Topic followed successfully
Go to BHkuSiti Nurhaliza teruja dipilih nyanyi lagu filem Anwar Ibrahim
Siti Nurhaliza teruja dipilih nyanyi lagu filem Anwar Ibrahim
Siti Nurhaliza teruja dipilih nyanyi lagu filem Anwar Ibrahim

HASRAT penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk bekerjasama dengan penggubah Indonesia, Andi Rianto, tercapai apabila beliau ditawarkan untuk membawakan lagu runut bunyi filem Anwar: The Untold Story.
Lebih menarik perhatiannya, lagu itu membawa mesej kesetiaan dan pengorbanan wanita yang cukup menyentuh hatinya.
Lagu berjudul Menjaga Cintamu adalah ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.
Siti berkata beliau sedari lagu itu menggambarkan kesetiaan dan pengorbanan isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Namun beliau merasakan liriknya juga sesuai untuk menggambarkan kekuatan jiwa wanita secara am.
"Saya terima tawaran menyanyikan lagu Menjaga Cintamu kerana yakin dengan kekuatan lagu ini. Ia bukan hanya gambaran kesetiaan Dr Wan Azizah, tetapi secara amnya, untuk wanita yang setia mencintai pasangan.
"Saya amat tertarik dengan mesej dalam lagu ini. Saya faham lirik lagu Menjaga Cintamu ini lebih kepada pengorbanan seorang isteri dan cinta yang tiada tolok bandingan.
"Secara kebetulan, saya dalam tempoh menerbitkan album baru," katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Tambah Siti, beliau juga sudah lama mahu bekerjasama dan menyanyikan karya ciptaan komposer hebat seberang, Andi.
"Saya berterima kasih kepada Penerbit Eksekutif, Zukiflee Anwar Haque atau Zunar dan pengarah dari Indonesia, Viva Westi, kerana memberikan kepercayaan kepada saya menyanyikan lagu Menjaga Cintamu.
"Saya jarang menolak menyanyikan lagu OST. Apabila wakil penerbit datang berbincang dengan pengurusan, mereka menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ini.
"Saya juga mendapat penerangan mengenai filem Anwar: The Untold Story. Proses perbincangan juga berjalan dengan lancar," katanya.
Filem Anwar: The Untold Story akan dilancarkan pada Mei ini.

