Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Senandung Aidilfitri' satukan kembali Mayuni-Hazrul

Muzik menjadi jambatan persahabatan di musim Lebaran setelah lama tidak terjalin kerana kesibukan tugas masing-masing. Ia juga penjalin ukhuwah dalam menyemarakkan suasana Hari Raya walau dalam kesulitan pandemik Covid-19. BERITA HARIAN melaporkan dua kisah komposer mapan dan muda yang menebar persaudaraan melalui lagu yang dicipta. Lagu Raya ubati rindu peminat lagu balada 'Kaulah Segalanya'
May 17, 2021 | 05:30 AM



LEBIH dua dekad lalu, komposer Mayuni Omar dan penyanyi bersuara lemak merdu, Hazrul Nizam, menggegarkan persada muzik Nusantara dengan lagu cinta balada yang memukau hingga ke hari ini, Kaulah Segalanya.



Dalam ramai menanti duo dinamis ini muncul dengan satu lagi lagu menyentuh kalbu, kejutan diberi dengan terciptanya lagu Senandung Aidilfitri sebagai pengubat rindu.



Lagu ini menggambarkan kerinduan si anak pada Hari Raya mengenang ibu bapa yang sudah pergi buat selama-lamanya.



Apakah yang membuatkan kerjasama terkini ini hanya dapat dilaksanakan selepas tempoh 23 tahun?



Ikuti wawancara bersama Mayuni, 49 tahun, dan Hazrul, 41 tahun, mengenai ukhuwah yang terjalin dalam lagu, sesuatu yang akan diteruskan selepas lagu Raya ini.



Soalan (S): Setelah 'Kaulah Segalanya' mencetus fenomena pada 1998, mengapa tiada kerjasama lagi antara anda berdua?



Mayuni (M): Beberapa tahun selepas Kaulah Segalanya berada di carta 'hit' radio, kami terputus hubungan kerana kesibukan jadual tugasan kami.



Kami hanya bertemu semula dua tahun lalu ketika rakaman rancangan Suria Elektra.



S: Apakah yang membuatkan anda mencipta 'Senandung Aidilfitri' khusus buat Hazrul?



M: Pada musim Raya tahun lalu, sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19, kami bekerjasama dan menyajikan beberapa lagu Hari Raya yang terkenal di YouTube dan Facebook.



Sambutan bagi persembahan kami berdua ini sangat menggalakkan. Ia langsung mencetus idea bagi saya mencipta sebuah lagu Hari Raya khas buat Hazrul. Cuma kami berdua sibuk dan tiada masa merealisasikannya atau merakamnya tahun lalu.



Sebelum Ramadan tahun ini, Hazrul yang merupakan ejen hartanah datang ke rumah saya kerana saya perlukan nasihat tentang hartanah saya.



Sambil-sambil bersembang, timbul pula cerita tentang lagu Raya baru ini.



Percaya tak? Saya hanya mampu menghasilkan melodi lagu ini beberapa hari selepas Ramadan bermula.



Inspirasi bagi lagu ini pula datang tiba-tiba dan segalanya dengan sendiri tercipta seperti yang kami mahukan.



Apabila Hazrul mendengar 'demo' lagu ini, beliau langsung memberitahu saya, "Jom! Kita rakam sahaja lagu ni!"



Selepas itu, saya tulis liriknya pula disusuli dengan sesi rakaman. Semuanya tidak dirancang dan beres dalam masa seminggu.



Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar.



S: Apakah perasaan anda apabila dapat tahu Mayuni ingin cipta lagu Raya khas buat anda?



Hazrul (H): Saya sangat teruja apabila Mayuni beritahu beliau ingin hasilkan lagu Raya buat saya.



Kami berbual sekejap sahaja tentang rakaman lagu ini. Semuanya beres baru-baru ini di ambang Aidilfitri. Maklumlah, jadual kami sibuk dan padat.



S: Apakah pengamatan anda tentang 'Senandung Aidilfitri'?



H: Saya diberi melodinya terlebih dahulu. Selepas mendengarnya, saya langsung jatuh cinta dengan lagu ini.



Mayuni mempunyai kelebihan dalam menyampaikan sesuatu kisah dalam lagu menerusi susunan muziknya yang kemas dan menyentuh kalbu saya serta-merta.



