Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sheila Majid enggan peminat bosan, terdorong beri kelainan dalam konsert

Oct 01, 2023 | 05:32 AM



Ramai yang bertanya apakah rahsia kejayaan dan daya tahan Ratu Jaz Malaysia, Datuk Sheila Majid, dalam industri muzik Nusantara? Apakah formula yang membuatkan lagu-lagunya seperti Sinaran, Lagenda, Dia dan Warna kekal diminati hingga hari ini?


Jawapan Sheila mudah sahaja: “Tiada rahsia. Semuanya ada dalam hati. Kalau menyanyi ini memang nyala rasa saya, kejujuran dan keikhlasan akan datang dengan sendiri. Kita pun harus bertanggungjawab dan amanah dengan kerja kita.

“Orang bayar duit untuk tonton konsert kita. Orang simpan duit untuk beli tiket konsert kita. Takkan kita nak bikin ala kadar sahaja? Takkan nak tonjolkan sikap ‘tidak apa’... takkan nak buat biasa-biasa. Kita pun tak perlu pecah kepala nak fikirkan perlu pakai busana bersayap atau yang nampak gah tetapi hakikatnya, orang tak ‘enjoy’ dengan persembahan kita.

“Tak guna keluar duit bagi dapatkan prop dan sistem yang mahal tetapi suara kita entah ke mana. Semua ini adalah faktor yang saya ambil kira. Bagi saya, ketulusan dan kejujuran serta adab dan etika kerja yang paling utama. Saya harus bertanggungjawab kepada peminat dan penonton apabila nak bikin sesuatu projek untuk mereka. Mereka bayar dan bukannya datang percuma. Kita harus berikan mereka sesuatu yang mereka puas untuk bawa pulang sebagai kenangan pada malam itu.”

Sheila, 58 tahun, dihubungi Berita Minggu, dalam satu wawancara Zoom di ambang konsert anjuran Offshore Entertainment, Sheila Majid Big Band Live In Singapore 2023, di Teater The Star pada 8 malam, 20 Oktober ini.


Menurutnya, setelah memilih lagu untuk didendangkan bagi konsert itu agar ia berlainan daripada konsert di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, beliau akan mengadakan latihan kecergasan lebih intensif dan berlatih dengan band besarnya mulai Oktober (bulan ini).

“Bagi saya, yang paling penting adalah orang gembira dan berwajah ceria sebab mereka dapat menyanyi bersama saya. Saya akan rasa kerja saya beres apabila melihat ‘mood’ ceria sebegitu. Orang datang nak dengar muzik bukan nak tengok baju kita ‘wow’ atau bagaimana. Kalau kita membosankan mereka dan hanya tayang busana kita pun, tak boleh juga. Itu prinsip peribadi saya.

“Saya memasarkan dan menjual muzik saya. Itulah kepuasan saya melihat wajah peminat yang gembira,” tambahnya yang bersenam bukan setiap hari tetapi secara konsisten sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menguatkan daya tenaganya memandangkan usia yang kian meningkat dan akur lumrahnya cepat lemah dan penat.

“Kalau tak kuatkan badan, saya kuatkan suara. Kalau saya tak cergas, saya tak dapat beri yang terbaik buat mereka yang bayar duit untuk tonton saya. Sebab itu saya katakan, saya tiada rahsia untuk bertahan selama ini dalam kerjaya seni. Saya kerja keras, beri yang terbaik dan berserah pada Allah.

“Niat di dalam hati bagaimana... kejujuran dan keikhlasan akan datang sendiri kalau kita bertekad nak capai kecemerlangan. Tak boleh ada rasa ‘tidak apa’. Allah tahu umatnya yang kerja keras dan yang hanya biarkan takdir menentukan nasibnya. Kalau kita suka kerja kita, kita akan mendalaminya dan beri yang terbaik. Mana kita boleh kawal, kita usahakan. Kalau tidak serahkan pada rezeki, takdir dan ketentuan Allah selepas kita bekerja keras dan sudah mencuba segalanya,” ujar ibu empat anak ini.

Sheila mengingati tempoh mudanya membina nama dengan ada yang kurang senang dengan tindak-tanduknya yang pentingkan profesionalisme. Ada juga artis veteran lebih senior yang berasakan Sheila ini berbeza daripada artis muda lain bahkan mengandaikan dirinya ‘mengada-ngada’ apabila membangunkan pasukan sendiri dengan seorang pengurus yang mengendalikan aktivitinya.

“Bukan apa. Saya nak fokus pada nyanyian saya dan kerja bikin lagu. Kalau serba-serbi dari dandanan, urusan dengan media dan hal penerbitan nak saya buat sendiri, saya tak mampu. Ada yang anggap saya ni nak menjauhkan diri atau mengada-ngada sebab minta pengurus berurusan dengan sesiapa sahaja yang ingin berkomunikasi atau bekerjasama dengan saya.

“Sebenarnya, saya tidak berniat nak bina batu pemisah dengan orang lain. Saya hanya ingin dapatkan fokus bagi saya teruskan kerjaya saya dan melangkah setapak ke depan. Orang nak boikot saya pada ketika itu, tak mengapa. Apabila lagu Sinaran memecah pasaran Indonesia dan Jepun, orang tak dapat nak kata apa.


“Media yang dahulunya anggap saya semacam, mereka ditugaskan untuk mewawancara saya tentang pencapaian peribadi itu. Dari situ, saya pun tak pandang ke belakang. Saya mahukan ‘vibes’ positif yang akan sentiasa buat saya bersemangat usahakan sesuatu yang lebih baik. Alhamdulillah, sampailah ke hari ini,” jelasnya.

Sheila juga berasakan tidak perlulah untuknya terkejar-kejar bikin lagu baru kini kerana yang sering diminta dan mendapat sambutan adalah lagu-lagu lamanya yang sudah menjelajah dunia.

“Orang masih nak lagu Sinaran, Lagenda, Antara Anyer dan Jakarta. Saya bikin album baru Boneka. Orang tak nak dengar pula. Lagi pun, dulu kita bergerak dengan label. Apabila buat lagu baru, semua perlu kita biaya sendiri atau cari penaja. Akhirnya, orang minta nak dengar lagu lama kita juga,” ceritanya.


Banyak pergolakan dunia seni kini dilihat Sheila dengan penuh keprihatinan. Beliau peka soal penampilan pempengaruh Melayu khususnya wanita yang terlibat dalam penjualan produk berbaur seks tanpa memikirkan impaknya sedangkan mereka berpenampilan Muslimah.

“Saya rasa tak manislah kalau mereka keluarkan kata-kata yang boleh kedengaran lucah dan tak sesuai dengan imej mereka. Apa-apa pun, kita orang Melayu dan orang Islam. Kita harus pandai jaga diri, beradab dan beretika. Jangan sampai mencalar maruah diri, agama dan bangsa kita semudah itu demi bisnes atau populariti,” ujarnya dengan nada prihatin.

Dalam menembusi pasaran Indonesia, Sheila menjadi dirinya sendiri dan akur negara itu mempunyai bakat yang ramai. Ketika lagu-lagunya memasuki pasaran Indonesia, ada yang menyangka beliau berhijrah ke luar negara sebelum balik ke Indonesia.

“Saya pentingkan adab di negara orang. Apabila di rantauan, hemah kita seperti di negara sendiri, usah diperlekehkan. Orang akan hormat kita apabila kita hormati diri kita dan mereka juga,” ujar Sheila.

Nota: Tiket konsert ‘Sheila Majid Big Band Live In Singapore 2023’ berharga $88 hingga $298 boleh ditempah di laman, kaunter dan talian Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >