Topic followed successfully
Go to BHkuSentuhan realistik hasilkan cerita hantu
Sentuhan realistik hasilkan cerita hantu
Setiap anggota pasukan 'True Horror Stories POV' sumbang kemahiran dalam penerbitan filem, termasuk hasilkan skrip, suntingan, solekan dan lakonan
Sentuhan realistik hasilkan cerita hantu
KISAH seram berdasarkan pengalamannya sendiri.
Ternyata filem pendek sudut pandangan (POV) yang dihasilkan Cik Naqiah Ayub bersama anggota keluarganya dan rakan mendapat perhatian mereka yang mencari hiburan dalam talian semasa pandemik Covid-19 ini.
Cik Naqiah yang dikenali nama akaun Instagramnya sebagai @qryxtiianaqiah, sebelum ini mempunyai hanya sekitar 500 pengikut di wadah itu sahaja, namun setelah beliau mula menerbitkan filem itu sejak Jun lalu, bilangan pengikutnya kini melepasi 36,000 pengguna.
Menurutnya, filem tersebut, yang dirakam dan diterbit oleh pasukannya bernama 'True Horror Stories POV', dikatakan merupakan kisah benar yang pernah beliau mengalami dahulu.
"Dulu, sewaktu di politeknik, kita melepak sampai lewat malam atau pagi, tak ingat nak pulang ke rumah dan kadangkala mengalami gangguan apabila dalam perjalanan pulang dan sebagainya," kata beliau yang sudah berumah tangga.
Antara pengalamannya yang paling seram adalah waktu beliau berlari anak di kawasan Jurong, yang ternyata merupakan bekas tapak garisan pertahanan tentera Jepun sewaktu zaman perang dunia dahulu.
Pengalaman ini turut dipaparkan dalam episod keempat bertajuk 'Midnight Jog,' yang diterbitkan 30 Julai lalu.
Sewaktu Cik Naqiah sedang berlari, beliau menemui seorang lelaki yang memakai seragam askar yang melintas lalu.
"Tapi setelah beberapa saat kemudian, lelaki itu muncul lagi. Bahkan, apabila saya menegurnya, dia berbaris ke belakang menuju ke saya!" kata beliau.
"Saya pun melarikan diri ke rumah, tapi lembaga itu cuba mengikut saya pulang."
Dalam episod itu, penonton dapat menyaksikan lembaga berpakaian seragam askar itu mengikut Cik Naqiah - yang memegang kamera dari sudut pandangannya sendiri - hingga di depan halaman rumah.
Cik Naqiah berkata niatnya dalam menghasilkan video ini adalah untuk mengingatkan orang ramai pentingnya memperkuatkan iman dan mengelakkan diri daripada kegiatan yang bakal menyebabkan kejadian serupa itu.
"Ini semua kisah lama, tetapi setelah saya lebih mendalami agama, gangguan itu semakin berkurangan.
"Mungkin kisah seperti ini juga pernah dilalui orang lain atau diceritakan sebagai dongengan orang ramai. Saya berharap ia dapat memberi sedikit pendedahan atau ditonton sebagai hiburan," katanya lagi.
PROSES PENERBITAN
Meskipun kesemua ahli kumpulan 'True Horror Stories POV' itu mempunyai kerjaya masing-masing, mereka tetap meluangkan masa untuk menerbitkan video mereka secara kerap.
Pasukan itu dianggotai lagi lima individu, termasuk suami Cik Naqiah Ayub dan adik perempuannya.
Mereka turut menyumbang kemahiran masing-masing seperti penulisan skrip, rakaman, membuat solekan special effects, untuk mewujudkan watak hantu dan menyunting video dan audio bagi menampilkan pengalaman yang lebih seram.
Cik Naqiah merupakan penulis skrip setiap episod dan penyunting filem tersebut, di mana skrip setiap episod itu diambil daripada catatan diarinya sejak remaja dahulu.
Sebelum setiap episod dirakam, beliau akan memilih kisah di dalam diarinya itu dan mengemukakannya kepada teman-temannya yang lain.
"Mereka turut akan membuat rundingan, sama ada kisah yang dipilih itu seram atau tidak.
"Kemudian, menurut kemahiran masing-masing, mereka akan menawarkan idea untuk membuatnya lebih seram," kata Cik Naqiah.
Misalnya, adik beliau, Cik Nazirah Ayub, 22 tahun, seorang pereka dalaman pula merupakan artis solekan yang bertanggunjawab memberi penampilan seram adik ipar Cik Naqiah, pelakon dan penyanyi, Encik Akif Halqi Mohd Rashid, 24 tahun yang membawa watak hantu dalam kebanyakan episod.
"Saya tidak pernah membuat solekan sebelum ini. Namun saya seronok diberi peluang untuk melibatkan diri dalam filem-filem ini kerana setiap episod memerlukan idea yang baru!" kata Cik Nazirah.
Selain berlakon sebagai hantu, Encik Akif juga berperanan sebagai jurutera audio bagi kesemua filem itu.
Encik Akif berkata bagi setiap episod, beliau harus membayangkan gerak geri jenis hantu yang ingin ditampilkan itu.
"Jadi gerak gerinya, bagaimana ia jalan dan sebagainya harus menunjukkan sesuatu yang tidak menyerupai manusia langsung," katanya lagi.
Selain mereka, dua teman iaitu Encik Mohammad Sharizal Selamat, 31 tahun, penolong pengurus stesen SMRT, melibatkan diri sewaktu rakaman sebagai jurukamera di sebalik tabir, sementara Cik Norhudah Mohamed Noor, 30 tahun, yang bertugas sebagai kakitangan pentadbiran dan logistik menyertai proses rakaman ini membantu dalam menguruskan barang yang diperlukan untuk rakaman.
Suami Cik Naqiah, Encik Aidil Ashrad Mohd Rashid, 36 tahun, seorang jurutera IT, juga turut sertai projek ini sebagai pengurus set dan pelakon dalam beberapa episod.
Ketika ditanya sama ada beliau prihatin terhadap penglibatan isterinya sebagai pemimpin projek ini, beliau berkata:
"Saya sebenarnya amat bangga terhadap Naqiah kerana bersungguh-sungguh menjayakan episod-episod ini dan saya juga berpendapat bahawa ia dapat memberi pengajaran yang penting buat penonton."
RANCANGAN MASA DEPAN
Dengan bilangan pengikut meningkat mendadak sejak kebelakangan ini, kumpulan 'True Horror Stories POV' merancang untuk membina saluran YouTube mereka agar ia dikenali dengan lebih rasmi.
Cik Naqiah berkata jika beliau berjaya mendapatkan lebih sokongan dan rezeki untuk membentuk saluran ini, beliau turut akan mengeratkan lagi pendekatan pemasarannya.
"Selain video-video POV pendek ini kami juga ada rancangan untuk menerbitkan sebuah filem jika ada peluang dan rezeki.
"Kami lihat buku True Singapore Ghost Stories oleh Russell Lee sebagai inspirasi kami dan kami mempunyai impian untuk menghasilkan jenama penerbitan video dan filem seram setempat yang sekerap itu," ujar Cik Naqiah lagi.
"Ini semua kisah lama, tetapi setelah saya lebih mendalami agama, gangguan itu semakin berkurangan. Mungkin kisah seperti ini juga pernah dilalui orang lain atau diceritakan sebagai dongengan orang ramai. Saya berharap ia dapat memberi sedikit pendedahan atau ditonton sebagai hiburan." - Cik Naqiah Ayub yang berkata filem pendek yang dihasilkan adalah berdasarkan pengalamannya sendiri.


