Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'COVER POWER'

Sentuhan '10 Hawa' beri nafas tradisional pada lagu popular

Oct 01, 2020 | 05:30 AM



Kian ramai pencinta seni yang menghasilkan lagu 'cover' atau saduran karya popular di media sosial sejak akhir-akhir ini bagi memastikan mereka kekal berseni, terus relevan dan dekat dengan pengikut mereka. Namun lebih daripada setakat menjadi sensasi YouTube, bakat wanita Singapura tampil dengan lagu saduran bermutu bahkan melambangkan perpaduan kaum Hawa. Mereka bekerjasama dengan penyusun muzik lelaki yang meniup semangat memperkasa wanita. BERITA HARIAN melaporkan.



CINTA terhadap keindahan dan warna-warni muzik tradisional Melayu menyatukan 10 penggiat seni wanita daripada tujuh kumpulan seni berbeza.



Gemersik suara merdu vokalis Nobat Kota Singa, Suryana Norddin, 29 tahun, apabila disatukan dengan kelunakan suara vokalis Orkes Mutiara dan Orkestra Melayu Singapura (OMS), Shahirah Jamaludin, 31 tahun.



Lagu saduran atau coverSedalam Dalam Rindu (nyanyian asal penyanyi Malaysia, Tajul) yang disajikan di YouTube sejak 10 September lalu benar-benar bak santapan halwa telinga yang menenangkan.



Mereka diiringi pemain akordion Syafiqah 'Adha, 30 tahun (Gendang Akustika); penggesek biola Lenny Karmila, 32 tahun (Sinar Fusika); gitaris Ulfah, 21 tahun (Gendang Akustika dan OMS); pemain bes Liyana Zainal, 36 tahun (Sinar Fusika); pemalu rebana satu, Noraini Abas, 29 (Nadi Singapura dan Nobat Kota Singa); pemalu rebana dua, Azreen Sopri, 27 tahun (Nadi Singapura); pemain tabla Nur Hafizah Zainuddin, 27 tahun (Nadi Singapura dan Motus) serta pemain aksesori Hanisah Tan Zainudin, 24 tahun (Nadi Singapura).



Lagu yang diberi rentak zapin dan inang ini mendapat sentuhan emas penyusun muzik dan aktivis muzik tradisional, Md Amin Abdul Rahman, 36 tahun.



Apakah yang mencetus idea bagi menyatukan dan sekali gus memperkasa penggiat seni wanita Singapura ini menerusi lagu saduran ini?



Ketika dihubungi, Md Amin menjelaskan:



"Saya pernah menghasilkan lagu cover pertama buat sekumpulan pemuzik lelaki. Justeru itu, saya terfikir mengapa tidak saya tampilkan pula semua pemuzik dan penyanyi wanita dalam klip video kali ini.



"Lagi pun, saya tahu ada ramai pemuzik wanita dalam kalangan teman seperjuangan saya. Siapa kata gadis Melayu tak boleh main alat muzik dan 'jamming' bersama lagu tradisional?"



Menurut Md Amin lagi, kali pertama beliau mendengar lagu Sedalam Dalam Rindu ini, beliau dapat rasakan lagu ini sesuai dijadikan karya dengan dua genre muzik tradisional Melayu iaitu zapin dan inang.



"Apabila saya mula menyusun semula lagu ini, rancangan awal saya ialah menyatukan dua penyanyi wanita tanpa memikirkan siapa yang patut diketengahkan.



"Selepas lagu itu hampir siap, barulah saya terfikir ingin buat lagu dengan kolaborasi semua pemuzik wanita. Saya pun ingin satukan pencinta seni dalam kalangan kaum Hawa ini yang mewakili pelbagai kumpulan muzik tradisional," katanya lagi.



Md Amin, dalam pada itu, mengusahakan projek ini atas usulan Nobat Kota Singa yang pernah dianggotainya.



Kumpulan ini dikenali kerana memberi sentuhan berbeza pada saduran lagu moden popular seperti Jampi (dendangan asal Hael Husaini), Bayang (Khai Bahar) dan Potret (Akim and The Majistret).



"Saya cintakan muzik. Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, saya akan tetap membahagikan masa untuk terus berkarya.



"Malah, saya meletakkan cabaran untuk diri saya sendiri menghasilkan satu lagu saduran setiap bulan.



"Cabaran bagi lagu Sedalam Dalam Rindu ini terletak pada proses mengubah lagu pop ini menjadi lagu Melayu asli tanpa menjejas intipatinya. Saya sendiri bukan pemain melodi.



"Suryana dan Shahirah juga dicabar menyanyikan lagu ini dengan lenggok Melayu asli. Satu lagi kesulitan teknikal ialah mensejajarkan video dan muzik agar ia kelihatan seiringan.



"Maklumlah video dirakam sendiri pemuzik dan penyanyi di rumah masing-masing memandangkan kita masih dalam tempoh berjaga-jaga dek pandemik Covid-19," tambahnya.



Suryana yang juga aktivis Teater Kami begitu gembira dan teruja terlibat dalam projek ini.



"Saya gembira kerana masih ada yang meneruskan projek aspirasiinspirasi yang dikendalikan Nobat Kota Singa pada awalnya.



"Menerusi projek ini, kami memberi sentuhan tradisional pada lagu popular seperti Jampi dengan versi kami diterima baik dan tular di media sosial.



"Saya kira ini adalah satu usaha yang baik kerana kita sedikit sebanyak dapat terus melestarikan genre muzik tradisional Melayu yang semakin jarang kita dengarkan."



Ditanya tentang semangat wirawati atau 'Girl Power' yang diketengahkan kali ini, beliau menambah:



"Lazimnya, apabila disebut irama tradisional, orang akan kata pastinya wanita yang terlibat hanya menyanyi sahaja.



"Tapi sebenarnya ramai juga dalam kalangan pemuzik irama tradisional ini merupakan wanita.



"Mereka berbakat besar bahkan ada di antara mereka turut menerajui kumpulan masing-masing seperti Syafiqah yang memimpin Gendang Akustika dan Liyana yang bergerak dengan Sinar Fusika sejak 2007."



Mengulas cintanya terhadap muzik tradisional, pemain bes Liyana pula menambah:



"Sebut sahaja muzik tradisional Melayu, ramai yang berpendapat lagu-lagunya membosankan kerana rentaknya perlahan.



"Namun, saya rasa kesan yang sebaliknya di mana saya menganggap irama tradisional Melayu ini sebenarnya seronok dimainkan kerana ia boleh dipelbagaikan dan kedengarannya bertenaga.



"Lebih menggembirakan, irama tradisional kian digemari lebih ramai anak muda. Ternyata, muzik tradisional Melayu ini tidak lapuk dek zaman walaupun ia merupakan khazanah lama zaman-berzaman.



"Bagi saya, selagi masih ada orang Melayu, selagi itulah akan ada muzik tradisional Melayu."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >