Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siti Nurhaliza lega berita palsu mengenai dirinya dapat disangkal

May 3, 2023 | 5:30 AM
HATI-HATI SEBAR BERITA: Datuk Seri Siti Nurhaliza berpesan agar orang ramai lebih prihatin agar tidak menyebar berita palsu khususnya pada bulan Syawal di mana menjalin silaturahim menjadi keutamaan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
HATI-HATI SEBAR BERITA: Datuk Seri Siti Nurhaliza berpesan agar orang ramai lebih prihatin agar tidak menyebar berita palsu khususnya pada bulan Syawal di mana menjalin silaturahim menjadi keutamaan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

DATUK Seri Siti Nurhaliza berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, atas keprihatinan beliau terhadap isu berita palsu membabitkan dirinya yang tular baru-baru ini.

Siti berkata, teguran Fahmi berhubung isu berita palsu melalui ciapan di Twitter diharap dapat memberi kesedaran mengenai bahaya perbuatan itu jika tidak dibendung segera.

"Terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat (YB) terhadap isu berita palsu, buli siber dan sebagainya.

"Hal ini sudah sering terjadi bukan sahaja kepada saya sebagai individu, tetapi juga banyak pihak lain. Kesedaran masyarakat harus dibendung terhadap berita palsu yang keluar dalam media sosial," ciap Siti.

Penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu turut menitipkan pesanan betapa perlunya seseorang membuat pertimbangan wajar sebelum berkongsi berita dalam media sosial.

"Jadilah pengguna yang berhemah, matang menilai dan yang tidak menggunakan akal, jari dan ilmu yang Allah pinjamkan kepada perkara yang tidak berfaedah," katanya.

Terdahulu, melalui hantaran di Twitter, Fahmi menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terbabit dengan penyiaran berita palsu.

Tindakannya itu susulan kepada kenyataan dikeluarkan Siti di Instagram Story yang menafikan berita palsu mengaitkan dirinya dengan sebuah majlis politik di Kedah, baru-baru ini.

Fahmi dalam entri yang sama turut menasihati semua pengamal media sentiasa mengesahkan maklumat dan sumber sebelum menerbitkan sesuatu berita supaya tidak timbul sebarang isu.

Melalui perkongsiannya, Siti meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuat akaun Facebook (FB) palsu dengan menggunakan namanya.

Pihak terbabit didapati menyebar kenyataan berhubung kehadiran Siti untuk memeriahkan sebuah majlis di Kedah yang didakwa majlis politik.

Kenyataan palsu itu kemudian dipetik sebuah portal hiburan.

"Siapalah yang pandai-pandai sunting 'fake news' ini, gunakan nama FB saya (yang 'verified') dan 'forward' merata-rata dan yakinkan orang ini hantaran sebenar... Ini palsu.

"Cukuplah semua perkara hendak dibuat macam ini. Saya ini penyanyi, hiburkan semua orang. Bulan Syawal ini, bulan jalinkan silaturahim bukan buat sebarkan berita palsu," kata Siti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg