Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serasi dengan Roy, Jamal Abdillah, macam abang sendiri

Dec 22, 2024 | 5:30 AM
Datuk Francissca Peter (kanan) hanya menganggap rakan duetnya dahulu, Royston Sta Maria, seperti abang, sehingga mudah bekerjasama dan tidak bermasam muka berpanjangan kalau wujud perselisihan faham atau pertengkaran kecil.
Datuk Francissca Peter (kanan) hanya menganggap rakan duetnya dahulu, Royston Sta Maria, seperti abang, sehingga mudah bekerjasama dan tidak bermasam muka berpanjangan kalau wujud perselisihan faham atau pertengkaran kecil. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

Hingga ke hari ini, peminat lagu cinta pasangan duet Malaysia, Roy & Fran, tidak henti-henti mengusik mereka bahkan mengharapkan kededuanya mempunyai jalinan cinta.

“Jangan katakan dahulu, sampai kami dah tua pun, mereka tak berhenti berharap dan tetap nak usik-usik seakan-akan Roy dan saya memang bercinta.

“Tapi tak adalah. Ia tak pernah terjadi dan tak akan berlaku. Sebab saya dan Roy dah macam adik-beradik. Dia dah saya anggap seperti abang saya, sama macam awal-awal kami berpadu suara dahulu,” jelas Datuk Francissca Peter, ketika dihubungi Berita Minggu (BM), pada 12 Disember lalu menerusi Zoom.

Menurut Francissca, 63 tahun, yang membahasakan dirinya kepada penulis sebagai Kak Fran, beliau dan Roy, atau nama sebenarnya, Royston Sta Maria, 73 tahun, masih mengekalkan persahabatan mereka.

Roy sudah bermastautin di Australia sejak 1990 tetapi kembali ke Malaysia sebagai menerima undangan menjayakan ‘gig’ teman-temannya, acara amal mahupun konsert Fran, Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter di Istana Budaya pada 2011.

Lagu-lagu yang mereka dendangkan dalam dua album terbitan label rakaman EMI, Siapa Dia Sebelum Daku (1982) dan Bersama Pertemuan Ini (1983) mengandungi banyak lagu hit termasuk Siapa Dia Sebelum Daku, Tak Kenal Maka Tak Cinta, Akukah Terlewat dan Bersama Pertemuan Ini.

Siapa Dia Sebelum Daku, bahkan sudah distrim sebanyak 582,000 kali di wadah penstriman Spotify.

Mengulas tentang keserasian antara mereka, Fran berkata: “Kami berdua memang suka menyanyi dari bangku sekolah. Saya rasa lebih mudah apabila kita dah macam adik-beradik. Kalau bertengkar dan berselisih faham pun, sekejap sahaja. Tak berlarutan.

“Tak ada emosi yang bertaut sampai susah nak maafkan atau sulit nak bekerjasama. Beza bukan kalau kita sepasang kekasih?

“Orang bercinta yang bekerjasama, kalau dah bergaduh, nanti macam-macam... dah tak boleh nak nyanyi bersama. Rasa sensitif dan terkesan ‘tu lebih. Lantas, susah nak ‘move on’.

“Saya dan Roy pula ibarat Donny & Marie Osmond versi Malaysia. Kita boleh seiring jalan dan tidak berkecil hati antara satu sama lain.”

Menurutnya, Datuk Sudirman Haji Arshad, yang menyaksikan persembahan mereka di hotel membuat pilihan tepat sewaktu membincangkan strategi pemasaran yang wajar dengan pihak atasan EMI.

Akhirnya, EMI mengambil Roy & Fran sebagai duo kerana tidak ramai artis rakaman ketika itu tampil berdua.

“Pada masa itu, kita ada Datuk Hail Amir dan Uji Rashid. Mereka artis solo yang disatukan dengan lagu duet mereka menjadi.

“Ada Datuk M. Nasir dan Yunizar Hussein. Mereka pun merupakan artis solo tapi bergabung untuk beberapa lagu duet. Tapi saya dan Roy seperti 2-dalam-1. Memang tiada konsep duo lelaki dan perempuan dengan semua lagu duet dalam album,” kongsi Fran.

Menyentuh tentang gandingannya bagi lagu Kehebatan Cinta, Datuk Jamal Abdillah, 65 tahun, Fran berkata tokoh seni yang disegani itu memang ‘chill’ dan ‘cool’.

Kehebatan Cinta yang dicipta Allahyarham Jay Jay dengan lirik tulisan wartawan hiburan, Allahyarham Juwie, bahkan mempunyai jumlah penstriman yang banyak, mencecah lebih 2.4 juta kali.

“Datuk Jamal artis paling ‘cool’ dan ‘chill’. Kami pun dah macam adik-beradik. Saya hormati beliau dan gembira kerana dapat menyanyi bersama dalam dua acara di Singapura, persembahan amal di televisyen serta Konsert Seniman Berjasa di The Star Theatre.

“Biasalah, peminat nak ‘kenen-kenenkan’ kami selepas lagu duet tu ‘meletup’. Tapi beliau hanya saya anggap sahabat seni dan macam abang juga. Isterinya, Datin Zai Izzati, pun ramah dan baik hati. Semasa di Singapura, kami semua sambut ulang tahun Datuk Jamal,” tambah Fran.

Laporan berkaitan
Duet 'meletup'Jul 24, 2024 | 9:51 AM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg