Topic followed successfully
Go to BHkuSenarai 100 Penyanyi Dunia Dengan Anugerah Terbanyak: Siti Nurhaliza di tangga ke-27, atasi Celine Dion dan Alicia Keys
Senarai 100 Penyanyi Dunia Dengan Anugerah Terbanyak: Siti Nurhaliza di tangga ke-27, atasi Celine Dion dan Alicia Keys
Senarai 100 Penyanyi Dunia Dengan Anugerah Terbanyak: Siti Nurhaliza di tangga ke-27, atasi Celine Dion dan Alicia Keys
PETALING JAYA: Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila berada dalam senarai Top 100 Most Awarded Musicians of All-Time atau 100 Penyanyi Yang Menerima Anugerah terbanyak, sebaris dengan nama-nama besar antarabangsa yang lain.
Dalam senarai yang dikeluarkan oleh The Artist Museum yang mengiktiraf pencapaian artis sedunia mengikut jumlah anugerah mereka, Siti, 43 tahun, berada di kedudukan ke-27 dengan jumlah anugerah yang dimenanginya sebanyak 329 anugerah sejak memulakan kerjaya pada 1995.
Kejayaan pelantun lagu Cindai itu menduduki tangga ke-27 sekali gus turut mengetepikan beberapa senarai penyanyi terkenal lain, antaranya Katy Perry ditangga ke-31, Celine Dion (33 anugerah), Alicia Keys (38 anugerah) dan Christina Aguilera (44 anugerah).
Di lima kedudukan pertama adalah Raja Pop, Michael Jackson dengan 1,003 anugerah, Beyonce (896 anugerah), Taylor Swift (867 anugerah), band K-Pop BTS (785 anugerah) dan idola remaja Justin Bieber (720 anugerah).
Kejayaan penyanyi kelahiran Pahang itu sekali gus memberi keterujaan kepada peminatnya apabila mampu bersaing dengan penyanyi-penyanyi hebat antarabangsa selain membuktikan kemampuannya untuk menjadi seorang penghibur berkelas dunia.
"Tahniah Siti Nurhaliza. Sentiasa menjadi penyanyi nombor satu. Tolong jangan berhenti menyanyi. Kami masih perlukan anda dalam industri," ujar seorang peminatnya dalam Twitter.
"Siti satu-satunya penyanyi Malaysia yang tersenarai bersama penyanyi-penyanyi terkenal antarabangsa. Tahniah Siti Nurhaliza!" komen seorang lagi peminatnya.
"Wow! Siti Nurhaliza berada di atas Celine Dion. Tahniah," ciap seorang peminatnya.
Siti mengumpul banyak pengiktirafan dengan menerima penghargaan di beberapa majlis penyampaian anugerah, antaranya Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Bintang Popular.
Siti juga telah beberapa kali menerima anugerah di peringkat antarabangsa seperti di Pesta Muzik Shanghai, Voice of Asia dan MTV Asia.
Sebelum ini, ibu kepada dua orang cahaya mata itu juga pernah tersenarai sebagai 100 individu paling berpengaruh dalam dunia digital di Asia dan tersenarai antara 500 Wanita Muslim Paling Berpengaruh sebanyak tiga kali. - KOSMO! ONLINE

