Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Siswa terbit majalah kecil tangani isu belia kurang guna bahasa Melayu

Oct 31, 2023 | 05:30 AM



Sejak kecil, minat Encik Fadhli Rusydi Fadzil dalam dunia hiburan Melayu menyemarakkan semangatnya untuk menghidupkan bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, mahasiswa Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu di Universiti Teknologi Nanyang-Institut Pendidikan Nasional (NTU-NIE) itu memerhatikan semakin ramai belia bergelut dengan penguasaan bahasa Melayu.

Itulah yang mengukuhkan dedikasinya untuk mendalami dan memahami perspektif belia tentang bahasa Melayu melalui penerbitan majalah berskala kecil sendiri atau ‘zine’ (singkatan bagi magazine atau majalah).


Didorong semangat yang tidak berbelah bahagi, beliau memutuskan untuk memulakan misi dalam meningkatkan kesedaran bahawa individu muda masih tetap prihatin terhadap bahasa tersebut.

Encik Fadhli atau nama penanya Fadhli Fadzil, 24 tahun, menceburi bidang penulisan sejak berusia 16 tahun.

Pada 2020, Encik Fadhli menerbitkan sendiri buku kumpulan sajak bertajuk, Di Sebalik Jendela, yang merakam pengalaman beliau menjalani Perkhidmatan Negara (NS).


Beliau juga telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Puisi Nasional bagi kategori dewasa (Bahasa Melayu) anjuran Poetry Festival Singapore pada 2022.

Kini, Encik Fadhli, mahasiswa tahun keempat, menerbitkan sendiri ‘zine’ berjudul Kulihat Layu dalam Melayu yang memberi tumpuan kepada perspektif anak muda Melayu mengenai isu penggunaan bahasa Melayu yang semakin berkurangan dalam kalangan generasi itu.


Sempena Bulan Bahasa pada 2023, beliau bertungkus-lumus menyiapkan ‘zine’ itu dengan bantuan beberapa rakan seperti Cik Nurain Abdul Raheem dan Cik Aisyah Lyana, yang juga kalangan belia yang bergiat dalam dunia sastera.

Motivasi beliau untuk menangani isu itu dicetuskan oleh keinginan untuk mencabar tanggapan salah bahawa golongan muda tidak menghayati bahasa dan budaya Melayu sepenuhnya.

Beliau membangkitkan soalan kritikal: Adakah adil untuk mengharapkan anak muda Singapura, yang telah membesar dalam persekitaran yang memihak kepada bahasa Inggeris, untuk sama-sama ghairah tentang bahasa Melayu?

Bercakap dengan Berita Harian, beliau menjelaskan pendiriannya: “Bagi saya, saya percaya bahawa kemerosotan dalam penggunaan bahasa Melayu bukan kerana kekurangan kebimbangan dalam kalangan anak muda, tetapi kerana keterbatasan ruang dan domain untuk mereka gunakan bahasa Melayu.”


‘Zine’ yang mengandungi karya hasil penulisan sendiri seperti kreatif komik, sajak dan komentar, mengupas tentang penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan anak muda hari ini.

Usaha itu masih berterusan, namun, penggunaan mereka diertikan dengan penggunaan bahasa Melayu harian yang santai dan bersifat komunikatif, tanpa perlu menghiraukan tentang tatabahasa dan struktur yang tepat.

Semasa proses penghasilan majalah itu, Encik Fadhli menyelidiki perspektif masyarakat muda Melayu di Singapura di mana terdapat ramai yang mengakui kerelevan bahasa Melayu pada hari ini tetapi mengutamakan bahasa Inggeris atas sebab praktikal, khususnya di tempat kerja.

“Walaupun saya tidak setuju sepenuhnya dengan perspektif ini, saya faham akan tekanan masyarakat di Singapura yang membawa kepada pandangan sedemikian,” jelas beliau sambil menekankan tujuan utama penerbitan beliau.

Menurut Encik Fadhli, projek itu juga adalah seruan kepada anak muda Melayu untuk menghayati bahasa dan budaya mereka kerana mereka bakal mengambil alih generasi perintis pada masa hadapan.

“Seperti cogan kata bagi ‘zine’ ini, ‘Basah di Lidah, Mekar di Jiwa’. Apabila kita membasahkan lidah dengan bahasa Melayu, kesedaran tentang jati diri dan kecintaan terhadap budaya akan mekar di jiwa.”

Melalui ‘zine’ itu, Encik Fadhli membantu dalam melantangkan suara belia dalam perbincangan tentang kepentingan bahasa Melayu di Singapura.

“Saya harap ‘zine’ ini dapat memberikan suatu gambaran yang jelas bahawa kami, golongan belia, masih lagi prihatin akan bahasa warisan kami.

“Berbeza dengan pandangan umum bahawa sebahagian besar belia Melayu telah mengabaikan bahasa Melayu, ‘zine’ ini menyuarakan persepsi yang bertentangan – kami belia masih prihatin,” ujarnya.

‘Zine’ Kulihat Layu dalam Melayu boleh didapatkan di kedai buku Nurul Anwar Bookstore.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >