Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Siti Nordiana, Haqiem Rusli kekal 'Top Top MeleTOP' di hati peminat

Gaya Hidup
31
0

Siti Nordiana, Haqiem Rusli kekal 'Top Top MeleTOP' di hati peminat

Dec 21, 2020 | 02:51 AM

PUTRAJAYA: Penyanyi, pelakon dan pengacara Siti Nordiana Alias membuktikan 21 tahun dalam industri seni Malaysia tidak membuatkannya lapuk ditelan zaman.

Sebaliknya, pelantun lagu Hatiku Milikmu ini mampu berdiri sama tinggi dan kekal popular seiringan dengan barisan anak muda atau 'Budak Baru Nak Up' (BBNU) seperti Haqiem Rusli dan Khai Bahar.

Pada Ahad (20 Disember), Siti Nordiana, 36 tahun, yang lebih mesra dengan panggilan Nana, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Top Top MeleTOP Wanita dan kategori baru, Anugerah Top Top MeleTOP Grup/Duo (bersama Khai Bahar) pada acara Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Acara berdasarkan undian peminat ini anjuran bersama stesen Astro dan stesen radio Era.

Sebelum anugerah buat artis wanita dan grup/duo dengan undian terbanyak diumumkan di akhir rancangan, Nana memenangi kategori Artis Versatil MeleTOP dan Grup/Duo MeleTOP (bersama Khai Bahar).

Tahun lalu, takhta Top Top MeleTOP Wanita merupakan milik Nana juga.

Haqiem, 22 tahun, yang menerima Anugerah Top Top MeleTOP Lelaki pula pemenang kategori Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP (menerusi lagu Lembah Kesepian).

Tahun 2020 boleh disifatkan sebagai tahun durian runtuh buat komposer muda ini kerana baru sebulan yang lalu, beliau menerima Anugerah Bintang Paling Popular di majlis gilang-gemilang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Malaysia.

Dalam sidang akhar yang diadakan pada dinihari Isnin dan dipancarkan di YouTube, Nana, juara Gegar Vaganza 2, yang mempunyai 3.9 juta pengikut Instagram berkata:

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana beri saya banyak peluang dari Gegar Vaganza sampailah sekarang. Bagi mendapatkan Anugerah Top Top MeleTOP Wanita buat kali kedua adalah satu perkara yang saya tak jangkakan.

"Saya harus berterima kasih kepada peminat saya yang banyak menyokong saya dengan susah payah mengundi sampailah saya boleh meraih anugerah ini.

"Justeru, anugerah ini buat mereka yang penat macam mana pun akan beri sokongan. Mereka mungkin bukan adik-beradik saya atau teman karib saya tetapi kesungguhan mereka mengundi saya habis-habisan dan menunjukkan betapa mereka sayangkan saya amat saya hargai."

Nana mula menyanyi secara profesional pada 1999 ketika usianya 15 tahun. Kerjayanya bangkit selepas menjuarai Gegar Vaganza 2 dengan beliau menerima tawaran berlakon dalam drama 'hit' Dia Semanis Honey yang membawa pada teater muzikal dengan tajuk serupa yang mendapat sambutan luar biasa di Istana Budaya.

Beliau juga adalah salah seorang pengacara rancangan realiti lagu kerohanian, Gema Gegar Vaganza.

Mengulas kemenangannya, Haqiem yang dikenali kerana lagu Tergantung Sepi pula berkata:

"Saya ingin mengicapkan terima kasih kepada penganjur Anugerah Meletop Era, Astro dan Era serta media. Terima kasih kerana memberi peluang buat anak muda seperti saya menunjukkan bakat kami dan menyampaikan suara anak muda.

"Kemenangan ini adalah penghargaan besar sebab saya biasanya menonton AME di televisyen dan tak jangka hari ini, saya dianugerahkan dengan trofi AME ini. Berkat dorongan semua, Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik selepas ini." 

Banyak kejutan berlaku di AME. Antara lain, penonton dapat menyaksikan pasangan dramatis merpati dua sejoli, Kamal Adli dan Uqasha Senrose di luar skop lakonan meraikan cinta mereka yang akan dimeterai dengan ikatan perkahwinan.

Selepas menyampaikan anugerah, Kamal telah melamar Uqasha di hadapan penonton di PICC dan rumah serta pengacara Jihan Muse, Nabil Ahmad dan Zizan Razak.

'Konflik' antara pengarah Michael Ang dan penyanyi irama tradisional, Noraniza Idris, menyusuli komen media sosial Ang tentang suara finalis Gegar Vaganza 7 itu yang dikatakan sengau, terlerai dengan mereka bertemu empat mata dalam program itu.

Bagi Noraniza, komen yang dilontarkan seseorang yang berpengaruh seperti Ang itu seakan-akan menarik warganet untuk lebih mengecamnya.

Ang telah meminta maaf dengan Noraniza sambil menyatakan beliau tetap meminati lagu Dikir Puteri dendangan legenda itu. Menurutnya, beliau tiada niat tidak baik malah mengulas secara jujur sebagaimana ketika memberi komen tentang persembahan penyanyi lain.

Buat julung-julung kalinya juga, AME2020 memberi penghargaan kepada pekerja barisan hadapan dan juga memperkenalkan kategori Wira MeleTOP yang disampaikan kepada pendakwah dan pempengaruh sosial, Ustaz Ebiet Liew, yang mendorong pengikutnya ke arah kebaikan dan banyak menjalankan misi amal buat segenap lapisan masyarakat.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3