Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sensasi YouTube, peniup seruling tambah 'jiwang' lagu Tok Ti

Oct 01, 2020 | 05:30 AM



KERINDUAN peminat terhadap suara merdu sensasi YouTube Singapura, Chomel, yang lama menyepi, dapat dirasakan sejurus beliau memuatnaikkan klip video cover lagu hitAku Bidadari Syurgamu.



Ia baru sahaja dimuatnaikkan ke laman Facebook lima hari lalu. Namun, sambutannya luar biasa kerana sudah ditonton lebih 7,000 kali, di luar jangkaan Chomel, 28 tahun, yang nama sebenarnya, Noorzafirah Abdullah.



Antara peminatnya, Azzam Peez, menulis:



"Selamat kembali (menyanyi) Chomel. Semoga maju jaya. Anda terbaik!"



Respons daripada seorang lagi pengikutnya, Christy Joe pula adalah: "Terbaik... tak pernah mengecewakan. Selamat maju jaya buat adik Chomel. Kami akan menyokong adik."



Saduran pada lagu terkini Datuk Seri Siti Nurhaliza itu dihasilkan secara senyap-senyap oleh Chomel dengan diiringi peniup seruling Singapura, Fatinn SerulingLady, 22 tahun.



Muziknya disusun semula komposer tempatan, Amyr Abadawn, 37 tahun, yang juga pemain piano dalam versi cover ini.



Lebih istimewa lagi, gitaris dari Serbia, Miroslav Cvetkovic, dan pemain bes dari Cyprus, Andy Warner, turut dilibatkan dalam sajian lagu ciptaan Ippo Hafiz ini.



Kerja adunan dan pengindukan dibuat Arnob Mitra.



Menurut Amyr, banyak yang dilaburkan dari segi kelengkapan video dan pencahayaan buat projek ini.



"Saya kenali pemuzik Serbia dan Cyprus ini di media sosial. Mereka dapat memberi kerja bermutu dalam kesuntukan masa," katanya.



Ketika dihubungi, Chomel, yang bermula sebagai bakat YouTube yang berdendang di kolong blok sebelum dilamar sebagai artis rakaman seberang Tambak, berkata:



"Sebenarnya, saya dan Abang Amyr merancang buat klip video ini sebagai menandakan kembalinya saya ke dalam bidang seni selepas lama menyepi.



"Ia merupakan satu kejutan. Saya mengharap ia dapat mengubati kerinduan peminat yang sentiasa menantikan kemunculan saya. Mereka adalah salah satu sebab mengapa saya ingin cekalkan semangat dan terus berkecimpung dalam bidang seni suara."



Chomel begitu senangi lagu Aku Bidadari Syurgamu kerana setiap bait lirik lagu ini mempunyai maksud mendalam.



"Lagu ini menyampaikan pesanan yang amat bermakna jika dihayati sepenuh hati terutama sekali apabila ia ditujukan buat orang tersayang.



"Ia mengungkapkan rasa cinta yang begitu teguh. Lagu ini memang kena dengan jiwa Chomel," katanya lagi.



Baginya, tidak semua lagu Siti Nurhaliza mudah dibawa atau disampaikan jika tidak dihayati dengan sepenuh jiwa. Ia juga bergantung pada genre lagu.



"Namun, Alhamdulillah saya boleh menjiwai lagu Aku Bidadari Syurgamu kerana ia sangat kena dengan genre kesukaan atau pilihan saya. Ia cukup mendayu!



"Pastinya, dengan pesanan yang tersirat, ia meninggalkan kesan amat mendalam bagi ramai individu," katanya lagi.



Beliau juga amat terharu dengan maklum balas positif peminatnya.



"Mereka sentiasa merindui suara Chomel. Kata-kata hikmah mereka memberikan saya semangat baru agar terus berkarya.



"Insya-Allah, dengan sokongan ramai, saya akan rakam single baru. Yang pastinya, ia tetap lagu 'jiwang' sebab Chomel memang 'Jiwang Selalu'!" selorohnya.



Beliau juga terharu dan berbesar hati dapat bergandingan semula dengan Fatinn, peniup seruling yang disifatkan sebagai berbakat dan dapat memberi 'feel' pada persembahan lagu jiwa-jiwa.



Sebagai peminat drama 7 Hari Mencintaiku yang mengetengahkan lagu Aku Bidadari Syurgamu sebagai runut bunyinya, Fatinn dapat menghayati kesedihan lagu ini.



"Saya cuma perlu gunakan kreativiti sendiri dalam membalas suara Chomel yang syahdu dengan tiupan yang diberi stail sendiri. Maklumlah, lagu asal tiada bunyi seruling," kata Fatinn.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >