Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Semangat juang 3 anak seni terserlah dalam muzik, puisi

Mereka disatukan dalam satu persembahan dalam talian Offstage kendalian Esplanade esok
Jun 12, 2021 | 05:30 AM



SEMANGAT srikandi yang kuat berjuang harus ada dalam diri seorang wanita perkasa yang diuji dengan bermacam-macam rasa dan sakit dalam dunia yang tenat dek pandemik Covid-19.



Di sebalik kelembutan semula jadi kaum Hawa, suara lantang mereka perlu diperdengar menerusi bait-bait puisi ataupun lagu yang disampaikan sebagai santapan halwa telinga.



Inilah yang bakal meluap-luap terasa dalam persembahan muzik dan deklamasi puisi yang menggabungkan dua penyajak Singapura, Aisyah Lyana dan Sofia Nin, serta pemuzik Namie Rasman.



Buat julung-julung kalinya, mereka disatukan dalam satu persembahan dalam talian Offstage kendalian Esplanade, Poe(M)usic: Blessed, yang akan distrim secara langsung mulai 7.30 malam esok.



Persembahan sempena Pesta Raya 2021 ini akan berada dalam talian hingga 11.59 malam, 27 Jun.



Dalam rasa terujanya membuat persembahan sulung dan bekerjasama dengan dua anak seni berpengalaman di pentas gah Esplanade, Aisyah, 24 tahun, diselubungi rasa bercampur-aduk.



Beliau terkenangkan betapa pandemik Covid-19 membawa banyak cabaran buat keluarganya dengan Lebaran terasa begitu sayu apabila ibu yang disayangi, sasterawan Noor Hasnah Adam, menjalani pembedahan tumor otak di hospital.



Namun, mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) ini begitu cekal malah mengambil hikmah daripada impak krisis kesihatan dunia dan tempoh berlebaran di hospital dalam keadaan ibunya koma dan baru-baru ini telah sedarkan diri.



Kongsi Aisyah dalam satu wawancara Zoom:



"Saya syukuri peluang yang diberi untuk belajar daripada pengalaman menghasilkan kerja seni bersama Namie dan Sofia. Mereka ibarat kakak saya.



"Kami akan hasilkan pantun bersama dalam persembahan ini. Ia mengisahkan tentang hikmah Covid-19... mengapa kita harus bersyukur? Kesyukuran datang apabila kita dapat sokongan ramai teman lantas sesuatu yang negatif boleh menjadi positif.



"Bagaimanapun, saya akur tempoh beberapa bulan ini memang mencabar, lebih-lebih lagi apabila ibu dimasukkan ke hospital pada waktu Raya.



"Dengan langkah sekatan yang diperketat kini, hanya dua orang anggota keluarga pada setiap masa diizinkan masuk menjenguk dan menjaga ibu setiap masa. Ia memang mencabar buat saya dan adik-adik saya."



Lantaran itu, puisi bertajuk Hikayat Srikandi yang akan dibacakan dalam persembahan ini ditujukan Aisyah buat ibunya yang memiliki semangat juang yang kuat dalam hidup.



Puisi itu juga dikarang mengingat pada perbincangan tular di seberang Tambak dengan wanita yang sudah berumah tangga diberi beberapa panduan menjaga mahligai dan suami mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.



Antara yang terpahat dalam ingatan Aisyah adalah permintaan kekal berdandan di rumah sambil berbual dalam suara Doraemon.



"Selain tertarik pada isu-isu semasa seperti perihal serius peperangan, saya juga terdorong mengupas isu kewanitaan, layanan dan pandangan orang pada kaum Hawa serta perihal penderaan wanita," tambahnya.



Aisyah yang pernah memenangi anugerah kecemerlangan bagi majlis pengiktirafan sasterawan, Anugerah Pena Emas, pada 2013 dan 2017 yakin mata pena itu lebih tajam daripada pedang.



"Saya pernah pun menghasilkan karya yang menuju ke arah penekanan bahawa kita tidak perlu gunakan kekerasan ibarat menggunakan pedang untuk menghurai keadaan.



"Kadangkala kata-kata yang bernas boleh melembutkan hati ataupun lebih tajam menusuk kalbu dan mengguris hati," katanya.



Sofia, 31 tahun, yang nama sebenarnya Radin Sofia Azrindawani, sudah mula menulis sejak 2008 sebagai luahan rasa seorang anak yang kehilangan ayahnya yang meninggal dunia.



Pada Pesta Kesusasteraan Asean 2014, beliau menerbitkan antologi puisi pertamanya, Puisi Berantakan.



Setelah lama berehat daripada dunia penulisan kerana sibuk dengan komitmen tugas dalam sektor teknologi maklumat, Sofia kembali tahun ini dengan persembahan di Esplanade ini dan koleksi puisi baru tentang pandemik, Secangkir Kopi.



"Dalam saya melahirkan rasa syukur bahawa ada hikmah di sebalik Covid-19 dengan hubungan saya bersama ibu menjadi lebih akrab sebab keadaan saya yang bekerja dari rumah membolehkan saya makan malam dengannya selalu, saya juga melihat persembahan kami ini sebagai memperkasa semangat kaum Hawa.



"Banyak yang dipelajari daripada Namie dan Aisyah. Setelah hampir sedekad berada dalam dunia kesusasteraan Melayu di Singapura, saya lihat generasi penulis wanitanya tergolong daripada pelbagai lapisan usia.



"Namun, kita masih perlu dapatkan generasi penulis muda agar berani tampil menerbitkan karya mereka. Jangan takut mencuba," jelasnya.



Namie, 30 tahun, yang banyak menjana muzik eksperimental dan menghadiri program bimbingan muzik di dalam dan luar negara pula melihat persembahan ini sebagai unik dengan setiap orang mengalirkan tenaga positifnya dalam suasana pandemik yang biasanya dilihat menyempitkan keadaan.



"Teras persembahan kami adalah kita harus belajar bersyukur dan mencari hikmah daripada kesulitan hidup. Saya akan sampaikan lagu Melayu ciptaan saya, Lari, tentang melepas bebaskan diri daripada dunia negatif pandemik.



"Dalam tempoh ini, saya lebih banyak masa berkarya, menjalin kerjasama dengan anak seni lain. Pendek kata, jambatan sesama manusia tetap terbina. Kita hilang sesuatu seperti kebebasan bergerak sana sini dalam pandemik tetapi kita juga raih lebih banyak pengajaran," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >