Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

‘ABANG-ABANG’ BAKAT MUDA

Sentuhan kreatif 'Abam Yaz' hidupkan foto, video artis

Mantan kru kreatif BBC Singapore, mentor belia bangun syarikat media yang terlibat dalam terbitan vlog Datuk Ramli Sarip
Sep 14, 2020 | 05:30 AM



Walaupun tugas mereka lebih di belakang tabir dunia hiburan Singapura, Abam Yaz dan Abang Bobb adalah 'abang-abang' yang disegani bakat nyanyian muda di Singapura. Sedang Abam Yaz memberi sentuhan kreatifnya pada foto promosi atau kulit 'single' serta klip video artis setempat, Abang Bobb pula gigih mencipta irama dan mengadun lagu buat anak seni setempat. Siapakah mereka? BERITA HARIAN melaporkan.



LENSA kamera Encik Yazit Yahya yang lebih mesra dengan panggilan Abam Yaz pernah merakam foto Papa Rok, Datuk Ramli Sarip dan band legenda Indonesia, Sheila on 7.



Beliau juga pernah memetik gambar bintang muda Malaysia, Khai Bahar, Hael Husaini dan Baby Shima.



Kalau disemak siapakah insan kreatif di sebalik videografi klip muzik sebilangan bakat Singapura, akan tertera nama syarikat milik Yaz, Yaz Media Production.



Tempat-tempat saujana mata memandang yang belum diteroka sebelum ini akan dicarinya sebagai lokasi klip video sehingga sekilas pandang, ceruk-ceruk sekitar Singapura kelihatan seperti tempat eksotik di luar negara.



Siapakah Yaz sebelum dikenali sebagai insan belakang tabir yang menyajikan foto dan video menawan artis Singapura sebagai tatapan?



Apakah pandangan bapa tiga anak perempuan berusia antara tujuh hingga 22 tahun ini tentang persada muzik Singapura yang turut menjadi sumbernya mencari rezeki?



Ikuti temu bual bersama Yaz, 50 tahun, yang sudah 23 tahun bergelar karyawan fotografi dan videografi yang disegani.



Soalan (S): Bilakah Yaz bermula dalam bidang fotografi dan videografi ini?



Yaz: Pada 1997, saya bekerja bersama saluran antarabangsa, BBC Singapore.



Dari situ, saya diajar dan dididik kru penerbitan dari Australia. Yang banyak mengajar saya dengan tekun adalah wartawan video Australia yang dikenali sebagai Jason.



S: Bilakah Yaz Media Production ditubuhkan dan berapakah tenaga kerja syarikat Yaz ini?



Yaz: Awalnya, saya membangunkan syarikat Yaz Photography pada 2006. Ia kemudian bertukar menjadi Yaz Media Production pada 2015.



Alhamdulillah, saya kini dibantu tujuh anggota kru sambilan. Kami memberi khidmat fotografi dan videografi buat pengantin, artis dan bagi tujuan komersial.



S: Pernahkah Yaz bertugas dalam sektor lain selain kreatif?



Yaz: Antara 2002 hingga 2006, saya bertugas sebagai eksekutif, mentor dan kaunselor Clubilya yang merupakan badan tidak mengaut untung dan mengendalikan program bagi pelajar berisiko.



S: Apakah projek yang diingati hingga ke hari ini?



Yaz: Saya bersyukur diberi peluang merakam foto baik video Datuk Ramli Sarip mahupun artis Malaysia dan Indonesia seperti Acong Sweetchild, Khai Bahar, Ella, Floor 88, Hael Husaini, Shukri Yahaya, Baby Shima, Sheila on 7 dan beberapa artis lain.



Namun, yang tidak boleh dilupakan adalah rakaman konsert Sheila on 7 di Kuala Lumpur.



S: Adakah Yaz terlibat dalam projek blog video atau vlog Datuk Ramli?



Yaz: Saya amat gembira dan berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada projek vlog Datuk Ramli. Aktivis seni, Encik Sabri Buang, bertindak sebagai penasihat bagi memastikan penerbitan vlog ini berjalan lancar.



Sebelum ini, saya pernah terlibat dalam projek Datuk Ramli, Konsert Doa Buat Kekasih dan konsert akustik.



Walaupun terkenal atau dipanggil legenda, mudah berurusan dengan Datuk Ramli. Beliau terbuka pada idea dan saranan orang lain.



S: Namakan tiga klip video paling berkesan atau mencabar buat Yaz dan kru kreatif lain.



Yaz: Tiga klip video yang berkesan di hati saya adalah video muzik Sweetchild di Tanjung Aru sekitar Kota Kinabalu, Sabah; penyanyi Jumali Sanotri dan Majesty (Hanafi Warren).



Saya akan buat kajian dahulu sejurus diberi papan cerita daripada artis. Kemudian saya akan tinjau lokasi sesuai bagi perfileman video klip berkenaan.



Saya juga pernah mengembara ke Thailand bagi rakaman klip video.



S: Siapa sumber inspirasi atau pembimbing Yaz dalam bidang fotografi dan videografi?



Yaz: Saya mengambil inspirasi daripada jurufoto dan juruvideo Jepun yang berpangkalan di Berlin, Jerman, Encik Yuto Yamada. Akaun Instagramnya boleh dilungsuri menerusi @tokio_kid



Saya juga mengikuti pesanan bapa saya agar jalankan tugas dengan penuh keikhlasan.



S: Dengan Covid-19, bagaimana Yaz dan teman-teman terjejas?



Yaz: Walaupun sektor perkahwinan dan hiburan terjejas teruk, Alhamdulillah, kami mendapat tugas dalam talian seperti penstriman langsung dan rakaman foto bagi katalog perniagaan dalam talian.



S: Aspek fotografi atau videografi bagaimana ingin Yaz mahirkan diri dalam masa beberapa bulan atau tahun mendatang?



Yaz: Saya ingin mahirkan diri dalam bidang suntingan animasi pada masa akan datang.



S: Apakah pengamatan Yaz tentang persada muzik Melayu Singapura kini?



Yaz: Kita miliki terlalu ramai bakat terpendam yang masih muda di Singapura. Mereka memerlukan wadah yang benar-benar dapat memaparkan bakat mereka.



Bakat Singapura ini juga tidak harus mudah berputus asa berkat sokongan keluarga dan teman karib mereka.



Saya juga berharap penyanyi muda kita ini akan berusaha mempelajari ilmu muzik asas daripada guru bertauliah bagi masa depan lebih cerah dalam perjalanan seni mereka.



Cipta lebih banyak lagu dan bersikap rendah hati untuk temui komposer dan penulis lirik yang boleh menghasilkan lagu lebih baik buat mereka.



Saya juga berharap dapat menonton lebih banyak video muzik bakat tempatan kita.




" Kita miliki terlalu ramai bakat terpendam yang masih muda di Singapura. Mereka memerlukan wadah yang benar-benar dapat memaparkan bakat mereka.



Bakat Singapura ini juga tidak harus mudah berputus asa berkat sokongan keluarga dan teman karib mereka.



Saya juga berharap penyanyi muda kita ini akan berusaha mempelajari ilmu muzik asas daripada guru bertauliah bagi masa depan lebih cerah dalam perjalanan seni mereka.



Cipta lebih banyak lagu dan bersikap rendah hati untuk temui komposer dan penulis lirik yang boleh menghasilkan lagu lebih baik buat mereka."
- Encik Yazit Yahya yang lebih mesra dengan panggilan Abam Yaz.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >