Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shah Rukh tidak paksa anak ikut jejak ceburi filem

Dec 27, 2023 | 2:38 PM
BEBAS BUAT PILIHAN: Shah Rukh Khan (dua dari kanan) dan isterinya, Gauri Khan (kanan) tidak memaksa anak-anaknya menyertai dunia filem tetapi bangga Suhana (kiri) dan Aryan (dua dari kiri) senangi kerjaya filem kerana minat. Bersama mereka ialah anak bongsu Shah Rukh, AbRam.
BEBAS BUAT PILIHAN: Shah Rukh Khan (dua dari kanan) dan isterinya, Gauri Khan (kanan) tidak memaksa anak-anaknya menyertai dunia filem tetapi bangga Suhana (kiri) dan Aryan (dua dari kiri) senangi kerjaya filem kerana minat. Bersama mereka ialah anak bongsu Shah Rukh, AbRam. - Foto INSTAGRAM SHAH RUKH KHAN

Raja Bollywood, Shah Rukh Khan, yang mencipta sejarah pada 2023 dengan tiga filem pecah panggung, Pathaan, Jawan dan Dunki, berkongsi tentang tekanan yang melanda dirinya sejak akhir-akhir ini apabila dua anaknya, Suhana Khan dan Aryan Khan, menyertai persada filem Bollywood.

Dalam satu wawancara bersama laman web, MBC Bollywood, Shah Rukh, 58 tahun, menjelaskan beliau dan isterinya Gauri Khan, 53 tahun, tidak pernah memaksa anak-anak mereka untuk mengikut jejak langkah mereka sebagai karyawan filem.

Mereka malahan memberi Suhana, 23 tahun, dan Aryan, 26 tahun, kebebasan memilih kerjaya idaman.

“Sebenarnya, pening kepala dan tekanan saya bertambah apabila Suhana dan Aryan menyertai dunia filem.

“Pastinya akan ada hari yang kami tunggu dengan penuh debaran seperti setiap Jumaat apabila kutipan ‘box-office’ filem didedahkan. Risau juga bercampur teruja.

“Anak-anak saya berusia 20-an tahun kini. Mereka pastinya sudah melihat kehidupan saya selama 10 hingga 12 tahun sebagai pelakon dan melalui pengalaman peribadi mereka sendiri melihat gejolak emosi saya.

“Ada masanya saya akan memberi reaksi saya sebagai seorang pelakon atau bintang filem tetapi mereka mungkin terlalu kecil untuk memahami kerisauan saya.

“Tapi mereka selalu ada di sisi, memberikan ketenangan atau meraikan kejayaan saya tanpa menyedari kepentingan sesuatu peristiwa pada kerjaya saya,” cerita Shah Rukh.

Menurutnya, sebagai pelakon, lebih banyak masa dihabiskan bersendiri di bilik pemproses filem yang gelap tetapi mempunyai set pencahayaan yang cantik.

Pulang ke rumah, segalanya tentang kerja dilupakan.

Beliau dan Gauri, bagaimanapun, gembira anak-anak mereka menyertai dunia filem.

“Saya gembira mereka memilih dunia filem. Saya dan isteri tidak pernah memaksa mereka. Mereka bebas buat apa yang mereka suka.

“Anak perempuan saya pilih bidang lakonan. Filemnya pun dah ditayangkan. Anak lelaki nak jadi pengarah dan dia masih mengusahakannya.

“Memandangkan mereka sudah menjadi karyawan filem, mereka tentunya akan lebih bersimpati dengan saya dan memahami tempoh 10 hingga 12 tahun di mana bapa mereka bertungkus lumus demi filem.

“Harap-harap mereka memahami dan berihsan dengan saya kini. Mungkin mereka rasa saya terlalu fikirkan perkara yang remeh-temeh dan sebenarnya seronok untuk berlakon filem.

“Saya doakan terbaik untuk mereka. Saya harap mereka akan bekerja keras,” tambah Shah Rukh.

Suhana sudah pun menjayakan filem penstriman Netflix, The Archies, manakala Aryan kini sedang mengarah siri web pertamanya, Stardom.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg