Topic followed successfully
Go to BHku'Si cantik' bermotosikal besar
'Si cantik' bermotosikal besar
'Si cantik' bermotosikal besar
MOTOSIKAL berkuasa tinggi yang ditunggang pelakon jelita Erra Fazira pernah terbabas hingga masuk ke bawah lori, lima tahun lalu.
Mujurlah, beliau cedera ringan meskipun motosikalnya mengalami kerosakan teruk dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kalau sebut tentang kegiatan bermotosikal, Erra, 44 tahun, memang antara segelintir artis wanita Malaysia yang giat melakukannya.
Beliau menunggang motosikal kesayangan demi bersiar-siar atau dalam keperluan sampai ke set penggambaran segera.
Dalam satu laporan Berita Harian Malaysia (BHM), pelakon filem Sembilu itu menjelaskan bahawa kemalangan tidak menghambat malah memberinya kekuatan dalaman meneruskan minat dalam dunia motosikal.
Minat itu awalnya tercetus daripada sifat berdikari yang dipupuk ibunya sejak beliau kecil lagi.
"Kemalangan dan parut bukanlah perkara baru buat saya, tetapi ia tidaklah membuatkan saya serik agar terus menunggang motosikal sebaliknya menjadikan saya lebih berhati-hati.
"Saya rasa ini mungkin disebabkan saya anak tunggal. Saya ada sisi manja, feminin, lasak dan macam-macam lagi. Sayalah anak perempuan, saya jugalah lelaki dalam keluarga, malah berdikari demi membantu keluarga," tambahnya.
Dua tahun lalu pula, Erra dan penyanyi rok serta pelakon Awie dilantik sebagai duta acara amal 'Bikers Unite For Charity'.
Program itu menggabungkan dua kelab motosikal berkuasa tinggi, Motor Club (MC) dan Motor Group (MG).
Inspirasi buat ramai gadis di luar sana memperkasa diri menerusi kegiatan lasak bermotosikal tanpa menjejas penampilan cantik mereka nampaknya 'menjadi' kerana adanya tokoh terkenal seperti Erra.
Seorang lagi pelakon yang dipanggil 'Kakak Harley' (sempena nama motosikal Harley Davidson) ialah Siti Elizad Sharifuddin, 33 tahun.
Jelitawan tinggi lampai yang menjayakan drama Si Kolot Suamiku itu merupakan 'minah motor' yang selesa menunggang motosikal bagi drama seperti Papa Ricky dan My Darling Inspektor Daniel.
Tambahan pula, kembara bermotosikal ini biasa dilakukan bersama suaminya, Shamsul Baharin Rahman, yang juga penunggang motosikal dan kakitangan syarikat permotoran Harley-Davidson.
Elizad juga suka mengumpul barangan jenama popular ini.
"Alhamdulillah, semua koleksi Harley yang terbaru, saya akan dapat sebab suami kerja di Harley-Davidson.
"Suami pun selalu hadiahkan jam tangan Harley. Sebab dia tahu saya suka tukar-tukar pakai jam tangan. Antara koleksi Harley lain yang turut dikumpul ialah kemeja dan kemeja-T," tambahnya dalam laporan Kosmo Online.