Apabila saya diberi lirik lagu ini, saya jadi gementar sebab macam 'berat' sahaja bunyinya. Takut pula saya tak dapat beri yang sebaiknya buat lagu ini.



Namun, Alhamdulillah, dengan bimbingan Mayuni, semuanya berjalan lancar.



Mudah-mudahan, apa yang ingin disampaikan dalam lagu ini 'masuk' ke dalam jiwa pendengar dan mereka boleh 'tangkap' maksud mendalam lagu ini.



S: Apakah yang anda ingin sampaikan dalam 'Senandung Aidilfitri'?



M: Saya banyak mendengar dan mengkaji lagu Raya masa kini tetapi nampaknya ada lebih banyak lagu Raya yang gembira dan ceria kini.



Justeru itu, saya mengambil keputusan menghasilkan lagu balada Raya sebab semua orang tahu kekuatan Hazrul adalah pada lagu balada.



Senandung Aidilfitri adalah balada yang dicipta bagi menyentuh perasaan pendengar dan membuat kita semua mengingati, menghargai dan menyedari betapa dalamnya cinta dan kasih sayang kita pada ibu bapa kita. Hargai mereka selagi hayat kita dan mereka masih ada.



S: Apakah antara lagu Raya yang pernah anda cipta sebelum ini?



M: Antara lagu paling awal yang saya cipta adalah bagi album Kecoh-Kecoh Raya pada 1997.



Album yang antara lain dijayakan pelawak Ishak Ahmat dan Hamzah Adon ini diusahakan atas usulan Bob Kusmangat.



Saya juga menggubah dan menerbitkan lagu bagi album Raya kompilasi Pemberian Di Hari Raya yang diusulkan Salleh Abdul Samad dari Muzika Records.



Salah satu lagu ciptaan saya adalah Syair Kasih dendangan Mahani Mohd. Ia adalah lagu rentak zapin pertama ciptaan saya.



Saya juga pernah mencipta lagu tema Salam Aidilfitri dan Sinar Lebaran serta runut bunyi drama Kalimah Terakhir, Bantal Buruk Saloma dan Bubur Masjid Air Katira.



S: Apakah pengertian Hari Raya buat anda?



M: Hari Raya membawa banyak kenangan indah, tinggal bersama datuk dan nenek, ibu, ibu dan bapa saudara di bawah satu bumbung.



Semangat gotong-royong dan ukhuwah, ketawa ria siapkan macam-macam kuih, kek, ketupat, lontong dan lauk-pauk.



Saya rindukan masakan arwah nenek dan pengalaman bermain bunga api dengan kawan-kawan serta melawat sanak-saudara.



H: Ia adalah hari meraikan rendang, sayur lodeh, ketupat! Saya bergurau sahaja. Ia adalah tempoh di mana saya berpeluang meluangkan masa dengan keluarga dan orang tersayang sambil makan juadah Raya.



Saya tak akan lupakan Hari Raya tahun lalu yang diraikan sewaktu pandemik Covid-19. Kerana saya tinggal seorang diri, saya berbuka puasa seorang sahaja setiap malam.



Tiba-tiba, saya bertukar menjadi 'Master Chef' yang siapkan sajian berbuka puasa. Cukup menyeronokkan tetapi saya rindu teman-teman sampaikan kita bersembang dan berbuka puasa bersama melalui Zoom.



S: Adakah anda risau orang akan membandingkan mutu 'Kaulah Segalanya' dengan 'Senandung Aidilfitri'?



M: Bukan sahaja bimbang tentang orang lain tetapi saya sendiri pastinya akan membandingkan mutunya.



Ramai yang bertanya mengapa tidak buat susulan lagu Kaulah Segalanya atau apakah lagu 'hit' selanjutnya?



Saya banyak bikin lagu buat artis tempatan seperti Eka Mairina, Maiya Rahman, Nurun Nuwarrah dan Farisha Ishak.



Namun, menghasilkan lagu buat Hazrul adalah satu cabaran sebab suaranya unik dan ia tidak semudah mana. Lagu yang dicipta harus berpacukan irama dan ada 'jiwa'.



H: Kaulah Segalanya akan kekal sebagai balada klasik manakala Senandung Aidilfitri dihasilkan dengan mengingati musim Lebaran.



Kalau pendengar membandingkan kedua-duanya, ia bererti mereka membincangkan dan memikirkan tentang kedua-dua lagu ini sekali gus. Rasanya bagus bukan?




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >