Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Siapa kata gusti 'sukan tipu'?

Wira filem 'Gila Gusti' ingin lenyap stereotaip dan kongsi kisah arena pembuka rezeki dalam dunia hiburan
Mar 18, 2022 | 05:30 AM



HAMPIR sedekad lalu, Ayez Shaukat-Fonseka Farid merantau sejauh Amerika Syarikat untuk menimba ilmu gusti profesional sebelum pulang ke Malaysia untuk membuka sebuah sekolah gusti.



Beliau yang sudah mengembara ke negara Barat untuk bergusti menggunakan sukatan pelajaran yang disiapkan legenda World Wrestling Entertainment (WWE), Dr Tom Prichard, untuk membimbing anak didiknya.



Namun hingga hari ini, Ayez, 30-an tahun, yang terlibat aktif dalam bidang koreografi aksi nekad drama Juvana 2 dan Juvana 3 serta filem KL Gangster 2, berasakan masih ramai yang belum tahu tentang kewujudan sukan gusti profesional di Malaysia.



Ada juga yang memandang remeh dan memanggil gusti sebagai sukan 'tipu' meskipun ia merupakan sukan hiburan atau seni persembahan yang wajar diiktiraf sebagaimana di Filipina atau dunia barat.



Inilah yang mencetus semangat Ayez untuk menulis naskhah, berlakon dan mengusahakan bersama filem Gila Gusti yang ditayangkan di semua pawagam Cathay di Singapura sejak semalam.



Pengarah filem ini adalah Silver Chung. Filem ini turut dijayakan Datuk Jalaluddin Hassan, Elizabeth Tan, Syafie Naswip, Pekin Ibrahim, pempengaruh sosial Aisar Khaled dan penggusti profesional wanita, Nor 'Phoenix' Diana.



Gila Gusti menyorot kisah dua peminat 'hantu gusti' Mamat dan Zul yang sanggup melakukan apa sahaja demi ahli gusti kegemaran mereka Naga.



Apabila Naga ditewaskan secara tidak adil dan gagal mempertahankan kejuaraannya kerana satu muslihat dengki, Mamat dan Zul menjejak Naga dan cuba mendapatkan legenda gusti yang sudah bersara untuk kembalikan semangat Naga yang pudar.



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Ayez yang diselaras mm2 Entertainment mengenai Gila Gusti.



Soalan: Apakah yang membuatkan Ayez begitu bersemangat menghasilkan Gila Gusti menerusi syarikat penerbitan Quin Media dan APAC Wrestling yang Ayez bagunkan sendiri?



Ayez: Sebenarnya, idea membangunkan filem Gila Gusti ini sudah wujud sejak tujuh tahun lalu. Saya dapati pada aliran utama, ramai yang tidak kenal adanya gusti profesional di Malaysia.



Lagi pun, terdapat salah tanggapan daripada apa yang saya baca dari maklum balas media dalam talian.



Saya menjejak komen pada treler filem ini dan juga laporan media mengenai Gila Gusti. Baru tonton treler dan baca rencana...belum tengok filem sebenar, dah ada pula yang mengecam dan memberi komen negatif.



Mereka mempersenda gusti profesional tanpa menyedari apa sebenarnya bidang sukan ini. Mereka payah menerima sukan hiburan sebegini yang dianggap meniru budaya barat.



S: Apakah pandangan Ayez bila ada yang menyatakan gusti merupakan 'sukan tipu' dengan ahli gusti setakat berlakon di gelanggang?



Ayez: Itu adalah tanggapan yang biasa kita dengar. Ramai yang kata, 'Buat apa nak tengok gusti? Semuanya tipu'. Tapi ramai tak sedar.



Dari awal lagi, gusti tidak pernah diketengahkan sebagai sukan sebenar. Ia dianggap seperti seni persembahan yang mencampurkan perlawanan di gelanggang dan perlawanan yang disimulasikan.



Kami adalah pelakon di gelanggang gusti. Kebanyakan pelakon melakukan aksi nekad sendiri. Tiada nak sekejap-sekejap potong adegan ini atau adegan itu.



Malahan, pada hari ke-10 penggambaran, saya mengalami gegaran otak dalam salah satu aksi banting sehingga perlu dirawat di hospital.



Saya mengambil risiko dan buat pengorbanan besar untuk minta dibenarkan pulang dari hospital untuk menyambung penggambaran walaupun doktor belum mengizinkannya.



Penonton perlu tahu bahawa walau apa pun, gusti adalah sukan yang serius di mana penggiatnya perlu berada dalam keadaan cergas dan baik untuk terus berkecimpung dalam bidang ini. Risikonya seperti sesetengah sukan lain besar juga. Bagi yang meremehkan gusti, mereka perlu tahu penggiatnya bekerja keras untuk berdepan dengan apa jua kemungkinan.



S: Dalam 'Gila Gusti', Mamat dan Zul merupakan peminat gila-gila. Pernah tak Ayez temui peminat sebegitu yang obses dengan gusti?



Ayez: Di Malaysia tidak. Paling tidak pun, peminat tegar saya suka simpan baju dengan wajah saya atau ingin bergambar dengan saya dan minta tanda tangan pada poster.



Tapi di Filipina di mana gusti luar biasa popular, saya pernah diserbu di lapangan terbang. Biasanya akan ada kumpulan pengawal keselamatan yang mengiring saya di sana dari dewan ketibaan sampai ke limosin.



Saya diundang ke sesi jelajah stesen televisyen untuk program sembang dan siaran berita. Di sana memang saya seperti ikon dan selebriti gusti.



S: Ada tak filem gusti negara lain yang dijadikan rujukan bagi 'Gila Gusti'?



Ayez: Sebuah filem komedi Amerika pada tahun 2000, Ready To Rumble, menjadi sumber inspirasi saya.



Cuma filem ini banyak menggunakan bahasa kesat dan disasarkan buat tontonan orang dewasa kerana ada kata-kata lucah yang digunakan.



Justeru, saya pastikan dalam Gila Gusti, saya dapat berikan sesuatu yang sesuai dengan budaya timur kita agar ia sesuai ditonton untuk semua lapisan penonton.



S: Sepanjang terlibat dalam bidang penyelarasan aksi nekad dan berlakon dalam filem atau drama aksi, apakah kenangan paling manis Ayez?



Ayez: Apabila saya dipilih untuk menjadi sebahagian pasukan pelakon aksi nekad utama bagi drama Hollywood, Strike Back (Musim 7).



Pada episod kesepuluh, pengarah memberi saya peranan sebagai penyelaras utama aksi nekad drama ini. Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan penyelaras aksi nekad yang memenangi anugerah daripada siri drama 'hit' Game of Thrones.



S: Di barat, ada wira aksi yang mempunyai kemahiran pertahanan diri seperti Jean-Claude Van Damme dan Jason Statham. Bagaimana Ayez lihat di Malaysia pula?



Ayez: Sebenarnya, satu perkara menarik yang saya dapati ketika terlibat dalam drama Strike Back adalah semua pelakon Hollywood ini akan ada pelakon gantian untuk buat aksi nekad atau 'stunt double'.



Ini juga wujud dalam filem lain yang mempunyai barisan pelakon 'Senarai Kelas A' seperti The Avengers. Sebab pihak penerbitan enggan mengambil risiko nyawa atau kecederaan buat pelakon itu. Justeru, ada pelakon aksi nekad yang profesional menggantikan mereka malahan dalam babak mudah terjatuh atau ditolak ke dinding sekali pun.



Berbeza dengan di Malaysia di mana pelakon kita lebih hebat kerana kebanyakannya buat 'stunt' sendiri. Mereka belajar untuk mahirkan diri dalam seni pertahanan diri untuk memenuhi tuntutan babak aksi itu. Justeru, kita harus berbangga dan menghormati pelakon tempatan kita kerana keberanian dan kesediaan mereka.




Gila Gusti kini ditayang di pawagam Cathay.




"Itu adalah tanggapan yang biasa kita dengar. Ramai yang kata, 'Buat apa nak tengok gusti? Semuanya tipu'. Tapi ramai tak sedar.

Dari awal lagi, gusti tidak pernah diketengahkan sebagai sukan sebenar. Ia dianggap seperti seni persembahan yang mencampurkan perlawanan di gelanggang dan perlawanan yang disimulasikan.

Kami adalah pelakon di gelanggang gusti. Kebanyakan pelakon melakukan aksi nekad sendiri... Malahan, pada hari ke-10 penggambaran, saya mengalami gegaran otak dalam salah satu aksi banting sehingga perlu dirawat di hospital... Penonton perlu tahu bahawa walau apa pun, gusti adalah sukan yang serius di mana penggiatnya perlu berada dalam keadaan cergas dan baik untuk terus berkecimpung dalam bidang ini."

- Ayez Shaukat-Fonseka Farid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >