'Sinar' J. Mizan masih terpancar walau dunia glamor kisah silam
'Sinar' J. Mizan masih terpancar walau dunia glamor kisah silam
Bintang 1970-an terus aktif rakam lagu baru, buat persembahan
SETIAP kenangan manis dikenali ramai dan diburu peminat pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1970-an diingati bintang veteran, J. Mizan, tanpa wujud sebarang penyesalan tempoh itu sudah berlalu pergi.
Mizan, yang bakal mencecah usia 70 tahun dan popular dengan lagu Hari Ini dan Semalam, bersyukur pada usia senjanya Tuhan mengurniakannya tenaga untuk terus mencari rezeki sebagai pekerja bantuan pesakit di Hospital Ng Teng Fong.
Pada waktu lapangnya, beliau lebih senang meluangkan masa bersiar-siar menghirup udara segar di luar ataupun berjalan-jalan di pusat beli-belah, ditemani isterinya yang menetap di seberang Tambak.
Lantaran itu, apabila ada lamaran untuknya merakam lagu baru hasil usaha dua peminatnya - anak saudaranya Salleh Nanang dan peneraju band rok Klutz, Shafiq Kamis, Mizan menerimanya dengan hati terbuka.
Setelah merakam lagu Tak Kembali dan lagu Raya pertama dalam kerjaya seninya, Raya Raya, sewaktu tempoh pandemik, lagu baru Sinar pula menemui peminat Mizan di gedung digital baru-baru ini.
Ketika dihubungi Berita Harian, Mizan menjelaskan:
"Saya dah puas menjalani kehidupan sebagai penghibur. Jadi tak kisah sangat apabila meniti usia senja dan teruskan pula dengan bidang tugas lain... dah tak perlulah nak glamor.
"Kalau kawan ajak karaoke di luar pun, saya dah tak minat sebab dari dulu kerjanya menyanyi. Masa yang ada saya luangkan buat bersiar-siar, menemani isteri dan anak-anak. Selebihnya, luangkan masa untuk bersenam dan beribadah.
"Bagaimanapun, saya terharu ada penggiat seni seperti Shafiq dan Salleh yang baik hati dan nak 'belanja' saya dengan bikin lagu baru. Saya lihat sesuai dengan suara saya. Jadi kita terus merakam lagu Sinar ini untuk mengubati rindu peminat."
Salleh, yang lebih dikenali sebagai jurulatih sepak takraw di Singapura, pula berkata Sinar diilhamkan untuk memberi kesegaran pada genre lagu yang ramai kaitkan dengan kerjaya seni Mizan.
"Orang dah biasa dengar lagu Mizan yang lain seperti Hujan Sore Sore dan Tiada Jalan Kembali. Kini kita bikin lagu yang lebih rancak temponya pula.
"Jalan cerita lagu ini berlegar di sekitar perjalanan hidup seseorang yang pernah melukakan hati insan lain dan mengharapkan kemaafan.
"Dia menanti dengan penuh pengharapan tetapi keadaan sepi sahaja. Hanya kepada Yang Maha Esa sahaja tempatnya memohon bantuan dan keredaan," ujar Salleh.
Baginya dan Shafiq, mutu vokal Mizan masih baik walaupun sudah berusia.
"Pernafasan sepatutnya dah mula rendah sebab faktor usia. Tapi nampaknya kian mantap suara Mizan. Itu yang membuatkan kami berminat mencipta lagu ini sebagai hadiah untuknya dan peminatnya yang ramai," jelas Salleh.
Mizan pula menambah beliau menerima amanah Shafiq dan Salleh untuk menyanyikan Sinar sebaik mungkin.
"Dari segi kesihatan, saya kini lebih prihatin. Kalau dulu kuat merokok, sekarang dah banyak berkurangan. Dulu sampai lima kotak rokok beres. Sekarang dah tinggal sekotak sahaja. Tak nak banyak.
"Mesti nak bersenam juga bagi menjaga kemantapan suara dan pernafasan. Saya minum air suam," ceritanya lagi yang sudah mempunyai perancangan mengadakan persembahan di Singapura dan Malaysia bagi tahun ini.
Malahan, satu acara minum petang di Johor Bahru sudah dirancang buatnya.
Antara yang beliau harap dapat lakukan adalah berduet dengan generasi penyanyi muda seperti anak Shafiq, Nur Umairah Mohd Shafiq, yang berpengalaman menyanyi bersama Orkestra Melayu Singapura (OMS).
"Saya suka bekerjasama dengan Shafiq yang merendah hati. Anaknya Umairah pun berbakat walaupun masih belasan tahun lagi. Dah menyanyi sejak kecil.
"Kemungkinan lagu duet kami sedang dirancang sebagai gandingan dua generasi berbeza," tambahnya.
Apabila ditanya apakah dirinya bersedia menyertai peraduan realiti Astro, Gegar Vaganza, untuk artis lama yang masih 'berbisa', Mizan berkata:
"Saya sahut cabaran sebegini jika ada peluang dan tertulis rezekinya. Bolehlah nyanyi rok, lagu asli, ghazal, balada, dangdut atau lagu era 1980-an hingga 2000-an.
"Cuma risau kalau suruh nyanyi rap. Lidah berbelit-belit. Tak tersebut pula lirik."
"Bagaimanapun, saya terharu ada penggiat seni seperti Shafiq dan Salleh yang baik hati dan nak 'belanja' saya dengan bikin lagu baru. Saya lihat sesuai dengan suara saya. Jadi kita terus merakam lagu Sinar ini untuk mengubati rindu peminat."
- Penyanyi veteran, J. Mizan.

