KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza sebak ketika menghantar anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid menghadiri hari pertama prasekolah melalui hantaran dikongsi di Instagram pada Isnin (13 Jun).

Sebagai ibu, Siti mengaku hatinya tersentuh melihat Aafiyah yang kini berusia empat tahun, begitu bersemangat memulakan alam persekolahan.

"Alhamdulillah, hari ini adalah hari pertama Aafiyah masuk prasekolah. Malam tadi, Aafiyah tidur awal dan pagi ini, ketika dikejutkan ayah, dia tidak meragam kerana hendak pergi sekolah. "Bersiap cantik dan siap 'pose' depan ayah dan ibu dengan baju sekolah. Semangat betul Aafiyah hendak pergi sekolah.

"Subhanallah, sampai sekolah dan apabila berada di depan pintu kelas, Aafiyah meluru tanpa menoleh ke belakang hingga ayah dan ibu panggil balik untuk bersalam.

"Ibu hendak menangis tetapi tahan," luah Siti menerusi entri yang memaparkan foto mereka tiga beranak di hadapan pintu kelas anak perempuannya itu. Melalui hantaran sama, penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu mendoakan moga urusan menuntut ilmu anaknya itu dipermudahkan.

Rata-rata pengikut Siti turut berkongsi keterujaan sambil mendoakan kejayaan Aafiyah dalam menimba ilmu. - BH Online