Bak peribahasa ‘bukannya bersuluh batang pisang, bersuluh bulan matahari’ itu sesuai bagi menggambarkan kemahiran vokal, daya hibur luar biasa dan potensi besar yang dimiliki Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Peribahasa ini membawa maksud ‘kebenaran yang sudah terang dan nyata, tidak saja disaksikan oleh orang-orang biasa, tetapi juga orang-orang ternama dan berkuasa’.
Justeru, apabila saya dan sebilangan peminat Siti, 45 tahun, menghadiri secara berturut-turut konsert dua harinya, Fenomena - Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore di The Star Theatre pada 28 dan 29 Jun lalu, kita akur bahawa inilah biduanita pencetus fenomena dalam industri muzik Nusantara yang sejauh ini tiada tandingannya.
Ini merupakan kali pertama saya menonton konsert artis yang sama bagi dua hari tanpa jenuh. Ada sahaja perkara baru dan segar yang saya perhatikan berlaku di atas pentas gah itu.
Ia turut dirasakan beberapa teman yang sanggup menempah tiket VIP dengan peluang bertemu dan bergambar dengan Siti selepas konsert lebih dua jam setengah itu berlangsung.
Syabas buat Sah Entertainment yang diterajui penyanyi Singapura, Sufi Rashid, kerana membawa Siti ke Kota Singa sambil mengimbau nostalgia lagu-lagu malar segarnya yang lunak lagi menjadi santapan halwa telinga.
Keistimewaan setiap konsert Siti adalah usahanya menjadikan sajian persembahan itu unik buat warga Singapura. Ia tak pernah sama dan tak pernah serupa dengan konsert di Malaysia atau Indonesia.
Beliau memulakan konsert dengan lagu yang awal-awal menaikkan namanya, Mawarku, yang pernah dipopularkan bersama kumpulan 2 by 2.
Lagu itu, jelasnya, membawa kejayaan luar negara pertama buatnya, ketika mula-mula diiktiraf dengan Anugerah Artis Baru Wanita Popular dan Lagu Paling Popular (Mawarku) pada Anugerah Muzik Singapura 1996.
Momentum lagu nostalgia itu diteruskan dengan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, Anta Permana, yang sudah ditonton 23 juta kali di YouTube sejak mula dimuatnaikkan lima tahun lalu.
Pada 28 Jun, Siti memang lebih banyak bercerita tentang perjalanan seninya.
Mungkin kerana konsert hari kedua mempunyai tambahan lagu dan ia bermula lebih lewat daripada 8.15 malam kerana menanti baki penonton (daripada jumlah keseluruhan 5,000 orang) yang belum sampai kerana penutupan jalan ekoran latihan Hari Kebangsaan, maka sembangnya disingkatkan.
Saya dapat rasakan ketulusan hatinya bersembang dengan peminat bak kawan lama.
Tidak ada hambatan komunikasi. Tidak terasa ia perbualan artis tersohor dengan lautan peminatnya.
“Ada tak yang dahulu masa kecil-kecil mak awak dodoi awak tidur dengan lagu saya?” tanyanya sambil tersenyum.
Melihat beberapa penonton belia mengangkat tangan, Siti melemparkan lagi senyuman penuh makna, menghargai impak lagu-lagunya dalam kehidupan peminat.
Siti kemudian menyusuli persembahan dengan medley lagu Bicara Manis Menghiris Kalbu, Seribu Kemanisan dan Purnama Merindu.
Sesuatu yang saya nanti-nantikan adalah berkumandangnya lagu Bisikan Asmara yang rancak dan membawa kenangan manis buat saya secara peribadi kerana ia merupakan lagu ‘wajib’ setiap kali berkaraoke bersama teman.
Ia juga lagu yang membuatkan sesetengah peminatnya akan berkata Siti sering menjadi ‘mangsa’ pereka fesyen yang tidak memberinya busana yang lebih ‘ada kelas’ pada masa itu.
Namun, rasanya Siti pada masa itu masih muda remaja dan perlu menggayakan pakaian yang sesuai dengan usia mudanya.
Bagi konsert tempoh hari, beliau mempunyai senarai jenama fesyen seperti Fiziwoo, Ashraff Zainal Atelier, Bian Ka Bella, Samm Republic dan Ezuwan Ismail sebagai penaja busananya.
Menyapa Dunia, Biarlah Rahsia dan Pastikan sebagai penghargaan kepada pencipta Indonesia, Melly Goeslaw, merupakan medley lagu memukau yang membuai jiwa dan rasa.
Beliau juga memberi penghormatan kepada Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan Allahyarham Pak Ngah Suhaimi yang banyak berjasa dalam menaikkan lagi namanya.
“Abang Adnan sanggup cari gadis Kuala Lipis sampaikan pasukannya tersalah orang mencari gadis lain pada ketika itu.
“Sebelum saya menjuarai peraduan Juara HMI lagi, beliau sudah cari-cari saya,” ceritanya.
Apabila saya melihat Siti lincah menari dan bersembang selamba dengan humornya yang bersahaja, saya terkenangkan pengalaman menonton Siti dalam konsert pertamanya di Singapura yang berlangsung di Harbour Pavilion pada 2000.
Pada masa itu, beliau masih agak malu-malu dan kadangkala terasa canggung untuk berbual panjang. Fokusnya hanya pada lagu-lagunya yang ketika itu memang laris di pasaran dan berada di carta radio.
Suaranya memang luar biasa lunak dan dalam hati saya berkata-kata: “Budak Siti ni boleh pergi jauh. Dahlah cantik, sedap pula suaranya!”
Banyak lagu Siti pencetus inspirasi seperti Sehebat Matahari yang akan menjadi lagu pembangkit semangat.
Siti juga berduet lagu Wajah Kekasih dan Cinta Syurga bersama sensasi muzik Melayu masa kini, Khai Bahar.
Bos Sah Entertainment, Sufi Rashid, juga membawakan lagu runut bunyi rasmi drama Adam dan Hawa, Muara Hati, bersama penyanyi pujaan ramai yang mesra dengan panggilan Tok Ti.
Ada empat perkara yang saya kira menjadikan Siti ‘super-fenomena’ yang disegani dan pastinya menjadi teladan artis muda yang masih mencari ruang dan peluang mengasah bakat mereka.
Pertama, beliau banyak memberi galakan buat Khai dan Sufi sehingga kededuanya tersipu-sipu malu mendengar pujiannya yang mengharapkan mereka berdua akan ‘terbang tinggi’ dengan pencapaian membanggakan.
Kedua, konsert Siti ini merupakan satu rakaman penghargaan buat peminatnya, di mana mereka juga berpeluang menyanyi beramai-ramai lagu pertamanya, Jerat Percintaan, sementara Siti bertukar busana.
Ketiga, beliau adalah antara penghibur yang mampu mendendangkan apa sahaja genre lagu dengan kelunakan suaranya.
Pada dua malam berturut-turut, Siti menutup tirai persembahan dengan lagu-lagu irama Melayu, Nirmala dan Ya Maulai. Pada malam kedua, beliau membuat seisi dewan bangkit menyanyikan lagu Cindai.
Akhir sekali, nilai estetika persembahan Siti menjadi lebih bermakna apabila beliau menyanjung tinggi Jalan Ampas sebagai hab seniman dan seniwati serta biduan dan biduanita memasyarakatkan dunia perfileman dan nyanyian.
Beliau membawakan medley lagu Sirih Pinang, Tari Silat Melayu dan Tari Tualang Tiga sebagai memperingati zaman gemilang filem Melayu yang bernadikan semangat yang mula menyala di Jalan Ampas.
“Di Singapuralah, banyak perkara bermula. Saya rasa orang Singapura harus berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg