Topic followed successfully
Go to BHkuSemangat Jamal tidak pudar hibur peminat
Semangat Jamal tidak pudar hibur peminat
Semangat Jamal tidak pudar hibur peminat
SEJAK Datuk Jamal Abdillah muncul di kaca televisyen dan menjuarai Bintang RTM pada 1979, ramai yang dapat merasakan pemuda berwajah tampan dan comel itu akan bertahan lama dalam industri seni Nusantara.
Di puncak jayanya, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Haji Mohd Ali, dilamar dan diingati hingga hari ini sebagai hero filem cinta Azura, Zack, yang mengenal erti pengorbanan dan kesusahan setelah sekian lama hidup senang disara hidupnya oleh ayah yang kaya raya.
Selama dua hari berturut-turut pada Sabtu dan Ahad lalu, ramai pencinta lagu balada dan irama tradisional pula akan mengingati Jamal, 63 tahun, sebagai penghibur legenda yang suaranya menyejukkan jiwa dan menenangkan.
ACARA JALAN TERUS WALAU TAK SIHAT
Konsert Aku Jamal... Perjalananku di Dewan Konsert Esplanade sempena meraikan Tahun Baru 2023 cukup menghiburkan dan membawa anda 'terbang' ke zon nostalgia era 1980-an hingga 2000-an.
Walaupun pada hari kedua pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini kurang sihat dan memberitahu hadirin beliau baru sahaja disuntik dengan vaksin flu, penyampaiannya tidak goyah.
Vokalnya tetap merdu dan memberi semangat baru meraikan Tahun Baru 2023.
NOSTALGIA KEMBALI DI INGATAN
"Saya teringat lagu-lagu yang biasanya saya dengar apabila nak masuk waktu Maghrib ketika di sekolah rendah. Radio selalu putar lagu-lagu kerohanian Datuk Jamal," kata teman di sebelah.
Seorang lagi teman menyatakan:
"Selepas pergi konsert Datuk Jamal, saya tak puas-puas tonton YouTube lagu-lagunya. Teringat zaman anak dara dulu...asyik nyanyi di dapur lagu Sandarkan Pada Kenangan sampai dimarah mak!"
Begitulah penangan Jamal pada ribuan peminatnya yang hadir tempoh hari bagi meraikan kehebatan lagu yang beliau rakam selama lima dekad.
Dari awal konsert hingga penghujungnya, Jamal mencuit hati penonton dengan gurau senda yang bersahaja.
TAK KERING GUSI
Penonton juga memberi reaksi spontan pada jenakanya khususnya apabila mereka melihat Jamal kerap membasahkan tekak untuk minum air dek kerongkong yang kering.
"Izinkan saya minum air ya? Saya ni pemalu...gementar pun ada...dah lama tak berdepan dengan khalayak ramai di Singapura ini, jadi kering pula tekak!"
Apabila penyanyi tinggi lampai Aisyah Aziz muncul untuk berduet dengannya bagi runut bunyi filem Azura, Sandarkan Pada Kenangan, Jamal dengan selamba mengusik:
"Aisyah datang...tekak dah tak kering pula! Nasib saya dah bersuami...eh beristeri. Dahlah tinggi, cantik pula tu. Memang orang 'Singapore' macam ni ke? Tinggi-tinggi..."
JEJAK PERJALANAN
Konsert tempoh hari membuka lembaran penceritaan kerjaya seni Jamal yang dipacu maju oleh penggubah lagu seperti Datuk Seri Dr Ahmad Nawab, S. Atan dan Datuk M. Nasir.
Walaupun slaid dan tayangan video pada layar raksasa di pentas itu tampak sederhana dan tidak secanggih yang disaksikan dalam konsert lain, ia cukup untuk menceritakan dan merakam segala persembahan Jamal dalam pelbagai genre pada waktu silam.
Konsert dibuka dengan lagu Perjalananku bermain di latar. Jamal muncul dengan lagu Senandung Semalam yang pernah dipopularkan Alleycats.
Ia merupakan lagu yang beliau dendangkan pada Bintang RTM.
Beberapa lagu lain menyusul seperti Perpisahan Tanpa Relamu, Keluhan Perantau, Kau Lupa Janji dan Aku Penghibur.
Beliau turut membawakan medley lagu Nasib Diriku, Sendiri dan Cenderawasih.
'AZURA' PEMBAWA REZEKI
Satu segmen yang dinanti-nanti ramai adalah yang membuka cerita bagaimana Jamal yang pemalu terjebak dalam dunia perfileman.
"Semasa saya dah mula popular...ewah...popular seh...Itulah detik di mana saya dilamar menjadi pelakon. Saya tiada asas lakonan, digandingkan pula dengan pelakon berpengalaman, Fauziah (Ogy) Ahmad Daud, saya pun khuatir tak mampu beri yang terbaik," jelasnya.
OGY DEDAH JAMAL PEMALU
Kemudian wujud rakaman video di mana Ogy akui Jamal sangat pemalu bahkan segan untuk baring di sebelahnya dalam babak Zack dan Azura terpaksa tidur di luar stesen minyak kerana hidup gelandangan tanpa rumah.
"Ada babak yang dia peluk bantal kecil sewaktu tidur sampai tersipu-sipu malu, itulah dia...reaksi yang memang semula jadi malu daripada Datuk Jamal ni.
"Selepas babak yang dia nak dekat dengan saya tapi saya asyik berundur tu...barulah kami 'break the ice' (mula selesa berbual) dan menjadi sahabat yang rapat.
"Tapi kami tak pernah bercinta. Bercinta tu hanya antara Zack dan Azura dalam filem itu. Kami perlu bina keserasian agar adegan bercinta itu nampak realistik," ujar Ogy.
Pada pengenalan kisah Azura itulah, Jamal mengundang Aisyah untuk berduet dengannya.
Aisyah memiliki cara persembahan dan gaya nyanyian unik seperti diketahui ramai.
Gandingan padu kededuanya juga dilihat pada lagu duet yang asalnya dinyanyikan Jamal bersama Francissca Peter, Kehebatan Cinta.
Beberapa lagu lain menyusul, menyentuh jiwa dan sanubari seperti Kekasih Awal Dan Akhir, Ghazal Untuk Rabiah, Kepadamu Kekasih, Gadis Melayu dan Seniman Menangis.
SUSAH SENANG CIPTA NAMA
Hidup sebagai seniman memang penuh rintihan tetapi selagi ia datang daripada keikhlasan, hadirin yang dihiburkan pasti akan mengenangnya sampai bila-bila.
Selepas Azura, Jamal turut membintangi filem Kekasih Awal Dan Akhir, Ghazal Untuk Rabiah, Tuah, Suratan Kasih dan Sejati.
Beliau juga buktikan dirinya relevan dengan kerjasama bersama artis masa kini Wany Hasrita melalui lagu Belenggu Rindu dan Kucuma.
BAKAL TIMANG CAHAYA MATA KEENAM
Kesyukuran buat Jamal dalam menyambut 2023 adalah kelahiran cahaya matanya yang keenam kelak yang dijadualkan lahir pada Mei ini, bulan yang sama dengan hari lahirnya pada 7 Mei.
"Apabila dah tua-tua begini, barulah Allah beri rezeki anak ramai. Masa muda dulu tak ada pula.
"Mungkin Dia lebih Mengetahui. Dulu muda kau nakal. Sekaranglah, aku kasi kau anak ramai pada usia sebegini. Walau apa pun, saya syukuri pemberian Tuhan," tambahnya. - HARYANI ISMAIL

