Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Seniman berbilang disiplin Rizman Putra kagumi Mat Sentol

Veteran Pesta Malam Singapura bawa watak 'tauke panggung' ASP Latiff untuk hurai misteri kehilangan kasut merah
Aug 16, 2022 | 05:30 AM



SENIMAN Singapura berbilang disiplin Rizman Putra boleh dianggap veteran acara Pesta Malam Singapura (SNF) dan terlibat dalam kegiatannya sejak edisi pertama hampir dua dekad lalu.



Beliau pernah bertindak selaku 'shaman' atau ketua gelanggang yang membawa kumpulan genderang Bloco Singapura masuk gelanggang persembahan.



Bersama band Tiramisu, Rizman, kini 44 tahun, juga pernah membuat persembahan di luar Substation sambil melihat keseronokan penonton makan durian percuma beramai-ramai.



Namun pada Jumaat ini, satu lagi tugas baru sempena SNF menanti Rizman di lelapang Cathay Green (depan bangunan The Cathay) yang diubah suai menjadi set persembahan unik Cathay Hotel: The Curse of the Missing Red Shoe.



Kali ini, Rizman adalah 'tauke panggung' yang wataknya dipadankan daripada watak ASP Latiff dalam filem klasik Cathay-Keris pada 1961, Sumpitan Beracun.



Melalui filem yang ditonton, beliau telah mengkaji gerak-geri Datuk S. Roomai Noor, peneraju asal watak ASP Latiff dalam filem itu.



Rizman diamanahkan untuk mengundang hadirin di lobi Cathay Hotel, mengarah mereka untuk ke kafe dan kemudian berpecah ke beberapa kamar dalam hotel itu.



Misi persembahan itu adalah mencari siapakah pencuri kasut merah itu dan dari mana sumber sumpahan kasut tersebut sehinggakan kes ini terbiar selama 60 tahun tanpa ada huraian.



Justeru, tugas membantu menyelesaikan kes ini diserahkan ASP Latiff kepada penonton yang hadir pada persembahan itu.



Maklumlah, ASP Latiff sepatutnya sudah bersara tetapi kerana kes ini belum lagi ditutup, terpaksalah dia terus bertugas malahan menjadi antara suspek kes juga.



Ikuti wawancara bersama Rizman yang melihat pelawak, pelakon, pengarah, ikon iklan kanak-kanak dan pengacara veteran Mat Sentol sebagai idola kerana bakat serba bolehnya.



Soalan (S): Apakah perasaan Rizman apabila diundang untuk menjayakan 'Cathay Hotel: The Curse of the Missing Red Shoe'?



Rizman: Saya teruja apabila diundang pengarah persembahan ini, Jeremiah Choy, untuk menjadi sebahagian daripada sajian teater 'immersive' di mana penonton adalah sebahagian daripada persembahan itu.



Lokasi persembahan adalah di dalam karya pemasangan Cathay Hotel yang diusahakan penulis naskhah pementasan dan pengarah kreatif Justin Loke daripada Vertical Submarine.



Yang menariknya, akan ada watak-watak dalam filem klasik Cathay-Keris seperti Orang Minyak, Pontianak, Mat Bond dan Mambo Girl dalam setiap kamar yang akan menyampaikan monolog sarat dengan bukti untuk membantu penonton menghurai kes ini.



Ia konsep yang menarik di mana penonton jadi sebahagian persembahan dan cuba meneka siapa pencuri kasut itu. Ia ibarat permainan papan Cluedo yang dialihkan pada konsep persembahan.



S: Apakah cabaran yang dihadapi Rizman kali ini? Bagaimana terapkan perwatakan ASP Latiff atau apa yang diikuti daripada lakonan S. Roomai Noor?



Rizman: Saya sudah menjayakan banyak persembahan yang memerlukan kespontanan.



Saya mengkaji watak S. Roomai Noor dan menonton beberapa filem Cathay-Keris lain.



Saya tengok gerak-geri ASP Latiff, bagaimana dia bergerak atau memberi senyuman.



Orang dahulukala ketika Sumpitan Beracun dihasilkan pada 1961 tiada televisyen di rumah. Mereka tak dapat menjangkakan apa yang biasanya berlaku dalam sebuah plot program televisyen.



Saya dapati Roomai Noor memperkenalkan dirinya sebagai Roomai Noor yang membawa watak ASP Latiff dalam pembukaan filem ini. Dia kemudian menjelaskan babak dalam filem ini hanya rekaan dan tiada keganasan dalam filem ini.



Justeru, saya pinjam caranya itu dan dalam persembahan Cathay Hotel nanti, saya juga akan memperkenalkan diri saya sebagai Rizman Putra yang membawa watak ASP Latiff.



S: Setiap kali menonton filem klasik Cathay-Keris, apa yang anda kagumi? Siapa idola anda?



Rizman: Saya kagumi Mat Sentol yang boleh saya anggap pengasas kesan khas dalam filem Melayu. Beliau boleh dianggap berpemikiran maju dalam zaman 1960-an untuk hasilkan kesan khas yang dibuat sendiri tanpa bantuan teknologi.



Saya peminat semua filemnya dalam siri 'Mat' - Mat Bond, Mat Tenggek, Mat Tiga Suku, Mat Magic dan sebagainya.



Kadangkala kesan khasnya tak masuk akal. Tapi beliau memang legenda yang hebat. Saya ikuti program Mat Yoyo dan menyaksikan Pak Mat dalam semua iklan seperti coklat Ding Dang, kerepek Ka Ka dan kudapan Tora.



Saya kagum dengan karismanya. Beliau tahu kekuatannya di mana. Mungkin wajahnya tidak setampan S. Roomai Noor atau P. Ramlee tetapi Mat Sentol yakin diri dan ingin buat segalanya yang lain daripada lain dan luar biasa.



S: Apa lagi yang boleh dijangkakan hadirin ke Cathay Hotel?



Rizman: Orang ramai akan dipelawa dan dipandu bermacam 'penghuni' hotel itu yang merupakan hantu, baik dalam bentuk pelancong Jepun, pekerja kilang dari Batu Pahat atau pekerja hotel.



S: Apakah yang diperlukan untuk menjadi seniman berbilang disiplin seperti anda? Apa nasihat anda untuk anak muda yang ingin menguasai pelbagai kemahiran sekali gus?



Rizman: Pemikiran mesti nak waras, rehat dan tidur secukupnya dan pastikan tubuh anda sihat untuk memulakan setiap hari dengan fikiran yang segar dan hati yang tenang dan lapang.



Banyak yang perlu dilakukan khususnya jika anda seorang pengarah dari sudut perancangan.



Saya pastikan selepas solat Subuh, saya sudah bersedia berbasikal sejauh 20 kilometer untuk melihat matahari terbit sebelum saya mula bertugas.



Saya nak tenang dan fokus. Jadi hari saya sudah bermula seawal 5.45 pagi.



Pesan saya kepada anak muda di sana, mereka harus kerja keras dan sanggup ambil risiko. Tak cuba, tak tahu. Harus bersedia dakap kesilapan mereka. Tak semua dalam hidup kita sempurna. Kalau ada silap, kita belajar daripada pengalaman kita, garap keyakinan diri dan tak mudah putus asa.



Kehidupan kita lebih menarik kalau kita suka timba ilmu baru setiap hari.




► Nota: Cathay Hotel: The Curse of the Missing Red Shoe akan berlangsung pada 19 dan 20 Ogos serta 25 hingga 27 Ogos dengan tiket $33 seorang sudah mula dijual. Keterangan lanjut di https://www.nightfestival.gov.sg/




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >