DI sebalik dunia yang tenat dek pandemik Covid-19 kini, tahun 2020 dan 2021 ibarat membawa bermacam rezeki buat penyanyi rap Singapura, Nurbalqis Mohamed Muzamil.
Bukan sahaja beberapa 'single' seperti Pergi, Frenemy dan Blah, memperkenalkannya pada pencinta muzik hip-hop di Singapura, anak muda yang bakal mencecah 21 tahun ini juga berpeluang menghasilkan lagu rap Rayanya sendiri, Cinta Syawal.
Lagu yang mendapat tempat kedua dalam peraduan mencipta lagu Raya, Ilham: Menjelang Syawal, anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) baru-baru ini bak memberi semangat baru buat Nurbalqis yang mesra dengan panggilan Qis.
Ia dihasilkan Qis bersama Hamsazri dan Kalam Qalbu, 'orang lama' yang sangat disanjungi anak muda ini kerana petunjuk yang diberi.
Dalam dirinya sibuk meneroka pelbagai cara memasyarakatkan lagu-lagu hip-hop, gadis manis dengan rambut keriting yang dipintal persis penyanyi rege di Barat itu, tidak lupa pada tunggak kehidupannya.
Siapa lagi kalau bukan bapanya, Encik Mohamed Muzamil Meeran Gani, 46 tahun, yang mengendalikan gerai makanan India/Muslim, Welcome Muslim Food, di 58 Upper Changi Road?
Ketika dihubungi, Qis, pelajar Diploma Teknologi Audio Muzik di Politeknik Singapura (SP), menjelaskan bapanya sering membakar semangatnya agar berusaha lebih lagi dalam bidang yang disukai.
"Ayah menjalankan perniagaan selama 40 tahun bersama datuk saya. Saya membantunya mengendalikan laman Facebook bagi menarik pelanggan berkunjung ke gerainya dalam tempoh sukar Covid-19.
"Sewaktu Fasa Satu tahun lalu, tidak mudah bagi saya mengendalikan tempahan dan pertanyaan dalam talian kerana saya bersekolah. Saya buat pelbagai perkara serentak. Kadangkala ada yang tak menjadi dan saya belajar daripada kesilapan saya.
"Namun, saya hargai semangat niaga ayah saya yang selalu memberi sokongan kepada saya dengan mendengar lagu saya setiap hari.
"Beliau berkongsi karya saya dengan teman-temannya, malah berusaha mendapatkan kenalan dalam bidang muzik bagi membantu saya.
"Tanpa ibu bapa saya, saya tidak dapat meneruskan minat dalam bidang muzik. Ayah juga berpesan agar saya tidak terjejas dengan komen negatif warganet. Teruskan perjuangan," ceritanya.
Banyak yang telah dilalui Qis sebelum ini yang kadangkala membuatnya terasa bingit.
Misalnya, dikelentong golongan yang sengaja ingin mempergunakannya hanya kerana beliau seorang wanita yang dirasakan masih terlalu hijau dalam bidang muzik.
Namun, Qis, anak sulung tiga beradik, sangat bersyukur dipertemukan dengan orang-orang yang memberinya arah tuju dan menyuntik kesegaran dalam genre hip-hop yang menjadi muzik cari makannya.
"Apabila saya terlibat dalam peraduan Ilham: Menjelang Syawal, saya berasakan ini akan membuka peluang bagi saya cuba sesuatu yang berbeza.
"Jarang-jarang kita dengar lagu hip-hop Raya. Teras lagu ini sebenarnya mudah sahaja. Ia lagu ceria jumpa saudara-mara dan sahabat-handai dengan kita beramah-tamah dan saling bermaafan.
"Daripada peraduan itu, saya juga mengenali kakak dan abang yang ramah dan sudi berkongsi. Kami tak anggap diri kami pesaing, tetapi sebagai anak seni yang siapa tahu, mampu bergabung suatu hari nanti," ujarnya.
Qis anggap perjalanan seninya yang setahun jagung, walaupun pernah terlibat dalam peraduan saluran Okto semasa kecil, penuh dengan asam garamnya.
"Pendedahan awal memberi saya keyakinan muzik memang mendarah daging dalam diri saya.
"Sungguhpun begitu, saya masih lagi bereksperimen, terbuka pada kerjasama dengan orang lain walau selesa berdikari tanpa ikatan dengan mana-mana label.
"Membahagikan masa antara sekolah dengan muzik bawa bersama cabaran tersendiri tetapi ia tetap mencorak saya menjadi anak seni yang tak 'kan mengaku kalah dalam apa jua hambatan seni," kongsinya, yang juga berjinak-jinak dengan band ala '60-an dan baru muncul dengan lagu Kau Dan Kita (bersama RyanRazaly).
"Beliau berkongsi karya saya dengan teman-temannya, malah berusaha mendapatkan kenalan dalam bidang muzik bagi membantu saya. Tanpa ibu bapa saya, saya tidak dapat meneruskan minat dalam bidang muzik. Ayah juga berpesan agar saya tidak terjejas dengan komen negatif warganet. Teruskan perjuangan." - Qis atau nama penuhnya, Nurbalqis Mohamed Muzamil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg