KUALA LUMPUR: Penyanyi Shiha Zikir mengumumkan penutupan operasi restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di cawangan Seksyen 7, Shah Alam, berkuat kuasa 15 Disember.
Pengumuman itu dibuat hos Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 itu menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Kepada semua pencinta Shiha Zikir Nasi Ayam, dengan hati yang berat saya ingin memaklumkan bahawa restoran @shihazikirnasiayam cawangan Seksyen 7, Shah Alam telah menamatkan operasi bermula 15 Disember 2025.
“Jangan risau, cawangan di Wisma Infinitum, Kampung Baru, Kuala Lumpur, masih beroperasi seperti biasa dan sentiasa menanti kehadiran anda semua,” tulisnya.
Shiha, 38 tahun, berkata keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dibuat, namun percaya ia langkah terbaik buat masa ini.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pelanggan yang menyokong kami sepanjang hampir dua tahun di Seksyen 7, Shah Alam.
“Setiap sokongan, setiap kunjungan dan setiap doa amat saya hargai dari hati.
“Kalau rindu, jemputlah datang ke Shiha Zikir Nasi Ayam cawangan Kampung Baru,” tulisnya lagi.
Penyanyi lagu Aewo itu memulakan perniagaan nasi ayam pada pertengahan Mac 2023 di Kampung Baru, sebelum membuka cawangan kedua di Shah Alam pada Mac 2024.
Shiha menceburi bidang perniagaan makanan kerana minat terhadap nasi ayam Hainan, dengan mengetengahkan konsep makanan Cina Muslim menerusi pelbagai menu yang ditawarkan kepada pelanggan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg