Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

S’pura jadi hab konsert serantau dan dunia

Jul 24, 2023 | 05:30 AM



Singapura telah menjadi negara pilihan yang popular bagi penganjur konsert di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Negara kecil ini sering dianggap sebagai destinasi yang sesuai untuk artis dan penghibur atas beberapa sebab seperti hab budaya dan pangkalan peminat yang teguh.

Selepas tempoh panjang konsert secara langsung telah dihentikan disebabkan pandemik, ramai penggemar muzik bagai ingin ‘membayar niat’ lantas membanjiri hampir setiap konsert artis dengan nama besar yang datang ke sini.

Ini menyebabkan jadual konsert secara langsung di Singapura amat padat dan sarat mengisi kalendar bulanan si pencinta muzik.

“Ramai orang tidak sabar untuk menghadiri konsert dan melibatkan diri dalam aktiviti sosial. Ini telah menyumbang kepada penjualan tiket yang sangat memberangsangkan daripada peminat,” dedah Pengarah Urusan NuSantaiMent, Encik Muhammad Hidayat.

Penganjur tempatan NuSantaiMent yang berpengalaman selama setahun itu telah mendapat sambutan yang baik bagi konsert pertama mereka iaitu Konsert D’masiv di Singapura yang dibuka tirainya di The Star Theatre dengan persembahan kugiran Masdo dari Malaysia.

“Sebelum ini, kami membawa D’masiv ke Kuala Lumpur untuk persembahan konsert selama dua hari. Tiket untuk kedua-dua hari itu telah habis dijual. Dengan itu, kami telah menjadualkan beberapa konsert dari Indonesia untuk disajikan di Singapura dan Malaysia pada tahun depan,” dedahnya.

Penganjur konsert juga harus mengambil kira faktor seperti popularati artis, penonton sasaran, serta pemilihan tarikh yang sesuai untuk memastikan ia berjaya.

Bagi pengasas bersama dan penerbit eksekutif YOLO Malaysia, Encik Haniff Hamzah, yang juga merupakan antara penganjur konsert baru, kesedaran bahawa masyarakat Melayu Singapura mempunyai pilihan terhad bagi konsert Melayu membuatkannya tampil menganjurkan konsert tersebut.

Justeru, baru-baru ini, YOLO Malaysia telah menganjurkan konsert kumpulan legenda Malaysia, Ruffedge, di Singapura.

“YOLO Asia sering aktif di Jakarta serta Bangkok dan tentu sekali di Malaysia. Justeru, apabila saya menyedari bahawa pilihan barisan artis di Singapura itu terhad, saya memutuskan untuk membawa artis-artis Asia Tenggara yang terkemuka ke Singapura,” dedah beliau.

Konsert pertama YOLO Malaysia telah berjaya dengan bantuan rakan kongsi Singapura.

Selaku penganjur konsert antarabangsa, Encik Haniff turut mendapati proses dan peraturan daripada pihak berkuasa di Singapura bagi ketetapan mengadakan konsert sangat jelas dan tidak begitu menyusahkan.

“Ini benar-benar menjadi dorongan kami untuk terus menganjurkan lebih banyak konsert di Singapura dalam tempoh terdekat,” katanya yang akan membawa kumpulan Indonesia, Noah, seterusnya ke Singapura.

Dua penganjur baru itu turut akui kebimbangan utama menganjurkan konsert ialah bilangan tiket yang dapat dijual.

“Tentu sekali sebagai penganjur konsert buat kali pertama di Singapura, kami agak khuatir bergerak dalam persekitaran yang baru. Seperti penganjur konsert lain, kami bimbang tentang penjualan tiket.

“Pasti ada hari yang baik dan ada juga yang tidak. Dengan itu, kami perlu meneruskan dan memastikan bahawa penonton yang turut hadir akan melalui pengalaman konsert terbaik,” tambah Encik Haniff.

Encik Hidayat pula menambah: “Jualan tiket yang tidak mencukupi juga boleh memberi kesan kepada impak kewangan konsert itu dan boleh mencetus rasa gelisah bagi penganjur dan penghibur.”

Memahami cita rasa penonton dalam mencipta persembahan terbaik sangat kritikal demi memastikan konsert akan terus berjalan lancar dan berjaya.

“Kepelbagaian konsert dari segi genre dan pilihan artis membantu memenuhi cita rasa dan pilihan yang berbeza untuk mengurangkan kemungkinan wujudnya apa yang dinamakan sebagai ‘concert fatigue’ ataupun keletihan menghadiri konsert,” kata Encik Hidayat.


Bagi penyanyi rap setempat, Atrez, yang juga penganjur Konsert Datuk M. Nasir, Gendang Pati di bawah syarikat Muse+, yang baru diadakan Sabtu lalu di The Star Theatre, Singapura menjadi tumpuan promoter konsert kerana ia menyediakan ruang selamat dan adalah hab pelancongan yang maju.


Menurutnya, penonton dari Malaysia, Brunei dan Indonesia turut datang untuk menyaksikan Gendang Pati.


Menyentuh tentang trend ramai yang berebut tiket konsert Coldplay dan Taylor Swift yang laku sehingga konsert diadakan untuk enam hari, Atrez berasakan semua bergantung pada populariti artis dan semarak acara berkenaan yang digembar-gemburkan.

“Bagi saya, konsert Melayu lain daripada konsert Inggeris. Kebanyakan konsert Melayu mempunyai tukikan tersendiri. Sebagai contoh, legenda seperti M. Nasir pentingkan mutu dalam setiap persembahannya. Pengikutnya daripada demografik tertentu yang sebilangannya akan berebut bagi mendapatkan tiket VIP.

Atrez juga tidak berasakan akan wujud masalah keletihan dek konsert yang tidak putus-putus membanjiri Singapura.

Bagi dua tahun mendatang, beliau rasa perkara ini tidak akan berlaku sebab ramai yang rindukan konsert ‘live’ sewaktu pandemik melanda.

“Bagi mengelakkan keletihan daripada berlaku, promoter konsert harus amat berhati-hati dalam merancang konsert dan tarikh di mana ia diadakan. Jadi kita tak sampai terlebih membebankan penonton,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >