Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sembang kedai kopi cetus idea arca 'berbicara'

Aug 04, 2022 | 05:30 AM



KAWASAN sekitar Kompleks Waterloo mungkin nampak biasa sebagai sebuah kejiranan yang dipenuhi kedai dan kediaman lama daripada kaca mata mereka yang mengunjunginya sekali-sekala.



Namun, bagi seniman visual, Encik Nhawfal Juma'at, 31 tahun, di sebalik kawasan yang terasa biasa-biasa sahaja, masih terdapat beberapa ruang yang tidak atau belum dimanfaatkan sepenuhnya.



Justeru, apabila ditugaskan menyiapkan kerja seni pemasangan di Kompleks Waterloo untuk Pesta Malam Singapura (SNF), fikirannya menerawang memikirkan apa yang boleh diisikan di ruang itu.



Inspirasi daripada perbualan kedai kopi dan sembang santai membuahkan ilham buat Encik Nhawfal, ayah seorang anak kecil, menjana dua arca yang bermain dengan naluri semula jadi manusia untuk mewujudkan perbualan sesama sendiri.



Karya berjudul NOCTURNE: Conversations with Waterloo itu dipamerkan di Kompleks Waterloo antara 19 dengan 27 Ogos ini, 7.30 malam hingga 12 tengah malam.



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Encik Nhawfal yang ditemui di studio temannya di Clementi Street 12, baru-baru ini.



Soalan (S): Apakah perasaan anda dapat terlibat dalam SNF?



Encik Nhawfal (N): Setelah sekian lama menjadi pemerhati acara ini, saya terharu terlibat dalam acara nasional skala besar ini.



Kadangkala tertanya-tanya, 'Betul ke tidak ni?' Macam saya bermimpi pula! Setelah sedekad berkecimpung dalam bidang seni, alhamdulillah, saya bersyukur kerja seni saya masih relevan.



S: Apakah yang terlintas dalam fikiran apabila hasilkan arca ini?



N: Saya sudah biasa dengan kawasan sekitar Kompleks Waterloo ini. Ini kerana saya pernah belajar dan kini mengajar di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) yang letaknya tidak jauh dari kompleks berkenaan.



Walaupun sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni visual, saya masih perlu memikirkan tentang gagasan bagi arca ini... apakah yang membuatkannya unik.



Sememangnya, dari konteks fizikal dan seni bina, ia bukan tempat yang 'wow'. Ia hanya ruang biasa tetapi apa yang membuatkan saya tertarik pada tempat biasa seperti ini ialah apabila saya melihat ruang kosong yang belum terisi.



Saya fikirkan cara bagaimana dapat hidupkan kawasan sekitar Kompleks Waterloo ini. Saya dapat inspirasi daripada kedai kopi... bagaimana orang akan berhimpun di sini dan bersembang tentang bermacam-macam perkara.



Tempat yang sepi di Kompleks Waterloo perlukan suasana yang sibuk dengan kegiatan. Saya bikin dua arca yang menggambarkan dua orang bersembang bagi mengeratkan silaturahim.



Saya membawa dua arca 'manusia' ini ke tempat yang tidak ramai orang gunakan untuk kegiatan. Saya pilih bangku antara kedai yang pastinya dilintasi orang untuk letakkan dua arca ini.



S: Apakah bezanya apabila siapkan karya bagi pesta khusus pada waktu malam seperti SNF?



N: Lampu adalah komponen besar. Saya harus pastikan kerja seni saya ini masih boleh dihargai pada waktu malam atau siang.



Ia satu keprihatinan berbanding apabila mempamerkan karya dalam sebuah balai seni dengan sekitaran terkawal.



Kini, saya harus imbangi unsur cahaya dan bukan cahaya arca ini.



S: Apakah keunikan karya anda?



N: Kebanyakan bahan yang digunakan senang diperolehi. Ada jaringan dawai keluli tahan karat yang boleh digulung, dilipat dan diklip. Saya gunakan sarung tangan, alat pemotong dan playar.



Namun, apa yang unik adalah apabila tubuh arca ini diisi dengan pepohon menghijau bagi menunjukkan bahawa jika perbualan diteruskan dalam hidup kita, kehidupan akan mekar dan jadi lebih menarik, meriah dan bermakna.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >