Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Simone Biles Rising: Ikon gimnastik AS bangkit semula selepas hadapi isu mental

Mar 12, 2025 | 5:30 AM
Simone Biles dalam filem yang mendokumentasikan perjalanan hidupnya sebagai bintang gimnastik.
Simone Biles dalam filem yang mendokumentasikan perjalanan hidupnya sebagai bintang gimnastik. - Foto NETFLIX

Dunia gimnastik tidak asing dengan nama, Simone Biles, atlet luar biasa dari Amerika Syarikat yang telah mengubah landskap sukan itu dengan bakatnya yang menakjubkan.

Namun, di sebalik kehebatan yang dipamerkan di pentas dunia, wujud perjalanan peribadi yang penuh cabaran dan pengorbanan.

Dokumentari, Simone Biles Rising, yang kini boleh ditonton di Netflix, mengupas kisah kehidupan bintang gimnastik itu dalam usahanya untuk bangkit semula selepas menghadapi ujian mental dan emosi yang hampir meragut impiannya.

Simone Biles, pemenang pelbagai pingat emas Olimpik, menghadapi salah satu cabaran terbesar dalam kerjayanya ketika Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Tekanan luar biasa serta isu kesihatan mental memaksanya menarik diri daripada beberapa acara, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam dunia sukan.

Namun, dokumentari ini membawa kita menyelami kehidupannya selepas kejadian itu – dari sesi latihan yang penuh dedikasi, perjalanan mengutamakan kesihatan mental, sehinggalah saat-saat getir menjelang Olimpik Paris 2024.

Dengan gabungan temu ramah bersama tokoh gimnastik legenda seperti, Nadia Comaneci dan Laurie Hernandez, dokumentari ini turut memberikan perspektif bagaimana sukan itu berkembang dan bagaimana Biles mencipta namanya dalam sejarah gimnastik.

Tidak dapat dinafikan, Simone Biles adalah antara atlet terhebat sepanjang zaman.

Dokumentari ini menampilkan fakta luar biasa – beliau mempunyai lima pergerakan gimnastik yang dinamakan sempena namanya, sesuatu yang tidak dimiliki oleh mana-mana atlet gimnastik wanita lain.

Biles bukan sekadar ikon sukan, malah sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

Dalam setiap episod, kita menyaksikan kesungguhannya kembali ke puncak walaupun pernah berdepan kegagalan.

Simone Biles Rising memberikan gambaran sebenar tentang apa yang menjadikan beliau bukan hanya seorang atlet berbakat, malah individu yang luar biasa kuat.

Apa yang menjadikan dokumentari ini lebih menarik ialah penekanan kepada isu kesihatan mental dalam dunia sukan.

Biles secara terbuka berkongsi bagaimana tekanan tinggi dan harapan dunia terhadapnya memberi kesan besar kepada kesejahteraannya.

Babak beliau membuka ‘forbidden Olympic closet’ – tempat beliau menyimpan kenangan pahit dari Olimpik Tokyo – adalah detik paling emosional dan menunjukkan bahawa di sebalik setiap kejayaan, terdapat luka yang perlu sembuh.

Kisah Biles membuktikan bahawa mengambil langkah ke belakang bukan satu kelemahan, tetapi keberanian untuk menjaga diri sendiri.

Dengan produksi yang mengagumkan, gabungan rakaman pertandingan gimnastik yang mendebarkan serta wawancara penuh inspirasi, Simone Biles Rising, adalah dokumentari yang harus ditonton bukan sahaja oleh peminat sukan, malah sesiapa yang ingin melihat kekuatan seorang wanita dalam menghadapi ujian kehidupan.

Ia adalah kisah tentang jatuh dan bangun, tentang bagaimana seseorang boleh menjadi lebih kuat selepas melalui saat-saat kelam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg