bekerja keras sebaiknya. Pastinya ada ruang memperbaiki diri kita," jelasnya.



Dalam banyak peranan yang pernah digalasnya di kaca televisyen, Wong tidak akan lupa peranannya dalam Blessings yang membawanya ke set 1919.



"Kami merantau ke Malaysia dan tinggal di sana selama tiga bulan. Itulah detik di mana saya belajar hidup berdikari di rantauan tanpa ibu bapa saya.



"Ia adalah peranan mencabar kerana watak saya melalui pasang surut kehidupan. Dia hamil dan harungi bermacam onak duri," tambahnya lagi.



Kini, Wong sedang menjalani penggambaran drama Channel 8, Peculiar Pawnbroker, sebagai gadis kaya yang mencari cinta di hatinya.



Apakah yang membuatnya sentiasa positif?



Wong, yang belajar melukis kerja seni abstrak sewaktu terperuk di rumah kerana pandemik dan dibimbing seorang pemilik studio lukisan, menambah:



"Fikiran pertama yang kita biarkan menerawang di minda itu mustahak. Jangan biarkan diri kita terjejas dengan faktor luaran seperti komen atau pos media sosial. Yakinkan diri kita, kita adalah seorang juara setiap pagi.



"Luangkan masa bersama orang tersayang. Lihat contoh-contoh kehidupan idola anda. Saya menganggap pelakon legenda Xiang Yun dan Rebecca Lim sebagai contoh terbaik untuk saya teladani.



"Xiang Yun sentiasa memimpin barisan pelakon muda dalam sesebuah set penggambaran dengan hatinya yang tulus, lembut dan berihsan. Beliau adalah ibu saya dalam drama pertama saya di Channel 8, Peace and Prosperity.



"Rebecca pula adalah inspirasi mengapa saya ingin jadi pelakon dwibahasa di Channel 5 dan 8. Beliau fasih dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Mandarin," katanya, yang berharap pandemik Covid-19 akan berakhir di merata dunia bagi memberi sinar baru buat penduduknya.



  • 'Krono' disiarkan di Suria pada 10.30 malam setiap Khamis. Ia juga boleh ditonton di aplikasi meWATCH.


"Cabaran yang saya hadapi adalah dalam memastikan saya pun tahu maksud dialog Melayu pelakon lain agar saya boleh beri reaksi yang sewajarnya. Saya tak nak nampak 'blur' dan janggal. Saya banyak buat tugasan rumah menyemak segala keperluan watak saya."
- Michelle Wong, pelakon drama 'Krono'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >