BIASANYA anda perlu membayar harga tiket yang agak tinggi untuk menonton konsert Dato' Sheila Majid - antara $48 dengan $158 - berdasarkan persembahan beliau di Dewan Konsert Esplanade, My Inspiration, My Love, My Legacy, tidak lama dulu.
Tetapi sejak beberapa hari lalu, ribuan peminat ratu jazz dari seluruh dunia mendapati mereka bersiap sedia untuk menonton konsert Sheila di wadah IG Story di Instagram, sebaik saja mendapat notifikasi bahawa penyanyi itu akan membuat kemunculan di alam maya.
Tak perlu beli tiket atau buat sebarang pembayaran dan tidak perlu keluar rumah. Anda hanya perlu ke IG Story akaun @missmajid untuk menikmati gig tersebut.
'Konsert' beliau bermula sekitar 10 malam selama beberapa hari berturut-turut minggu lalu.
Sheila, 55 tahun, yang muncul dengan pakaian biasa tanpa solekan, menggunakan mikrofon, mempersembahkan beberapa lagu popularnya antaranya seperti Ku Mohon, Antara Anyer dan Jakarta, Sinaran dan sebagainya secara live dengan iringan keyboard yang dimainkan suaminya Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau lebih dikenali sebagai Acis.
Bukan sekali, tetapi sudah beberapa kali Sheila mengadakan 'temu janji' dengan peminatnya untuk bersedia dengan konsert alam maya.
Beliau merupakan antara ramai penyanyi popular yang menggunakan wadah media sosial untuk mengadakan 'gig' dalam usaha menghiburkan orang ramai dalam tempoh sukar masyarakat memerangi pandemik Covid-19.
Beberapa artis Malaysia lain dan artis Singapura dan Hollywood turut mengatur persembahan masing-masing dalam tempoh yang agak panjang - ada yang mencapai lebih setengah jam.
Persis gaya persembahannya di pentas Esplanade, Sheila tetap petah bercakap, sambil menyampaikan pesanan agar orang ramai mengambil langkah-langkah keselamatan dan mengikuti arahan di samping terus kuatkan semangat.
"Saya faham ramai yang resah kerana perlu duduk di rumah... tetapi dalam masa-masa begini, kerjasama semua dan pengorbanan kita sangat diperlukan," kata Sheila dalam selang seli persembahan.
"Mari kita kuatkan semangat mengharungi masa-masa sukar ini secara positif," ujarnya sebelum mempersembahkan lagu Ku Mohon yang berunsur doa.
Acis yang turut muncul dalam bingkai IG Story itu turut membuat beberapa ulasan berdasarkan pemerhatiannya akan komen-komen para peminat yang dikirim secara live.
Kata Acis ada penonton dari sejauh Belanda, United Kingdom selain Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Di Singapura, antara penyanyi yang turut membuat kemunculan dengan 'konsert' beberapa kali di media sosial ialah Rudy Djoharnaen di Facebook (FB).
Kalau Sheila memilih sebelah malam, Rudy pula menyajikan santapan hiburan petang, kira-kira 4 petang.
Menerusi akaunnya, Rudy Djoe, dengan memegang poster yang ditulis #postive, #smile, #notocovid #sgunited, Rudy yang memang dikenali cukup versatil membawa pelbagai genre lagu yang mempunyai "jiwa orang lama", menghiburkan peminatnya dengan lagu-lagu malar segar menggunakan minus-one.
Antaranya seperti What A Wonderful World (Louis Amstrong), Born Free (Matt Monro), Keroncong Untuk Ana (M. Nasir), Dari Hati Ke Hati (Rafeah Buang/ R. Ismail) dan banyak lagi.
"Kita berusaha dan berdoa untuk mengatasi masalah ini. Mari kita lakukan bersama-sama. Tugas menentang Covid-19 ni bukan tugas pemerintah saja tetapi tanggungjawab kita bersama," kata Rudy.
Seorang lagi penyanyi Singapura, Nana Karia, turut dilihat sudah membuat beberapa kemunculan untuk menghiburkan peminatnya di Facebook pada hujung minggu.
Penyanyi popular Malaysia, Khair Bahar, pula memuat naik klip-klip Smule dari masa ke masa untuk terus berinteraksi dengan peminatnya.
Sementara itu penyanyi Amerika, Mariah Carey, Billie Eilish dan Tim McGraw telah menerajui konsert amal untuk mengumpul dana bagi menentang koronavirus, menurut stesen TV, Fox.
Rancangan khas sejam yang diberi tajuk iHeart Living Room Concert For America yang dihoskan penulis dan penggubah lagu Elton John disiarkan di saluran Fox dan stesen radio dalam usaha menggunakan pengaruh selebriti untuk misi kemanusiaan ini.
Ia antara lain turut memuatkan persembahan oleh Alicia Keys, Backstreet Boys dan Billie Joe Armstrong. Semua pemuzik telah merakamkan persembahan mereka dari rumah masing-masing menggunakan telefon bimbit dan peralatan lain.
Konsert itu juga memberi penghormatan kepada wira-wira barisan hadapan - pekerja kesihatan yang bekerja keras merawat pesakit Covid- 19.
Ia turut menggalak orang ramai membuat derma kepada dua badan - Feeding America dan First Responders Children's Foundation.
"Saya faham ramai yang resah kerana perlu duduk di rumah... tetapi dalam masa-masa begini, kerjasama semua dan pengorbanan kita sangat diperlukan. Mari kita kuatkan semangat mengharungi masa-masa sukar ini secara positif." - Sheila Majid, yang selang-selikan antara lagu dengan kata-kata semangat semasa 'gig'-nya itu di alam maya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg