Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem tempah daki Gunung Fuji atasi kesesakan

May 26, 2024 | 5:30 AM
Pelancong asing tiba di stesen Kawaguchiko dengan latar belakang Gunung Fuji. Wilayah Yamanashi telah memperkenalkan tempahan secara dalam talian bagi sesiapa masuk ke kawasan gunung itu menerusi Laluan Yoshida.
Pelancong asing tiba di stesen Kawaguchiko dengan latar belakang Gunung Fuji. Wilayah Yamanashi telah memperkenalkan tempahan secara dalam talian bagi sesiapa masuk ke kawasan gunung itu menerusi Laluan Yoshida. - Foto EPA-EFE

YAMANASHI: Ramai pengembara yang menaruh harapan untuk menikmati pengalaman di salah satu tarikan utama Jepun, Gunung Fuji, kini perlu buat tempahan secara dalam talian sebelum dapat mendakinya.

Gunung tertinggi di Jepun itu, yang juga berkait dengan kepentingan kebudayaan negara itu, kini memerlukan pendaki membuat tempahan bagi mengatasi masalah kesesakan.

Pihak berkuasa setempat mengenakan bayaran 2,000 Yen ($13) menerusi sistem tempahan itu bagi mereka yang berminat menggunakan laluan dalam wilayah Yamanashi itu.

Ia meliputi bayaran masuk menerusi Laluan Yoshida yang digunakan sekitar 60 peratus pelawat dan merupakan salah satu daripada empat pintu masuk ke gunung tersebut.

Tempahan boleh dibuat menerusi laman rasmi bagi mendaki Gunung Fuji, yang diuruskan wilayah tersebut serta pihak berkepentingan lain, sehingga sehari sebelum kegiatan mendaki itu bermula.

Laluan Yoshida di wilayah Yamanashi yang digunakan bagi mendaki gunung setinggi 3,776 meter itu biasanya dibuka dari 1 Julai hingga 10 September.

Wilayah itu menerima sehingga 4,000 pendaki maksimum sehari dengan 3,000 tempahan disediakan menerusi tempahan dalam talian.

Baki tempat itu akan disediakan pada hari mendaki, dengan bayaran diterima di tapak mula mendaki.

Para pendaki yang membuat tempahan secara dalam talian akan menerima kod QR menerusi emel yang perlu mereka imbas di stesen kelima jejak laluan itu.

Mereka kemudian akan diberi gelang tangan sebagai identifikasi.

Ditabal selaku tapak Warisan Budaya Sedunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2013, gunung tertinggi yang terletak antara wilayah Yamanashi dengan Shizuoka itu merupakan destinasi pelancong yang popular di Jepun.

Wilayah Yamanashi akan mempunyai jeriji mulai musim panas di stesen kelimanya bagi menutup jejak laluan itu antara 4 petang dengan 3 pagi, kecuali mereka telah membuat tempahan awal untuk bermalam di pondok-pondok di sana.

Pihak berkuasa setempat sedang berusaha menghalang kegiatan mendaki secara pantas – atau berusaha mendaki hingga ke puncak dan kembali turun tanpa bermalam semasa di atas gunung itu.

Pada 2023, seorang pegawai rasmi wilayah Yamanashi memberitahu media bahawa “pelancongan berlebihan – serta semua kesan yang berkait dengannya seperti sampah yang bersepah, pengeluaran karbon dioksida dan pendaki yang cuai – merupakan masalah besar yang dihadapi di gunung tersebut.”

Sebelum sistem tempahan itu diperkenalkan, pelawat diminta membayar secara sukarela sebanyak 1,000 Yen bagi membantu membiayai operasi beberapa kemudahan seperti stesen bantuan kecemasan serta tandas mudah alih.

Bayaran mandatori tambahan itu dijangka meliputi perbelanjaan penyenggaraan di pintu masuk serta jejak laluan itu, menyokong pendaki asing, selain khidmat respons bencana. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg