Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shuk Sahar kembali atur langkah demi masa depan lebih baik

Jul 22, 2024 | 2:28 PM
Pengalaman silam buat mantan penyampai radio, Hot FM dari seberang, Shuk Sahar, lebih belajar menghargai apa yang dikurniakan kepadanya.
Pengalaman silam buat mantan penyampai radio, Hot FM dari seberang, Shuk Sahar, lebih belajar menghargai apa yang dikurniakan kepadanya. - Foto NSTP

Mantan penyampai radio, Shuk Sahar, 38 tahun, mengakui kehidupannya kini stabil dan bertambah baik selepas diuji dengan kontroversi rumah tangga dipercayai melibatkan orang ketiga.

Shuk, atau nama sebenarnya, Mohamad Shukri Mohamed Sahar, berkata beliau tidak menyalahkan takdir yang tertulis, meskipun berdepan tempoh sukar.

Sebaliknya, Shuk menyifatkan ujian itu membuatkannya lebih menghargai apa yang dimiliki sekarang.

“Kehidupan sekarang kembali stabil, boleh kata Allah beri peluang kedua kepada saya menjadi suami dan menjadi bapa. Apa pun yang terjadi, saya tak pernah lupa (saya) mempunyai anak-anak.

“Saya juga masih ada emak dan ayah. Alhamdulillah, sekarang saya mampu kembali menjalani kehidupan lebih baik.

“Tiada berharap, berhutang atau meraih simpati orang.

“Pernah suatu ketika, saya buat ‘live’ di TikTok untuk menagih ‘gift’, begitulah saya melalui zaman sukar.

“Jadi, saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang, tapi tidaklah terlalu selesa macam dulu. Saya akan jaga apa yang ada sekarang,” kata Shuk dalam wawancara bersama Berita Harian Malaysia.

Mantan penyampai radio, Hot FM itu berkata banyak perkara yang hilang ketika dirinya diuji dan mendapat gantian semula.

“Apa yang boleh saya katakan, benda hilang itu digantikan dengan apa yang saya ada sekarang. Ia membuatkan saya belajar untuk menjaga apa yang Allah beri.

“Dulu semasa berada di atas, saya terlalu leka dengan benda yang saya anggap lebih penting.

“Lalai adalah salah satu sebab utama. Tapi, apa yang menguatkan diri saya apabila fikir tiada orang baik yang tidak mempunyai kisah silam dan tiada orang jahat yang tiada masa depan.

“Saya terhutang budi dengan podcast OKLETSGO di Singapura. Sejak itu, orang terima saya semula.

“Tapi, kalau saya nak berjanji tidak buat perangai macam dulu lagi seolah-olah meletakkan harapan, kononnya sudah baik.

“Saya sendiri takut tengok orang lain yang kembali tular, sedangkan ada antaranya sudah berubah. Jadi, biar saya sendiri tahu apa yang saya buat dan atur langkah lebih baik daripada dahulu,” katanya.

Mengulas tawaran kerjaya seni, Shuk berkata beliau tidak tahu berapa lama namanya disenarai hitam daripada muncul di kaca televisyen, namun berusaha mencari alternatif lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya tak tahu ia satu isu, tapi tiada ‘official ban’, tiada surat rasmi mengatakan nama saya disenarai hitam dalam tempoh berapa lama.

“Itulah salah satu cabaran yang saya kena hadapi, tapi saya faham itulah impak harus diterima.

“Sebagai artis, saya perlu bersedia apabila orang tidak perlukan lagi, jadi kena cari jalan lain. Untuk kecil hati tidaklah, sebab saya tahu kesan itu atas perbuatan lalu. Saya tak boleh cakap apa dan terima semua.

“Apabila saya tahu susah nak masuk industri semula, saya pulang ke kampung. Saya masih ada wadah berniaga seperti TikTok.

“Saya tak percaya awalnya saya jual serum muka, padahal muka saya macam jual batu bata, tapi jualan berhasil. Itu adalah titik tolak saya untuk ‘survive’ (hidup),” katanya ketika ditemui pada satu sidang media baru-baru ini.

Bagaimanapun, Shuk berkata beliau menerima tawaran menjayakan program terbitan Astro selepas dua tahun tidak muncul di kaca televisyen.

“Saya ditawarkan menyertai program, Lawak 90 Saat, itu sahaja tawaran diterima.

“Ada juga tawaran lain, tapi akhirnya diam macam itu sahaja. Ada juga tawaran minta saya masuk program realiti semula, cuma bertanding bukan benda mudah dan saya tidak beri kata putus,” katanya.

Shuk mengakui, antara sahabat baiknya yang sentiasa membantu ketika dalam kesusahan adalah Shuib dan beberapa rakan seperti Ebby Yus dan Nabil Ahmad.

Shuk berkata, Shuib pernah meminjamkan wang kepadanya, malah Ebby dan Nabil pula memasukkan wang dalam akaun tanpa minta dikembalikan.

“Saya dan Shuib sangat rapat, tapi kami tak tunjuk. Kalau saya nak pinjam duit, Shuib adalah orangnya. Sampai satu tahap saya malu nak pinjam lagi.

“Nabil pula saya masih kenang jasanya. Ada satu ketika kontrak saya bersama jenama baju raya tak disambung.

“Pada hari kena hadir untuk shooting, Nabil telefon tanya kenapa tak datang.

“Saya cakap kontrak tak disambung dan ketika itu, Nabil terus masukkan duit dalam akaun saya.

“Ebby Yus pun sama, antara orang yang telefon saya tanya saya okey atau tidak. Beliau minta nombor akaun dan pengurusnya terus masukkan duit.

“Tapi, ada juga rakan yang isteri suruh sekat saya. Tapi, saya tidak salahkannya. Apabila jumpa semula rakan saya minta maaf dan beritahu isteri suruh ‘block’ saya,” katanya.

Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015, namun bercerai pada 2023.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nur Qurratu Ain, lapan tahun, dan Nur Assyifatu Aimi, lima tahun.

Kemudiannya, Shuk berkahwin dengan Fara Salleh pada November 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg