Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

DUNIA HOLLYWOOD

'Shang-Chi' rai identiti, semangat wira Asia

Set filem ibarat perkampungan bakat Cina yang menyerantau ke dunia Hollywood
Sep 01, 2021 | 05:30 AM



Dunia adiwira Marvel kini lebih menekankan kerencaman kaum persis alam realiti di samping berusaha mewujudkan keharmonian dengan setiap bangsa berhak memiliki wiranya sendiri. Apakah daya tarikan yang cuba dipaparkan dalam filem terkininya, "Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings" yang dijayakan barisan bintang Cina handalan dari pelbagai negara? Apakah perasaan seorang bakat baru apabila dipilih sebagai adiwira Muslim pertama Marvel dalam siri televisyen Disney+, "Ms. Marvel"? BERITA HARIAN melaporkan.




APABILA mendiang Chadwick Boseman muncul di layar perak sebagai T'Challa atau Black Panther, adiwira kulit hitam pertama dalam Dunia Sinematik Marvel (MCU) tiga tahun lalu, ia merupakan satu pencapaian buat Hollywood.



Maklumlah, sebelum ini, adiwiranya daripada Spider-Man, Iron Man, Captain America, Hulk dan Wolverine terdiri daripada pelakon kulit putih sahaja.



Apabila dunia mula sibuk membincangkan perihal perkauman dan hak minoriti, kian banyak filem yang mengetengahkan isu kesaksamaan kaum sama ada secara terbuka atau sebagai sisipan bahan hiburan untuk direnungkan bersama.



Filem terkini Marvel, "Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings", yang kini ditayangkan di pawagam serata Singapura, pula menampilkan barisan pelakon minoriti keturunan Cina dari merata dunia.



Mereka bukan calang-calang bahkan ada yang merupakan nama besar yang menembusi pasaran Hollywood kerana budaya kerja mereka yang gigih dan tidak mengenal erti putus asa.



Pelakon Canada, Simu Liu, 32 tahun, yang dilahirkan di Harbin, China, dan berhijrah ke Canada pada usia lima tahun, adalah pemegang watak utama, Shang-Chi.



Dalam filem ini, Liu yang mula mencipta nama sebagai Jung Kim dalam drama sitkom Kim's Convenience, adalah Shang-Chi, pakar seni mempertahankan diri yang dilatih pada usia muda bagi menjadi pembunuh upahan oleh bapanya Wenwu.



Namun, Shang-Chi meninggalkan pertubuhan Ten Rings untuk menjalani hidup sebagai warga biasa di San Francisco.



Pengarah Destin Daneil Cretton mengibaratkan watak Shang-Chi ini seperti seekor ikan yang baru keluar dari lautan di Amerika dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya selepas itu.



Dia harus meluputkan karismanya sebagai pakar seni mempertahankan diri sambil mencari dirinya yang baru.



Shang-Chi mengubah namanya menjadi Shaun. Cretton malah menyamakan watak Shang-Chi dengan watak Will dari filem "Good Will Hunting" yang menampakkan kelelakiannya tetapi pada masa yang sama begitu terdedah pada segala bahaya dunia sebenar.



"Mereka berdua menyimpan rahsia dan kuasa luar biasa yang tidak difahami.



"Ini ialah filem tentang perjalanan seseorang dalam mencari siapa dirinya yang sebenar sambil meneroka fungsinya dalam dunia," jelas Cretton lagi dalam satu rencana Entertainment Weekly.



Apa yang menarik bagi penulis adalah watak Shang-Chi sebagai adiwira yang tidak menggunakan topeng dan seragam seperti Spider-Man dan Iron Man atau bertukar wajah dan warna kulit seperti Hulk.



Liu ketika diwawancara Men's Health turut menganggap filem ini lebih mengupas pergelutan watak Shang-Chi dalam mengenali identiti dirinya lebih daripada memaparkan kemahiran seni mempertahankan dirinya.



"Memandangkan watak Shang-Chi tidak menggunakan topeng, kebanyakan aksi dalam filem ini saya lakukan sendiri. Saya tidak bergantung pada pelakon aksi nekad atau stuntman.



"Sebelum masuk set, saya sudah mula mempersiapkan diri saya dan memastikan kelenturan tubuh saya. Saya turut menaikkan berat badan saya sebanyak 4.5 kilogram bagi peranan ini," jelasnya.



Liu juga bersedia menggalas amanah besar sebagai adiwira keturunan Asia pertama dalam MCU.



Dalam laporan NBC News, beliau mengimbas sejarah watak Shang-Chi yang diperkenalkan penulis Steve Eagleheart dan pelukis Jim Starlin pada Disember 1973 bagi merencamkan lagi dunia komik Marvel.



Ketika itu, kekata 'warga Asia Amerika' yang digunakan bagi warga penghijrah Cina yang membina hidup baru di Amerika ba-nyak digunakan.



Liu akur generasi ibu bapanya bekerja keras apabila mengambil keputusan besar berhijrah dari Cina ke Canada atau Amerika.



"Cuma seberapa boleh saya berharap filem "Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings" ini tidak setakat memaparkan watak Asia sebagai pakar kung fu semata seperti dalam tahun 1970-an.



"Marvel Studios mengambil keputusan memberikan suara watak Asia dalam filem ini. Kita boleh meraikan kesungguhan orang Asia dalam mencipta kejayaan di samping memaparkan keindahan seni mempertahankan diri," tambahnya.



Pelakon kebanggaan Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, juga nama besar dalam filem ini.



Dia adalah Ying Nan, pengasuh watak Ta Lo dan ibu saudara Shang-Chi.



Sebelum ini, dia pernah terlibat dalam filem Marvel, "Guardians of the Galaxy Vol. 2", sebagai Aleta Ogord.



Kata Yeoh, 59 tahun, dalam rencana laman Collider:



"Watak-watak lain dalam filem ini datang kepada Ying Nan untuk belajar cara melindungi sejarah dan dunia serta sekitaran sekeliling daripada raksasa atau kuasa jahat.



"Kami sangat gembira akhirnya orang Asia memiliki adiwira Asia pertama dalam filem Marvel.



"Bukan Shang-Chi sahaja heronya. Ada wira dan wirawati lain di sekelilingnya dan saya pengasuh mereka dalam sebuah kota mitos.



"Mereka adalah orang muda yang harus pandai melindungi sejarah dan dunia sekeliling daripada luput.



"Ini suatu keajaiban, ini suatu realiti. Banyak perkara berlaku di set penggambaran yang sangat menyeronokkan."



Filem bertemakan teras keamanan, sumbangan kaum minoriti, budaya kerja keras dan tidak mengenal putus asa ini turut dibintangi bintang Hong Kong, Tony Leung, 59 tahun.



Dia adalah Wenwu, bapa Shang-Chi dan ketua Ten Rings. Wataknya menggantikan watak asal dalam komik, Fu Manchu, yang dikatakan tidak sesuai ditampilkan kerana menimbulkan masalah stereotaip perkauman yang tidak sejajar dengan prinsip Marvel kini.



Leung, dalam rencana Observer pula menjelaskan bahawa dirinya enggan watak Wenwu dilihat sebagai penjahat walaupun banyak keputusan yang dibuat membinasakan dunia dan keluarganya.



"Saya menghidupkan watak ini sebagai lelaki yang ada sejarah hitam dalam hidupnya yang membuatnya jadi seorang yang hanya merasakan dirinya sahaja yang betul dan pentingkan diri sendiri.



"Apa yang boleh saya rumuskan ialah Wenwu mendahagakan kasih sayang. Dia jadi seorang yang taksub dengan kuasa kerana kurang kasih sayang," tambahnya.



Yang nyata, setelah menonton filem ini, anda mungkin rasa ia dekat di hati kerana filem hati menyelongkar identiti warga Asia yang masih berpegang pada tradisi dan nilai keluarga, tidak sukakan jalan pintas dan sedia bekerja keras serta berpegang pada sejarah dan mencari jalan damai.



Filem ini ibarat kampung bakat Asia yang turut menyatukan pelawak dan rapper Awkwafina, jelitawan Fala Chen dan pelakon cilik Jayden Zhang Tianyi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >